Waythamoorthy Dakwa Ucapan Azwanddin Berniat Jahat
MALAYSIAKINI
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy berkata Presiden  Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah antara lain melakukan  ucapan berniat jahat terhadapnya pada satu perhimpunan Disember tahun  lalu.
Waythamorthy berkata demikian dalam jawapan kepada pembelaan  dalam kes saman yang difailkannya terhadap Azwanddin kerana  mengeluarkan perkataan 'p****' dalam ucapannya.
Azwanddin sebelum  ini mendakwa beliau mengucapkan perkataan itu dalam suasana tegang dan  hanya mengulangi apa yang disebut hadirin pada himpunan itu selepas  dihasut oleh mereka.
"Pengucapan perkataan p**** oleh defendan di  dalam ucapan beliau yang dimuat naik ke atas laman Facebook defendan  menunjukkan bahawa defendan telah mengucapkan perkataan tersebut tanpa  teragak-agak dan tanpa bukti sokongan.
"Kenyataan-kenyataan fitnah  tersebut telah diucapkan dan diterbitkan untuk membuatkan plaintif  berasa malu, dibenci orang awam, dikutuk, direndahkan diri, dibenci,  dihina, berkurangan watak, diiejek dan menghina kepada plaintif.
"Ia  juga diplidkan bahawa ucapan perkataan 'p****' oleh defendan telah  dilakukan oleh defendan tanpa apa-apa jagaan sama ada perkataan yang  telah digunakan adalah memang benar.
"Defendan  juga telah menyatakan bahawa perkataan-perkataan tidak merujuk kepada  plaintif sebagai seorang 'low-life' tetapi kepada satu persepsi daripada  orang awam dan sidang media mengenai tindakan, pengataan plaintif dan  daripada latar belakang/sejarah plaintif dalam isu-isu sensitif bangsa,  agama dan hak asasi manusia.
"Plaintif memplidkan bahawa defendan tidak menyatakan dengan jelas apakah "perkataan" yang dirujuk di dalam peranggan ini,".
"Memandangkan  defendan mengakui bahawa perkataan 'p****' bukan inti sari atau isi  perkara ucapannya tetapi hanya sesuatu yang dinyatakan secara sepintas  lalu, plaintif memplidkan bahawa defendan mempunyai niat jahat dalam  mengatakan perkataan-perkataan berikut kerana plaintif telah diasingkan  oleh defendan di dalam ucapan yang tidak berkaitan dengan plaintif,"  ujarnya.
Berhubung kenyataan Azwanddin mendakwa beliau tidak  mempunyai kawalan ke atas bagaimana media melaporkan kata-kata beliau,  Waythamoorthy berkata defendan tidak berusaha untuk mempebetulkan  laporan salah itu atau meminta portal berita menarik balik berita  tersebut.
Beliau juga berkata Azwanddin tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataannya walaupun diberi surat tuntutan.
Pada  13 Mac lalu Waythamoorthy memfailkan saman fitnah terhadap Azwanddin  kerana menghina dan mengeluarkan perkataan perkauman pada perhimpunan  yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni  Klang.
Perbicaraan kes saman fitnah diadakan di hadapan Hakim  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rohani Ismail dan ditetapkan pada 16 Ogos  ini. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/waythamoorthy-dakwa-ucapan-azwanddin.html