10 Perkara Menarik Pada Samsung Galaxy Note 10 Dan Note 10
Minggu lalu Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ dilancarkan secara rasmi. Dengan setiap pengenalan model baharu, ramai yang tertanya-tanya adalah ia berbaloi untuk dimiliki? Ini adalah persoalan yang baik khususnya bagi mereka yang mungkin sedang menggunakan model tahun lalu. Ini ialah senarai10 perkara yang kami rasakan paling menarik pada Note 10 dan Note 10+ berbanding Note 9.
1. Air Actions – S Pen Menyokong Kawalan Gesture
Tahun lalu S Pen akhirnya diberikan sokongan bluetooth yang membolehkannya menjadi alat kawalan jauh. Tahun ini ia diberikan pula sensor accelerometer dan giroskop yang menambah lagi kemampuannya sebagai alat kawalan jauh. Mod dan fungsi kamera kini boleh dikawal dengan aksi gesture Air Actions.
Menggerakkan S Pen atas ke bawah di udara membolehkan kamera utama diubah ke kamera swafoto. Menekan butang S Pen untuk masa yang lama memberikan arahan kamera mengambil gambar tanpa henti. Aksi zum dan mengubah mod-mod kamera juga boleh dilakukan dengan kawalan gesture baharu.
Kesemua fungsi gesture ini juga boleh digunakan pada aplikasi lain seperti pemain muzik misalnya. Pihak Samsung akan mengeluarkan SDK yang membolehkan pembangun aplikasi mengintegrasikan Air Actions pada aplikasi mereka kelak.
S Pen kini dilengkapi bateri yang membolehkannya berfungsi sebagai alat kawalan jauh sehingga 10 jam berbanding hanya 30 minit pada Note 9. Dengan ini anda tidak perlu risau S Pen kehabisan bateri ketika melakukan pembentangan yang panjang dan menggunakannya sebagai alat kawalan aplikasi Powerpoint.
2. Sistem Tri-Kamera Utama Dengan Sokongan Sudut Ultra Lebar
Selari dengan trend pasaran semasa, Note 10 dan Note 10+ kedua-duanya dilengkapi sistem tri-kamera. Peranti akhirnya boleh mengambil gambar menggunakan lensa sudut ultra-lebar seperti yang ditemui pada Galaxy S10. Gambar yang lebih dramatik boleh diambil menggunakan kamera yang dipertingkatkan ini. Mengambil gambar secara berkumpulan tanpa perlu meminta subjek berhimpit turut boleh dilakukan.
Selain itu kamera dipertingkatkan dengan kemampuan Live Focus Video. Latar belakang boleh dikaburkan atau dikenakan kesan khas ketika mengambil video secara masa nyata. Sebelum ini fungsi Live Focus hanya boleh digunakan pada gambar statik. Turut diperkenalkan ialah mod rakaman video Super Steady yang menstabilkan video ketika merakam aksi lasak. Akhir sekali fungsi Zoom In Mic yang membolehkan audio memfokus selari dengan imej yang difokus pada skrin peranti.
3.Kamera 3D TOF- Imbasan 3D Dan AR Doodle
Pada Note 10+, terdapat satu sensor tambahan iaitu kamera 3D TOF. Dengan sensor ini kesan bokeh Live Focus akan kelihatan lebih asli berbanding tahun lalu. Ia turut membawakan fungsi imbasan objek secara 3D. Objek yang telah diimbas kemudian boleh digunakan di dalam aplikasi kamera sebagai objek realiti terimbuh yang mengikut pergerakan tubuh individu yang dapat dilihat di dalam kamera. Ia juga membolehkan sistem AR Doodle disokong. Pengguna boleh menghasilkan karya seni realiti terimbuh yang terapung di udara yang kemudian boleh dimanipulasi mengikut keperluan mereka.
4.Bateri Lebih Besar Dan Pengecasan Pantas Sehingga 45W
Samsung agak perlahan dalam memperkenalkan pengecasan yang lebih pantas berbanding pesaing. Adapative Fast Charging yang mereka gunakan sejak tiga tahun yang lalu hanya mengecas pada kuasa maksimum 15W. Pada Note 10 dan Note 10+, pengecasan pantas dengan kuasa 25W disokong menerusi pengecas yang disertakan.
Bonus bagi pengguna Note 10+ ialah terdapat pilihan Super Fast Charging dengan kuasa maksimum 45W menerusi pengecas yang dibeli berasingan. Pengecasan nirwayar juga tidak kurang pantas dengan output kuasa 20W. Dengan ini pengguna Note 10 dan Note 10+ tidak perlu lagi menanti lama untuk peranti dicas sepenuhnya.
Sistem pengecasan yang lebih pantas ini amat diperlukan kerana sekali lagi kapasiti bateri dipertingkatkan. Pada Note 10+ bateri kini sebesar 4300 mah berbanding 4000 mAh pada Note 9. Bateri sebesar 3500 mAh pula digunakan pada Note 10.
5.DeX Pada PC Dan Mac
Fungsi DeX kini sudah memasuki tahun ketiga. Tahun demi tahun fungsi mod desktop pada telefon pintar ini dipertingkatkan. Pada Note 10 dan Note 10+ ia akhirnya boleh digunakan pada sebuah komputer Windows dan Mac. Apabila kedua-dua peranti disambung pada komputer, DeX Desktop akan dilancarkan pada skrin komputer. Pengguna boleh memindahkan data dari peranti ke komputer dan sebaliknya dengan hanya melakukan aksi drag and drop.
