Ustaz Ebit Lew Tidak Mulia Sendiri Mulia Beliau Adalah Pada Akhlaknya
DUA hari lepas, saya menulis pendek untuk bangsa Rohingya yang berada di Malaysia sebagai pelarian yang dihalau, ditindas dan dibunuh di negara sendiri, Myanmar.
Hujan dan udara sejuk awal bulan Ramadan nampaknya gagal memadam kepanasan dan kemarahan sebahagian daripada anda terhadap bangsa Rohingya. Jika begitu, apalah tulisan saya…
Saya ingatkan anda agar merahmati bangsa tertindas itu, atau jika tidak mampu, maka diam dan jangan sesekali menghina mereka. Saya ingatkan anda dengan dosa. Dosa besar.
Saya tarik anda untuk merenung bulan Ramadan yang penuh rahmah dan kasih sayang. Bulan sabar. Bulan takwa. Bulan hidayah. Bulan kesyukuran dan bulan kemurahan nurani para pendiri Ramadan.
Kemudian secara nyata dan tegas, saya ingatkan anda dengan tipu daya musuh yang terus menerus merancang siang dan malam untuk memfitnah dan merobek kasihan belas dunia, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia terhadap bangsa Rohingya.
Saya ingatkan bahawa ia adalah racun atau virus yang ditularkan di media sosial dan jangan sesekali menghirupnya dengan mudah dan tanpa sedar.
Segera lakukan penjarakan sosial daripada berita palsu dan hukuman kejam terhadap bangsa yang tertindas ini. Kemudian, mereka pula adalah saudara semuslim kita. Muslim itu terlalu kental nilai persaudaraan Islam sesama mereka.
Kemudian, saya sudahkan tulisan saya dengan mencoret nama Ustaz Ebit Lew sebagai kekuatan buat anda sebagai penjulangnya untuk segera membuang kebengisan dan berakhlak mulialah sebagaimana beliau.
Saya menulis;
“Jangan diri merasa hebat menjulang Ustaz Ebit Lew sebagai duta kasih sayang negara, tetapi dalam masa yang sama meninggalkan akhlak mulianya menyantuni orang-orang yang susah, apatah tertindas.”
Malang, saya dimarahi.
Jika begitu, mari saya tukarkan nama Ustaz Ebit Lew dengan insan yang lebih baik dan lebih anda sayangi daripada Ustaz Ebit Lew.
Baca begini,
“Jangan diri merasa hebat menjulang Rasulullah S.A.W sebagai duta kasih sayang kemanusiaan, tetapi dalam masa yang sama meninggalkan akhlak mulia Baginda menyantuni orang-orang yang susah, apatah tertindas.”
Agar anda tahu bahawa bulan Ramadan yang penuh kasih sayang sedang menangisi anda yang sedang menjadi penyambung lidah musuh memerangi bangsa Rohingya yang tertindas. Ramadan menangisi anda.
Agar anda tahu bahawa Rasulullah S.A.W berdukacita dengan akhlak anda sebagai umatnya yang menjengkeli dan menghina saudara sendiri yang sedang menumpang di rumah anda sementara menunggu keluasan daripada Allah untuk kembali ke kampung halaman mereka. Rasulullah berdukacita dengan anda.
Agar anda tahu bahawa Ustaz Ebit Lew tidak mulia sendiri. Mulia beliau adalah pada akhlaknya. Manakala akhlaknya adalah cedokan nur cahaya akhlak Baginda S.A.W.
Akhlak Ustaz Ebit Lew bukan akhlak anda. Anda beralasan seribu bahawa kemarahan anda ada sebabnya. Mereka bangsa yang tidak tahu berterima kasih. Itu premis kukuh anda.
Mari saya bawa anda kepada keluasan akhlak. Biar Allah memuji anda dengan akhlak yang anda lesenkan diri anda untuk mencerca bangsa tertindas, saudara Muslim anda.
Ambil peringatan ini daripada lidah pertama yang membacanya di muka bumi;
(1)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum menghina kaum yang lain. Boleh jadi kaum yang dihina itu adalah lebih baik daripada kaum yang menghina…”(al-Hujurat: 11)
Adakah anda merasa bangsa Melayu lebih mulia di sisi Allah daripada bangsa Rohingya?
