Yayasan Ikhlas Sasar Rm1 5 Juta Lagi Untuk Sumbang Ppe Peralatan Perubatan
Siti Hafidah 
 		 			Keperluan peralatan semakin mendesak di hospital utama KKM

		  			 			BANGI – Yayasan Ikhlas – sebuah pertubuhan peduli dan prihatin – telah  menyumbangkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peralatan  perubatan yang bernilai RM 604,500.00 kepada beberapa hospital dan pusat  rawatan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Antara hospital yang menerima sumbangan  dalam tempoh tiga bulan lalu adalah Hospital Tuanku Jaafar, Seremban;  Hospital Serdang; Hospital Sungai Buloh serta Hospital Shah Alam.
Turut termasuk Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang yang menerima sumbangan bernilai RM 250,000.
Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas,  Prof Dr Zainur Rashid berkata, keperluan kepada peralatan dan  kelengkapan itu adalah sangat tinggi dan keadaannya semakin mendesak  terutamanya kepada hospital-hospital utama Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM).
“Situasi pandemik yang begitu mencabar  belum kelihatan semakin reda. Keadaan di hospital-hospital KKM  terutamanya adalah sangat getir. Namun, setiap kita mesti mengambil  posisi dan memainkan peranan masing-masing.
“Yayasan Ikhlas mengorak langkah  mengambil inisiatif untuk bersama membantu meringankan bebanan yang  dihadapi oleh barisan depan terutamanya dengan menyumbang kelengkapan  yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, pihaknya merakamkan  setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak korporat dan  orang ramai yang telah memberikan kepercayaan kepada Yayasan Ikhlas  untuk mengendalikan dana umum dan disumbangkan kepada pihak yang  memerlukan terutamanya kepada hospital KKM.
Prof Zainur turut memaklumkan bahawa  Yayasan Ikhlas meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM1.5 juta untuk siri  sumbangan bagi hospital yang telah disenaraikan bagi tiga bulan yang  berikutnya.
“Kepada badan korporat yang ingin  menyumbang kepada projek ‘Bantuan Petugas Barisan Hadapan’, boleh terus  menghubungi Yayasan Ikhlas (03-89265954 atau 012-979 0211) atau  sumbangan terus ke akaun Yayasan Ikhlas (Maybank 5628 3463 6228 – Ref:  Barisan Hadapan),” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/yayasan-ikhlas-sasar-rm15-juta-lagi.html