Wajib Tahu Ini 11 Gunung Tertinggi Di Asia Tenggara
Di manakah terletaknya gunung tertinggi di Asia Tenggara? Adakah gunung lain yang mampu menandingi ketinggian Gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah?
Kalau anda nak tahu, sebenarnya Gunung Kinabalu berada di tempat ketiga dalam senarai gunung tertinggi di Asia Tenggara.
Jadi, di manakah gunung tertinggi di rantau Asia Tenggara? Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
11 Gunung Tertinggi di Asia Tenggara
1. Hkakabo Razi (Kachin, Myanmar) – 5,881m
Gunung Hkakabo Razi merupakan gunung tertinggi di Myanmar dan Asia Tenggara dengan ketinggian 5,881 meter (19,295 kaki).
Ia terletak di salah satu wilayah utara di Myanmar iaitu Kachin dan merupakan sebahagian daripada Banjaran Himalaya serta berhampiran dengan sempadan India dan China.
Yang menariknya tentang gunung ini, ia merupakan satu-satunya yang mempunyai puncak bersalju di Asia Tenggara.
Kaya dengan flora dan fauna, Hkakabo Razi juga telah diwartakan sebagai rizab semula jadi pada 30 Januari 1996. Pada 10 November 1998, statusnya telah dinaiktaraf sebagai Taman Negara.
2. Puncak Jaya (Papua, Indonesia) – 4,884m
Berdiri megah di Papua, Indonesia, Puncak Jaya merupakan gunung kedua tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian mengagumkan iaitu 4,884 meter dari paras laut.
Keindahan semula jadi dan bentuk muka buminya yang mencabar menjadikannya destinasi idaman bagi pendaki yang menginginkan ekspedisi yang tidak dapat dilupakan.
Berbanding Gunung Hkakabo Razi yang mempunyai puncak bersalju, Puncak Jaya pula mempunyai glasier di puncaknya.
Walau bagaimanapun, glasier yang dikenali sebagai Eternity Glacier ini dilaporkan bakal hilang dalam beberapa tahun lagi disebabkan perubahan cuaca.
Sumber : Utusan Malaysia
3. Gunung Kinabalu (Sabah, Malaysia) – 4,095m
Gunung yang terletak di negeri di bawah bayu ini mencatatkan ketinggian 4,095 meter dari paras laut.
Sebagai puncak tertinggi di Malaysia, ia menawarkan pemandangan yang menakjubkan serta ekosistem yang pelbagai.
Ia juga terkenal dalam kalangan pendaki seluruh dunia yang ingin menguji kemampuan mereka melalui pendakian yang mencabar.
Menurut beberapa sumber,bulan yang sesuai untuk mendaki gunung ini adalah antara Februari hingga April di mana hujan turun lebih sedikit berbanding bulan-bulan lain.
Taman Negara Kinabalu turut disenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2010 dan ia merupakan lokasi pertama di Malaysia yang tersenarai.
Nama Kinabalu dikatakan berasal dari perkataan Kadazandusun Aki Nabalu yang bermaksud “Gunung Nenek Moyang”.
4. Fansipan (Lao Cai, Vietnam) – 3,147m
Gunung Fansipan dengan ketinggian 3,147 meter merupakan puncak tertinggi di Vietnam.
Menawarkan pengalaman mendaki yang tak kurang hebatnya, gunung yang terletak di wilayah barat laut berhampiran sempadan China ini menawarkan pemandangan yang memukau kepada pendaki yang berjaya ke puncak.
Sumber : Vinwonders
5. Tatamailau (Ainaro, Timor-Leste) -2,986m
Juga dikenali sebagai Gunung Ramelau, ia merupakan puncak tertinggi di Timor Leste dengan ketinggian kira-kira 2,986 meter dari paras laut.
Gunung yang terletak berhampiran bandar Letefoho di Daerah Ermer ini menawarkan panorama memukau buat semua pendaki.
6. Gunung Apo (Bandar Davao, Filipina) – 2,954m
Dengan ketinggi 2,954 meter dari paras laut, Gunung Apo berdiri megah merentasi wilayah Davao del Sur dan Cotabato Selatan di pulau Mindanao, Filipina.
Pemandangan semulajadi yang indah serta kepelbagaian biodiversiti gunung ini menjadikan ia salah satu destinasi yang wajib dikunjungi bagi pencinta alam sekitar.
Sumber : rappler.com
7. Phou Bia (Xiangkhouang, Laos) – 2,819m
Dengan ketinggian 2,820 meter dari paras laut, gunung Phou Bia yang terletak di Wilayah Xiangkhouang adalah gunung tertinggi di Laos.
Gunung ini tidak hanya memberi cabaran kepada pendaki, malah ia membuka peluang kepada pengembara untuk menerokai hutan belantara yang terpencil dan kaya dengan flora dan fauna.
Sumber : jclao.com
8. Doi Ithanon (Chiang Mai, Thailand) – 2,565m
Gunung Doi Ithanon merupakan gunung kelapan tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 2,565 meter dari paras laut.
Juga menawarkan hutan yang kaya dengan tumbuhan dan haiwan liar serta air terjun yang terpelihara, gunung yang terletak di wilayah utara Chiang Mai ini menjadi salah satu destinasi yang wajib dikunjungi bagi yang sukakan cabaran dan keindahan alam semula jadi.
Sumber : jonistravelling.com
9. Bukit Pagon (Temburong, Brunei) – 1,850 m
Terletak di daerah Temburong, Brunei, Bukit Pagon berdiri kukuh dengan ketinggian 1,850 meter dari paras laut dan merupakan puncak tertinggi di Brunei.
Selain menawarkan cabaran mendaki, orang ramai juga berpeluang untuk turut menerokai hutan hujan yang masih terpelihara.
10. Phnom Aural (Kampong Speu, Kemboja) – 1,813m
Dengan ketinggian sekitar 1,810 meter dari paras laut, Phnom Aural merupakan gunung tertinggi di Kemboja.
Meskipun tidak setinggi puncak-puncak di negara jiran, gunung ini menawarkan peluang kepada para pengembara untuk menerokai keindahan semula jadi dan warisan budaya Kemboja.
11. Bukit Timah (Singapura) – 164m
Di sebalik pembangunan moden Singapura, terdapat sebuah bukit dengan ketinggian 164 meter iaitu Bukit Timah.
Meskipun ia tidak setinggi gunung lain dalam senarai, namun Bukit Timah tetap penting sebagai titik tertinggi di Singapura.
Ia juga merupakan destinasi rekreasi dan riadah yang popular kepada masyarakat setempat dan pelancong.
Sumber Infografik : Instagram @asianseastory
Kini, anda sudah tahu puncak-puncak tertinggi di negara Asia Tenggara.
Dari puncak bersalju di Myanmar hingga ke hutan hujan tropika di Sabah, gunung-gunung tertinggi di Asia Tenggara ini menjadi tarikan kepada penggemar sukan mendaki dari serata dunia.
Selain bermatlamat untuk mencapai puncak, pendaki juga berpeluang untuk menikmati keindahan biodiversiti yang unik di setiap gunung.
Sumber : seasia.co, Asian SEA Story
Baca Juga : Gunung Kinabalu: Persiapan, Harga Permit, Porter & Tips Mendaki
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/gunung-tertinggi-di-asia-tenggara/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=gunung-tertinggi-di-asia-tenggara