(2)
Dalam riwayat al-Bukhari, dinyatakan berlaku perbalahan antara dua individu Muhajirin dan Ansar. Ia berlarutan dengan masing-masing menyeru sokongan golongan masing-masing, “Wahai Ansar. Wahai Muhajirin”. Baginda mendengarnya lalu bersabda;
“Tinggalkannya (seruan jahiliyah). Sesungguhnya ia adalah bangkai (yang telah ditinggalkan oleh Islam).”
Baginda tidaklah segera datang menyelesaikan isu asal perbalahan sebagaimana segeranya Baginda menyelesaikan isu penyelesaian secara jahiliyah yang lebih besar keburukannya ke atas umatnya. Perbalahan adalah adat kehidupan.
Penyelesaiannya mestilah secara Islam, bukan dengan hukum jahiliyah. Jangan memburukkan bangsa Rohingya. Itu adalah bangkai seruan jahiliyah. Ia dosa. Dosa besar.
(3)
Apabila Baginda al-Rasul dipaksa berpatah balik daripada tanah Taif akibat dilontar dengan batu dan dihina oleh penduduknya, Baginda berhenti di perjalanan menuju Makkah. Baginda menitip doa sepanjang zaman golongan tertindas kepada Allah. Antaranya;
“Kepada siapakah ya tuhanku Engkau mahu serahkan daku? Adakah kepada orang jauh yang membenci dan mengasariku? Atau kepada musuh (orang dekat iaitu orang Makkah sendiri) yang berkuasa ke atas segala urusanku?”
Bagaimana, saat anda lancang menuntut bangsa Rohingya agar dihantar pulang, jika anak-anak kecil Rohingya yang sedang menghafaz al-Quran dan para guru mereka di bilik-bilik kecil di seluruh negara ditimpa ketakutan, lalu berdoa dengan doa Rasulullah itu?
“Ya tuhan kami, kepada siapa Engkau mahu serahkan kami? Kepada negara kami yang membunuh kami? Atau kepada bumi ini yang semakin membenci kami menumpang di sini?”
Rasulullah adalah insan tertindas di bumi sendiri di kota Makkah. Sebelum Baginda adalah bapa kita, Baginda adalah bapa golongan tertindas di tempat pertama. Baginda adalah bapa bangsa Rohingya yang tertindas.
Berapa banyak doa golongan tertindas untuk rakyat Malaysia yang membantu mereka. Doa daripada bumi Palestin, Syria, Yaman, Arakan dan serata dunia berjajaran menuju langit berkat bantuan yang rakyat Malaysia curahkan kepada mereka.
Keharmonian negara kita adalah atas sebab doa para malaikat Allah untuk kita. Juga doa segala makhluk di bumi dan di laut untuk kita. Juga doa daripada anak-anak kecil, orang-orang tua, wanita dan juga golongan tertindas yang kita bantu.
Jangan sesekali mendinding doa ini daripada sampai kepada Allah. Asbab kita sejahtera adalah dengan keberkatan doa golongan tertindas yang kita bantu dan perjuangkan.
Jangan sombong Malaysiaku. Sejak bila akhlak buruk sesetengah individu atau kumpulan tertentu dibalas dengan dihalau dari negara? Akhlak adalah soal akhlak. Ada undang-undang untuknya. Malaysia negara hukum. Kuatkuasakan undang-undang untuknya.
Sama ada rakyat negara asing yang mencari rezeki di negara kita atau PATI atau pelarian, kerenah yang mereka lakukan mesti diadili dengan undang-undang. Hak kekal hak sehinggalah dicabuli.
Saya hanya menulis untuk pelarian yang sedang menumpang di bumi bertuah ini. Saya belum pun lagi menulis berkaitan pelarian Rohingya di luar negara yang sedang ketakutan dan mencari perlindungan. Ia dua penyelesaian yang berbeza. Mari muliakan diri dengan akhlak yang mulia. Itulah anugerah Ramadan yang menanti kita.
اللهم اهدنا لأحسن الأخلاق لا يهدى لأحسنها إلا أنت واصرف عنا سيئها لا يصرف عنا سيئها إلا أنت.
“Ya Allah, hidayatilah kami kepada akhlak yang terbaik. Tiada yang menunjuki kepadanya selain-Mu. Dan elakkan kami daripada akhlak yang buruk. Tiada yang mampu mengelakkan kami daripadanya selain-Mu.”
USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/04/ustaz-ebit-lew-tidak-mulia-sendiri.html