Utamakan Satu Dos Vaksin Terlebih Dahulu
CHINA ialah negara pertama diserang pandemik Covid-19. Meskipun kes kumulatif hanya 103,380 tetapi vaksin yang diberikan kepada rakyatnya adalah tertinggi iaitu 878.5 juta dos.
Walaupun graf pandemik telah melandai di negara berkenaan, ia masih merekodkan kes-kes baharu.
Amerika Syarikat (AS) pula ialah negara termaju, terkaya tetapi paling teruk dilanda pandemik terbabit. Kes kumulatif ketika saya menulis ialah 33.5 juta. Meskipun program vaksinasi telah berlangsung selama enam bulan, AS masih lagi merekodkan 99,382 kes seminggu.
Peratusan tertinggi penduduk yang divaksinasi ialah Israel. Walaupun 56.81 peratus rakyat negara itu telah diberi suntikan vaksin, namun dalam tempoh seminggu masih terdapat 95 kes positif dan 12 kematian.
Di India pula, walaupun 254.8 juta dos vaksin telah disuntik, ia masih merekodkan kes mingguan tertinggi di dunia iaitu 600,435.
Imuniti kelompok adalah senjata yang diketahui mampu menghapuskan beberapa pandemik sebelum ini.
Malangnya setelah enam bulan program vaksinasi bermula, China, AS, Israel dan India masih belum mampu memperoleh imuniti kelompok. Persoalannya, kenapa setelah 2.4 bilion dos vaksin disuntik di serata dunia tetapi belum ada negara yang berjaya memperoleh imuniti kelompok?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksin Covid-19 yang melepasi keberkesanan 50 peratus adalah layak digunakan dan efektif. WHO juga ada mencadangkan agar satu dos vaksin diberikan buat sementara waktu agar lebih ramai populasi mendapat vaksin. Setakat ini belum terbaca ada negara yang melaksanakan cadangan tersebut.
Untuk imuniti kelompok dicapai, 75 peratus populasi perlu memiliki imuniti baik menerusi jangkitan atau cucukan vaksin. Lagi cepat imuniti kelompok dicapai waima dengan cucukan satu dos, lagi cepatlah penularan virus itu dapat dikawal.
Perolehan imuniti kelompok bermakna program vaksinasi tidak perlu diperluaskan kepada golongan usia lain yang lebih muda.
Ini dapat mengurangkan tekanan kepada bekalan vaksin dan akses kepada vaksin dapat diperluaskan bagi misi yang lebih besar iaitu imuniti kelompok global.
Melihat kepada skala kerosakan dan durasi pandemik yang hampir tiada titik noktah, cadangan satu dos sudah memadai bagi mencapai sasaran imuniti kelompok perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.
Lagipun, kalau vaksin Janssen dan CanSino boleh menghasilkan imuniti hanya dengan satu dos, vaksin lain sepatutnya demikian juga.
Memandangkan lagi lama pandemik ini berlarutan maka banyak lagi varian baharu akan dievolusikan, justeru apa jua pendekatan termasuk lain daripada yang lain tetapi berasas perlu disegerakan.
Kajian pula mendapati varian yang membimbangkan (VOC) mampu menjejaskan keberkesanan vaksin, maka dalam konteks vaksin yang terhad ini, lagi cepat imuniti kelompok dicapai maka lagi kuranglah peluang buat virus pandemik melahirkan VOC baharu.
Memandangkan dua dos akan membolehkan lebih banyak vaksin terjual berbanding satu dos bagi setiap orang, saya bimbang lontaran cadangan satu dos akan ‘ditembak’ jatuh terutamanya oleh pempengaruh (influencer) mega yang menangguk di air keruh.
Oleh: SABRON SALEHUDIN
Muallim, Perak.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tungkaranhati.blogspot.com/2021/07/utamakan-satu-dos-vaksin-terlebih-dahulu.html