Samsung dan Microsoft mengumumkan kerjasama bagi menambah meningkatkan integrasi di-antara peranti yang lebih mendalam. Kelak pengguna Windows 10 boleh mengangkat panggilan telefon pada Note 10 terus pada PC milik mereka. Ini adalah kesinambungan dari fungsi menjawab kesemua mesej pada peranti terus di PC menggunakan aplikasi Your Phone sedia ada.
6.Pemproses Exynos 9825 – Lebih Berkuasa Berbanding Exynos 9820
Dengan pemproses Exynos 9825, untuk pertama kali peranti Galaxy S dan Galaxy Note tidak berkongsi pemproses yang serupa walaupun dilancarkan pada tahun yang sama. Exynos 9825 adalah penambahbaikan berbanding Exynos 9820 yang digunakan pada Galaxy S10 yang dilancarkan pada bulan Februari yang lalu. Ia dihasilkan menggunakan teknologi 7nm berbanding 8nm. Aplikasi dapat dilancarkan lebih pantas tetapi pada waktu yang sama memberikan penjimatan penggunaan bateri.
7.Memori Sehingga 12GB
Hanya dua tahun yang lalu peranti dengan memori sebesar 6GB dianggap melampau. Tetapi pada Note 10+, memori sebesar 12GB ditawarkan sebagai standard. Pelbagai aplikasi kini boleh dilancarkan serentak tapi perlu menjalani proses segar semula selepas dijalankan di latar belakang. Bagi mereka yang gemar melakukan multi-tugas ini memastikan kerja yang telah dilakukan pada aplikasi lain akan kekal terbuka tanpa kerisauan ia dimatikan oleh sistem operasi.
Malahan pada Note 10, memori sebesar 8GB kini ditawarkan sebagai pilihan standard. Ini masih lagi saiz memori yang besar berbanding majoriti telefon pintar lain di pasaran. Sebelum ini saiz memori yang besar hanya ditawarkan untuk peranti edisi khas atau peranti untuk permua.
8.Storan Sehingga 1.5TB
Storan yang besar adalah keperluan bagi mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang power user. Oleh itu Note 10+ ditawarkan dengan storan sehingga 512GB. Sekiranya storan tambahan diperlukan, pengguna boleh memperingkatkannya dengan kad Miro SD sehingga 1TB. Peranti Note dengan storan sehingga 1.5TB akhirnya menjadi realiti.
Pengguna boleh memuat turun sebanyak mungkin pelbagai siri TV, muzik dan dokumen kerja tanpa perlu risau kehabisan ruang di dalam peranti. Peranti Note mempunyai reputasi sebagai peranti yang digunakan oleh golongan profesional yang tidak berkompromi. Menerusi Note 10 mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peranti yang memenuhi keperluan profesional.
9. Rekaan Tubuh Yang Lebih Menarik
Kedua-dua Note 10 mempunyai rekaan tubuh yang berbeza jika dibandingkan dengan Note 9. Bahagian dahi serta dagu kini semakin nipis sehingga hampir tidak kelihatan. Hasilnya ialah Note 10+ dengan skrin 6.8″ mempunyai saiz yang sama dengan Note 9 yang mempunyai skrin sebesar 6.4″. Walaupun skrin kini lebih besar, peranti masih selesa di dalam tangan. Ini menjadikan Note 10+ peranti yang ideal untuk mereka yang gemar menonton video atau menghasilkan karya digital menggunakan telefon pintar.
Ini dipadankan dengan penggunaan pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, kemampuan kalis air IP68, skrin dengan sokongan paparan HDR10+ dan sistem mengecas peranti lain PowerShare. Hanya bicu audio sahaja tidak disertakan tahun ini kerana penggunaan aksesori nirwayar yang semakin menjadi normal di pasaran.
10. Pengimbas Cap Jari Dalam Skrin
Satu rungutan pengguna Note sejak kedudukan pengimbas cap jari diubah ke panel belakang pada Note 8 ialah ia sukar diakses. Pada Note 9 kedudukan diubah lagi tetapi pengimbas cap jari masih tidak boleh digunakan apabila peranti diletakkan di atas meja.
Pada Note 10 masalah ini diselesaikan dengan pengimbas cap jari dikembalikan ke bahagian hadapan di dalam dalam skrin. Pengimbas cap jari ultrasonik yang digunakan adalah lebih pantas, selamat dan tepat berbanding sistem pengimbas optikal yang digunakan pada peranti pesaing. Kelebihan lain pengimbas cap jari ultrasonik ialah jari masih boleh diimbas walaupun ianya kotor.
Ini adalah senarai sepuluh perkara paling menarik yang ditawarkan oleh Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+. Apakah pula fungsi paling menarik peranti ini pada hemat pembaca Amanz? Kongsikan pendapat anda menerusi ruangan komen anda di bawah. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lebih mendapat mengenai kedua-dua peranti, anda boleh membaca artikel pandang pertama Note 10 pada pautan di bawah.
Baca – Pandang Pertama Samsung Galaxy Note 10+ Dan Note 10 – Adakah Masih Relevan Di Pasaran?
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/08/10-perkara-menarik-pada-samsung-galaxy.html