Wujud Usaha Lamar Ahli Parlimen Umno Sertai Bersatu Dakwa Annuar
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini mendakwa memang terdapat usaha melamar ahli Parlimen UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, lamaran tersebut datang dengan pelbagai cara termasuk ajakan secara terus kepada ahli Parlimen UMNO tertentu mahupun menggunakan orang perantaraan dan sebagai setiausaha agung parti, beliau maklum dan mempunyai rekod tentang perkara itu.
Loading...
Katanya, ada ahli Parlimen UMNO yang dipanggil untuk berunding malah ada juga ahli Parlimen UMNO yang tidak dipanggil tetapi turut mengadakan pertemuan dengan dengan pihak-pihak berkenaan.
"Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun ada pergi ziarah rakannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) ziarah kawan. BN (Barisan Nasional) ambil sikap walaupun kita parti lain-lain, tetapi silaturahim kita kekalkan.
"Semasa ziarah Presiden Bersatu, ada juga perbualan dan perbincangan tentang usaha nak perkasakan UMNO, ada pihak kata ia usaha nak perkasakan Bersatu, saya tak nafikan memang ada perbincangan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Annuar mengulas demikian ketika ditanya tentang dakwaan akan ada lebih ramai wakil rakyat UMNO melompat parti dan menyertai Bersatu.
Tanpa mendedahkan jumlahnya, ahli Parlimen Ketereh itu berkata, memang ramai ahli Parlimen UMNO yang dilamar untuk memperkuatkan Bersatu.
"Pokoknya idea untuk memperkuatkan Bersatu datang dari pihak tertentu, dan kita tidak 'just brush it aside' (tolak tepi), bukan tidak pertimbang perkara tu, kita faham Bersatu terlalu lemah dengan 13 kerusi dan kita faham Bersatu boleh menjadi tidak stabil, sebagai orang politik kita faham usaha itu.
"Namun sebagai wakil rakyat, kita ada tanggungjawab lebih besar, kita menang tu kerana logo BN, kita bertanggungjawab kepada rakyat, dan kita juga akan ditanya di akhirat kelak kenapa kamu pecah amanah, misalnya," katanya.
Ketika ditanya pemberita sama ada beliau turut menerima lamaran berkenaan, Annuar menegaskan akan tetap setia kepada parti. - Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.malaysianupdate.com/2018/10/wujud-usaha-lamar-ahli-parlimen-umno.html