2 Juta Ahli Kwsp Terkesan Boleh Akses I Sinar
azrulhakimie Dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan disediakan

		  			 			KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka kemudahan i-Sinar  akan memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan  sejumlah RM14 bilion akan disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku  Alizakri Raja Muhammad Alias berkata KWSP telah memperluaskan skop  i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti  tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.
Secara umum, ahli yang layak boleh  mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1,  tertakluk kepada baki minimum RM100.
“Bagi ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, mereka akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000.
“Bagi ahli yang mempunyai baki lebih  daripada RM90,000 dalam Akaun 1, mereka akan mempunyai akses 10 peratus.  Bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000,”  katanya pada taklimat media, di sini, hari ini.
Beliau berkata amaun pendahuluan akan  dikreditkan secara berkala sehingga enam tempoh enam bulan dengan  pendahuluan bulan pertama sehingga RM4,000 bagi yang memiliki simpanan  Akaun 1 sebanyak RM90,000 dan ke bawah dan sehingga RM10,000 bagi mereka  yang mempunyai simpanan lebih RM90,000 dalam Akaun 1.
Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.
“Caruman baharu akan dikreditkan 100  peratus dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah  digantikan semula. Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan  asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,”  katanya.
Ahli yang layak boleh membuat permohonan  bermula Disember 2020 dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli  pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.
“Pengkreditan pertama akan bermula pada  Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala  sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” katanya.
Kemudahan itu adalah bertujuan  menyediakan dana tambahan kepada ahli yang terkesan untuk memastikan  kelangsungan hidup semasa krisis dan simpanan persaraanmasa depan, kata  Alizakri. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/2-juta-ahli-kwsp-terkesan-boleh-akses-i.html