Zikrullah Membentuk Akhlak Merubah Kehidupan
Zikrullah ialah mengingati Allah dengan lisan dan perbuatan secara zahir mahu pun batin. Dengan berzikir kepada Allah, kita sentiasa melakukan perhubungan kepada Allah SWT. Ini memang merupakan satu daripada ciri orang bertaqwa.
Skop zikir amatlah luas. Ianya meliputi segala perbuatan zahir mahupun batin selagi ditujukan kepada mengingati Allah. Termasuklah bila kita menyebut nama Allah SWT secara khusus, melakukan solat wajib dan sunat terutama solat sunat di waktu selepas satu pertiga malam, berpuasa, berzakat, membaca al-Quran, menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, berdoa, tidak melakukan maksiat, bekerja untuk mencari pendapatan yang halal dan merenung serta memikirkan pelbagai kejadian Allah SWT disamping mengucapkan sesungguhnya segala kejadian ini adalah ciptaan Allah SWT yang maha besar.
Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 191:
Amalan berzikir mempunyai adab. Antaranya menyebut lafaz zikir seperti contoh “Lailaha Illa Allah” dan lain-lainnya dengan betul, berzikir dalam keadaan hati dan perasaan yang bersih dan suci. Ketika berzikir pula kita dapat merasakan keagungan, kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.
Disamping itu kita hendaklah melakukan zikir dengan suara yang perlahan sekadar didengari oleh si penzikir sendiri. Berzikir dengan menyebut lafaz-lafaz yang terdapat dalam al-Quran atau as-Sunnah. Adabadab ini perlu dilakukan supaya kita mampu menzahirkan akhlak yang mulia dan berdisiplin ketika berzikir bagi mencapai kesempurnaaan dalam berzikir selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. Dengan demikian insya-Allah amalan berzikir akan diterima oleh Allah SWT
Bagaimanakah zikir yang dilakukan mampu membentuk akhlak? Jawapannya amat mudah. Bukankah seseorang yang berzikir ia sedang mengingat Allah?
Jika ia mengingat Allah bermakna ia juga mengingat segala perintah dan syariat yang ditetapkan oleh Allah. Akhlak dan tatakelakuan seseorang yang ingat dan takutkan Allah sudah tentu tidak sanggup melakukan apa-apa sahaja perkara yang bertentangan dengan perintah-Nya. Inilah yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat Rasulullah SAW dan mereka yang cintakan Allah dan Islam. Keadaan ini akan kita temui apabila kita sering menelusuri bahan sejarah kehidupan Rasulullah SAW serta para sahabat dan mereka yang bertaqwa
Apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah SWT maka ia akan yakin dengan segala ketetapan yang ditentukan oleh Allah SWT. Ini akan menjadikan mereka jujur, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin, sentiasa mengutamakan nilai mulia ketika berkomunikasi dengan masyarakat seperti, sabar, belas kasihan dan menyayangi setiap manusia dan segala jenis makhluk yang ada di dunia. Lantaran itu, seorang yang sentiasa berzikir akan merasa dan menikmati ketenangan yang menyebabkan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah SWT. Maka sudah pasti akhlak baik akan terbentuk.
Jika mereka sentiasa berzikir tetapi pada masa yang sama masih melakukan pelbagai kemungkaran, maka sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena pada diri mereka. Maka sesuatu perlu dilakukan, perlu ada muhasabah atau penilaian demi mencari puncanya
Apabila akhlak yang baik telah terbina maka insya-Allah kehidupan akan berubah kepada yang lebih baik dan selaras dengan kehendak syariat Islam. Kerana antara kesan yang bakal diperolehi oleh mereka yang sering berzikir ialah; ALlah SWT akan melindungi mereka daripada perkara yang dibenci oleh-Nya. Mereka juga akan dapat mengawal nafsu supaya sentiasa melakukan perkara yang baik sahaja.
Disamping itu mereka akan dapat mengawal diri daripada godaan iblis dan syaitan. Orang yang sentiasa berzikir akan dapat menghidupkan hati dan insyaAllah akan terhindar daripada lalai dan leka, kerana hati si penzikir akan sentiasa redha, qanaah dan merasa cukup dengan segala apa jua rezeki dan ketentuan yang telah diberikan oleh Allah SWT
Zikir boleh dilakukan dengan pelbagai cara kecuali di tempat yang di larang seperti dalam tandas. Seseorang yang berzikir pula tidak semestinya perlu meninggalkan urusan harian sehingga menjejas pencarian sumber rezeki untuk keperluan kehidupan. Malahan mereka masih boleh berada dalam suasana berzikir walaupun di ketika menjalankan urusan seharian.
Inilah kefahaman yang perlu diperbetulkan supaya kehidupan seorang Muslim sentiasa dalam keadaan mengingati Allah demi mencapai keredhaan Allah SWT
Umat Islam disarankan agar: Sentiasa mengingati Allah, Allah pasti mengingati kita, oleh itu ingatlah Allah.Amalkanlah zikir-zikir harian dan jadikan zikir-zikir sebagai amalan harian setiap ketika dan semasa.Carilah ketenangan dengan melaksanakan zikir dan ketaatan kepada Allah SWT.
Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan. Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara. Tindakan ekstremis juga boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama islam.
Sebaliknya seluruh umat islam amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati agar umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW diutus dan Islam yang diperjuangkan adalah rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.
( sumber : Jabatan Agama Islam Selangor )
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kelanamuslim.blogspot.com/2015/02/zikrullah-membentuk-akhlak-merubah.html