10 Resipi Trend Makanan 2020 Yang Masih Popular
Trend makanan adalah suatu yang sering kali menjadi sesuatu yang tertunggu bagi kebanyakan ‘foodie’ di luar sana. Namun begitu, tahun 2020 menyaksikan perubahan gaya hidup yang mendadak hingga ada segelintir daripada kita yang sudah lama tidak keluar dari rumah sejak Mac lalu. Untuk mengisi masa yang terluang, ramai orang tidak melepaskan peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti khususnya aktiviti di dapur.
Oleh itu, tidak menghairankanlah terdapat banyak resipi tular yang menjadi kegilaan ramai muncul di kala semua berasa bosan, terperap di rumah. Namun begitu, menjelangnya Perintah Kawalan Pergerakan baharu untuk enam negeri dengan kes tertinggi ataupun PKP 2.0, rasanya sudah tiba masa untuk kita mengembalikan resipi-resipi tular yang menjadi peneman setia anda di kala duduk kebosanan di rumah. Mana tahu, kali ini anda akan cipta sesuatu yang baru selepas ‘pekena’ secawan Dalgona Coffee nanti.
1. Dalgona Coffee
Siapa yang tak tahu tentang Dalgona Coffee? Dinamakan sebagai kopi mewah berbajet, trend makanan ini menjadi kegilaan para pencinta kopi dan menjadi minuman pilihan untuk mereka memuaskan rasa mengidam untuk minum kopi kegemaran mereka di Starbucks atau Coffee Bean.
Keunikan Dalgona Coffee ini ialah krim kopi yang diputar hingga menjadi gebu ibarat krim putar yang diletakkan di atas susu segar sejuk. Rasa kopi pekat ini cukup menyelerakan dan memberi dos kafein yang diperlukan anda, tambah-tambah lagi apabila berasa lesu dek bekerja dari rumah.
Untuk resepi Dalgano Coffee yang betul-betul kaw, anda boleh mencuba resepi Dalgona Coffee versi Butterkicap yang memukau jiwa!
2. Kek Marble
Kek klasik kegemaran keluarga di seluruh Malaysia sejak bertahun lamanya adalah semestinya kek marble atau kek marmar. Pencuci mulut ini bertekstur gebu, lemak bermentaga dan tidak begitu manis menjadikannya sajian minum petang terbaik, tambah-tambah lagi ketika musim hujan begini. Oleh sebab itu, tidak menghairankanlah kek ini menjadi salah satu trend makanan popular di Malaysia.
Kek marmar ini sangat mudah untuk disediakan dan perkara paling menarik sekali tentang kek ini ialah, anda boleh sediakannya dalam pelbagai perisa ataupun bahan tambahan seperti kacang, buah-buahan kering dan apa jua bahan kegemaran anda dan seisi keluarga.
Cubalah resipi kek marble Nescafe klasik atau kek marble strawberi yang menarik sebagai idea minum petang anda nanti.
3. Youtiao
Youtiao, pak tongko, cakoi; walau apapun nama yang anda panggil, anda tahu kalau anda lambat ke gerai makcik atau pakcik yang menjual snek roti ini, terlepaslah peluang anda untuk menikmatinya dengan colekan sambal ikan bilis yang pedas dan menyelerakan.
Youtiao merupakan snek roti goreng, yang secara tradisionalnya dihidangkan di kedai-kedai kopitiam Cina. Namun begitu, youtiao mendapat populariti dalam kalangan masyarakat Melayu dan India juga kerana masakan ini sangat mudah disediakan, mengenyangkan dan paling penting sekali, sesuai untuk disediakan apabila anda sedang berbajet.
Jika anda ingin resipi cakoi yang betul-betul enak, anda boleh mencuba resipi yang disumbangkan oleh penulis blog, buatoranglapo.com. Resipinya memang mudah diikuti dan cukup cepat untuk disediakan.
