Yang Sembang Itu Tak Pernah Tangani Krisis Covid 19
N Faizal Ghazali
Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) sudah mengambil langkah terbaik dengan mengambil kira pelbagai aspek dalam setiap keputusan dan tindakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 khususnya melibatkan sektor pendidikan negara.
Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Jidin berkata, setiap keputusan dibuat juga akan mengambil kira situasi semasa walaupun pelbagai pandangan bernada negatif dilontarkan kepada kementerian.
"Ketika itu ramai yang kata menteri ini sekejap begitu, sekejap begini. Tetapi semua orang boleh sembang dan cakap patut buat macam itu, macam ini. Hakikatnya yang sembang itu pun tidak pernah menangani krisis Covid-19.
"Mereka sekadar hanya boleh memberi pandangan, tetapi belum ada sesiapa yang pernah melaluinya. Sepanjang tempoh itu, kami di KPM sentiasa berbincang mencari pendekatan terbaik untuk semua pihak," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa: 'Terima Kasih Cikgu' Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-50 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Berkongsi situasi yang dihadapinya Mohd Radzi sempat mengimbau kembali situasi yang perlu ditangani khususnya dalam menguruskan sesi-sesi persekolahan.
"Apa sahaja tindakan yang dibuat, kita mengambil kira berdasarkan maklumat pada waktu dan ketika itu. Sebagai contoh orang tanya adakah sekolah akan dibuka? Untuk hari ini saya akan menjawabnya ‘Ya’ sekolah akan dibuka.
"Sehingga bila sekolah akan dibuka kita tidak akan ketahui kerana apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Sebagaimana yang berlaku ketika pengumuman persekolahan Januari lalu, pada asalnya kita mengumumkan sekolah dibuka secara bersemuka pada 20 Januari.
"Namun, keputusan akhir terpaksa diambil dengan menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka memandangkan kes harian Covid-19 begitu tinggi sehingga mencecah 4,000 kes," jelasnya.
Tambahnya, situasi dan proses yang dilalui termasuk kepada warga KPM merupakan sesuatu yang memenatkan dan mencabar bagi memastikan golongan pelajar tidak tercicir.
"Ia adalah proses yang memenatkan untuk kita semua, kerana tidak ada sesiapa yang pernah melaluinya walaupun seorang guru itu sudah berkhidmat 30 tahun sebelum ini.
"Tapi kita tiada pilihan, itulah keadaannya, itulah situasinya, itulah kekangannya maka kita kena bergerak. Demi pembelajaran anak-anak, kita di KPM akan berusaha sebaik mungkin," kata Mohd Radzi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/yang-sembang-itu-tak-pernah-tangani.html