18 Nelayan Buntu Hilang Punca Rezeki
   Hassan Omar 
  SERAMAI  18 nelayan di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini, terputus  punca rezeki berikutan perahu mereka tidak mampu diturunkan ke laut  akibat pembentukan tebing pantai setinggi kira-kira 1.5 meter susulan  hakisan yang kian serius.
 Tebing berkenaan semakin meninggi  selepas hakisan yang semakin serius sejak tiga minggu lalu menyebabkan  pasir pantai dikorek sebelum dibawa ke laut, sekali gus menyebabkan  perahu gentian kaca mereka tidak boleh diturunkan.
  Nelayan Othman Ibrahim, 64, berkata, hakisan itu terbentuk akibat ombak  dan arus pasang surut laut yang dibawa angin selatan sejak awal Julai  lalu menyebabkan tebing pantai semakin meninggi.
 “Ombak dan arus pasang surut angin selatan memang sifatnya mengeruk  pasir pantai untuk dibawa masuk ke laut berbanding angin barat atau  barat daya yang sifatnya menghantar pasir laut ke pantai.
  “Perkara ini memang berlaku setiap tahun apabila tiba musim angin  selatan tetapi tahun ini, hakisan adalah yang paling teruk berbanding  tahun lalu dan sebelumnya,” katanya ketika ditemui, semalam.
  Katanya, tiada nelayan yang mampu menolak perahu gentian kaca untuk  turun ke muka ombak kerana tebing berkenaan terlalu tinggi dan tidak  menyediakan ruang untuk perahu menggelongsor turun.
 Menurutnya,  kereta kayu beroda yang digunakan sebagai alat untuk membawa perahu  turun ke muka ombak juga tidak boleh ditolak melepasi tebing berkenaan  kerana dibimbangi ia patah atau menyebabkan kerosakan pada roda.
  “Kami amat berharap kerajaan membina benteng pemecah ombak berbentuk  melengkung di bahagian hujungnya bagi membentuk lagun yang menghalang  ombak atau arus pasang surut laut menghakis pantai,” katanya.
  Bagi Senin Jantan, 57, berkata, dia dan anaknya tidak dapat turun ke  laut sejak minggu lalu berikutan tebing yang semakin meninggi, sekali  gus menyebabkan mereka kehilangan sumber rezeki.
 Katanya, dia dan  anaknya kini terpaksa mengambil upah membantu rakannya menukang rumah  di Kuala Linggi bagi menampung keperluan perbelanjaan harian sambil  mengharapkan masalah hakisan pantai mampu diatasi segera.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/18-nelayan-buntu-hilang-punca-rezeki.html