Bahan-bahan cakoi :
2 cawan tepung gandum3/4 cawan air suam1/2 sudu kecil yis2 sudu besar gula1 1/2 sudu besar minyak jagung1/2 sudu kecil garam
Cara-cara :
Masukkan gula dan yis ke dalam air suam. Kacau dan biarkan yis kembang. Lebih kurang 15 minit.Satukan tepung, minyak jagung dan garam ke dalam bekas besar.Masukkan yis yang telah kembang tadi ke dalam bekas tepung. Uli adunan sehingga tidak melekat di tangan dan menjadi doh.Perap doh sehingga naik 2 kali ganda lebih kurang 1jam.Tumbuk doh yang telah kembang untuk mengeluarkan angin.Canai doh secara memanjang. Tebal lebih kurang 1cm. Kemudian potong kecil-kecil secara melintang. Letakkan air di bahagian tengah doh yang telah dipotong kecil dan lapik dua.Perap doh sekejap lebih kurang 5 ke 10 minit supaya lebih kembang.Tarik doh memanjang dan terus goreng dengan api sederhana kecil.
Nota:
Jangan guna air yang terlalu panas untuk mengelakkan yis mati.Uli lama untuk mendapatkan kuih yang lembut.Boleh tambah sedikit baking powder dan soda bikarbonat jika suka.
4. Apam Balik
Kredit: Youtube.com
Selalunya, apam balik adalah satu hidangan yang tidak disediakan di rumah. Sebaliknya, inilah antara snek yang kita akan beli apabila kita keluar sahaja. Kenapa? Hal ini demikian kerana rata-rata daripada kita menganggap bahawa apam balik adalah suatu hidangan yang sukar untuk disediakan. Lagipun, kenapa nak belajar kalau kita boleh beli di luar?
Namun begitu, dengan situasi sekarang, kebanyakan daripada kita terpaksa mencari jalan lain untuk mendapatkan snek kegemaran kita seperti apam balik. Jika anda berani nak cuba menyediakan apam balik sendiri, anda boleh mengikuti resipi apam balik yang disumbangkan oleh Che Nom.
5. Kuih Cek Mek Molek
Kredit: Azie Kitchen
Sepanjang setahun kita dibelenggu dengan masalah pandemik ini, terdapat banyak perkara yang kita pandang ringan dahulu mula disedari sebagai satu keperluan yang penting. Hal ini termasuklah membeli kuih tradisional kegemaran kita. Kebanyakan penduduk di bandar raya besar seperti Kota Metropolitan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang rata-ratanya, berasal dari negeri lain. Oleh itu, apabila perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa untuk tempoh yang lama, pasti ramai yang merindukan kampung halaman dan ini termasuklah makanan kampung yang sukar untuk didapati di bandar.
Oleh itu, ramai di antara kita, nekad untuk belajar resipi kuih tradisional kegemaran kita dan antara resipi yang paling banyak dicari ialah resipi kuih cek mek molek. Nampaknya, ramai ore kelate dan ganu rindukan kampung!
Untuk belajar membuat kuih tradisional yang sedap, kita kenalah berguru daripada orang asal atau anak jati negeri yang popular dengan kuih tradisional tersebut. Bagi saya, resipi kuih cek mek molek mat gebu ini yang cukup mudah dan senang sekali untuk diikuti. Semestinya, hasilnya pun menjadi juga!
6. Tau Fu Fah
Kredit: bakewithpaws.com
Bila masa terbaik untuk ‘pekena’ semangkuk tau fu fah? Tau fu fah yang lembut dan halus diperisa dengan rasa air gula merah yang manis memang cukup menyegarkan pada waktu tengah hari yang panas terik. Fuh, betul-betul melayan jiwa, rasanya!
Tetapi, hari-hari bahagia kita keluar dan membeli tau fu fah kegemaran kita sudah berlalu. Kita hanya ada dua pilihan; sama ada membuah pesanan hantar (delivery) daripada salah satu kedai tau fu fah komersial dan mengambil risiko tau fu fah tertumpah semasa dihantar atau buat sendiri. Kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa membuat tau fu fah memerlukan kemahiran yang tinggi tetapi resipi yang dikongsi di blog Sirap Limau adalah sangat mudah dan dapat disediakan dalam 15 minit sahaja!
7. Kek Tornado
Kredit: supayamanis
Sesiapa yang pernah dengar pasal kek tornado ini sememangnya sangat ‘up’todate’! Saya dapat tahu pasal kek enak ini semasa mencari kek coklat yang lembap dan bercoklat di Grab dan rasa ingin tahu saya memuncak apabila saya melihat kek ini dalam senarai kek yang dijual. Kek yang diperbuat daripada custard pekat berperisa krim keju dan coklat ini betul-betul menjangkaui jangkaan saya. Jadi, tak menghairankanlah kek tornado ini menjadi kegilaan ramai, khususnya dalam kalangan wanita.
