Waterfront Bagan Datuk Mengubah Pekan Koboi Menjadi Lokasi Tumpuan Pelancong
BAGAN DATUK 24 Dis. - Sejak beroperasi dua bulan lalu, Waterfront Bagan Datuk (WBD) kini menjadi destinasi tumpuan pelancong dari luar dan dalam daerah ini lebih-lebih lagi pada hari cuti umum
Kewujudan WBD juga telah mengubah wajah Bagan Datuk yang dahulunya sinonim dengan gelaran ‘pekan koboi’ kepada lokasi yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.
Terletak di pinggir Sungai Perak iaitu kira-kira 21 batu nautika dari perairan Selat Melaka, WBD merupakan projek pertama yang dibangunkan sejak Bagan Datuk diisytiharkan sebagai daerah baharu atau yang ke-12 di negeri ini.
Rata-rata orang ramai mengunjungi kawasan tersebut dengan tujuan untuk bersantai atau berkelah sambil menyedut udara bersih serta menyaksikan pemandangan indah sejurus sebelum matahari terbenam.
Paling istimewa, tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung sepanjang WBD dibuka selama 24 jam setiap hari.
VLOG 1 - Menariknya Waterfront Bagan Datuk Perak
WBD yang diuruskan oleh Pejabat Daerah Bagan Datuk menawarkan pelbagai kemudahan asas seperti gelanggang kasut roda, lapangan permainan layang-layang, tempat memancing serta laluan aktiviti berbasikal untuk kanak-kanak.
Pengunjung juga boleh membeli-belah di gerai-gerai yang menjual beraneka kuih tradisional, minuman seperti air kelapa muda serta cenderahati.
Selain itu, gerai Dataran Amanjaya di WBD menyediakan hidangan istimewa iaitu masakan berasaskan udang galah serta pelbagai jenis makanan serta minuman yang dijual dengan harga berpatutan kepada orang ramai yang ingin menjamu selera.
Seorang pengunjung dari Sungai Sumun, Hamzah Shahsuddin, 53, berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Bagan Datuk mengalami perubahan pesat sejak dua tahun lalu.
“Dahulu, orang ramai tidak berapa berminat untuk datang ke Bagan Datuk kerana terletak di hujung negeri dan pekannya mati tetapi sekarang ia sudah menjadi sebutan orang ramai.
“Harapan saya pada masa akan datang adalah pekan Bagan Datuk menjadi bertambah baik serta dikekalkan suasananya yang indah dan bersih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang anak jati Bagan Datuk, B. Gurramah, 53, menjelaskan, dia sekeluarga terpesona melihat keindahan WBD setelah sekian lama berpindah ke Sitiawan selepas berumah tangga.
“Saya seperti tidak percaya apabila melihat Bagan Datuk semakin berubah dan berharap ia akan menjadi lokasi pelancongan terkemuka suatu hari nanti,” katanya yang pulang ke Bagan Datuk untuk menziarahi saudaranya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Soon Cheng Leong, 45, berkata, Bagan Datuk yang merupakan lokasi sesuai untuk memancing udang galah turut mempunyai kemudahan seperti perkhidmatan bot bagi membawa pengunjung ke kawasan pelancongan di Pulau Sembilan.
“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk kerana berjaya membawa perubahan demi kesejahteraan hidup penduduk berbilang kaum di sini,” ujarnya.
-utusan online.
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://thetrendingnow.blogspot.com/2019/12/waterfront-bagan-datuk-wbd-mengubah.html