Kita boleh membeli kek ini dengan mudah di Grab, tetapi membuatnya lebih mudah dan menjimatkan. Cuba resipi kek tornado ala Che Nom di sini.
8. Roti Sourdough
Kredit: Cookidoo International
Bagi peminat roti yang menyibukkan diri belajar teknik-teknik membuat pelbagai resipi roti berbeza untuk dinikmati bersama keluarga ataupun sekadar belajar satu kemahiran baharu, roti sourdough merupakan antara roti yang menjadi sebahagian daripada trend makanan popular tahun 2020. Apakah keistimewaan roti ini? Roti ini berasa masam.
Roti sourdough diperbuat daripada doh yang diperam dalam air hingga menghasilkan yis semula jadi yang menyumbang pada rasa masam roti sourdough. Walaupun mudah untuk disediakan, masih ramai lagi yang sanggup membeli roti sourdough ini untuk harga yang mahal.
Jika anda ingin mencuba membuat roti sourdough sendiri, anda boleh mencuba resipi di blog nurulkhairunnaim.blogspot.com.
9. Tepung Pelita
Trend makanan popular seterusnya adalah satu lagi resipi kuih tradisional yang menjadi carian ramai, khususnya ketika bulan Ramadan. Kuih tepung pelita ialah kuih yang diperbuat daripada santan dan tepung beras yang dibalut dengan daun pandan. Pencuci mulut ini sangat popular di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Kuih ini sangat mudah untuk disediakan dan hakikat ini mula disedari apabila perintah kawalan pergerakan diumumkan Mac lalu. Ramadan 2020 merupakan Ramadan yang bersejarah untuk kita. Sambutan meriah seperti kebiasaannya menjadi sendu dan kebanyakan daripada kita merindui budaya param dan keluar berbuka beramai-ramai. Ketika itulah, ramai yang cuba mengadakan ‘mini param’ di rumah masing-masing dan salah satu menu wajib yang disediakan ialah kuih tepung pelita ini.
Untuk resepi kuih tepung pelita yang mudah, anda boleh mencuba resipi ini.
10. Roti Pisang
Kredit: Simplyrecipes.com
Trend makanan popular terakhir ialah roti pisang. Bukan kek, tapi roti ya. Roti pisang merupakan variasi roti yang cukup diminati oleh para penggemar pisang di negara-negara Barat, khususnya di Amerika. Di Malaysia, kita memilih untuk menyediakan kek pisang, atau cekodok dan pelbagai kuih berasaskan pisang lain seperti pengat serta lepat apabila kita ada pisang yang sudah ranum di dapur tetapi di negara-negara Barat, roti pisang merupakan pilihan minum petang kegemaran seisi keluarga di sana.
Keunikan roti pisang ini ialah dari segi teksturnya yang lebih padat dan berat berbanding tekstur kek yang lebih gebu dan ringan. Selain itu, roti pisang juga mempunyai versatilitinya yang tersendiri. Terdapat pelbagai variasi resipi yang menggunakan roti pisang seperti puding roti dan juga roti aiskrim.
Jika anda sudah berasa bosan membuat kek pisang dan cekodok untuk dijadikan sebagai santapan petang, anda boleh mencuba resipi kek roti pisang yang mudah ini tanpa memerlukan mesin pembuat roti pun!
Apa Lagi Trend Makanan Yang Ada?
Tahun 2020 menyaksikan banyak trend makanan baharu yang menjadi tular sehingga kini. Saya pasti, ada banyak lagi trend makanan yang mungkin saya terlepas pandang. Jika anda tahu trend makanan apa lagi yang patut disenaraikan ataupun ramalan anda sendiri tentang trend makanan yang bakal mengejutkan kita nanti, bolehlah berkongsi bersama saya dengan meninggalkan mesej anda di laman Instagram atau Facebook Butterkicap.
Sehingga itu, selamat memasak!
The post 10 Resipi Trend Makanan 2020 yang Masih Popular appeared first on Butterkicap.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.butterkicap.com/food-journeys/10-resipi-trend-makanan-2020-yang-masih-popular