Usrah Di Mcdonald S Sebagai Tanda Damai
Gelisah melihat kekeliruan sesetengah orang terhadap pendirian memboikot rangkaian restoran makanan segera yang dilabel terkait dengan Israel, sekumpulan aktivis dengan latar belakang pelbagai mengambil jalan yang unik.
Mereka menyertai 'usrah' di salah sebuah cawangan restoran McDonald's di Selangor.
Bertempat di Puchong, mereka - yang sesetengahnya siap berjubah dan berkopiah - berkumpul untuk menunjukkan bahawa kempen boikot itu adalah suatu pilihan buat rakyat Malaysia.
Jurucakap kumpulan itu, Omar Mohamed, berkata ketika ada kumpulan yang mahu meneruskan kempen tersebut, ada pilihan buat orang lain yang mahu menjadikan rangkaian restoran seperti McDonald's sebagai tempat menjamu selera dengan selamat, sambil meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.
"Pada kami, restoran seperti McDonald's dan KFC ada jasa yang agak banyak kepada rakyat Malaysia, termasuk dari program kemasyarakatan mereka.
"Justeru apa salahnya untuk kami ambil dari sudut itu untuk memberikan perspektif positif syarikat berkenaan.
"Dan yang lebih penting ialah, kami cuba tonjolkan hubungan timbal balik yang baik di antara penyedia makanan dan pelanggan agar kita semua dapat hidup secara harmoni," katanya kepada Malaysiakini.
Dinamakan secara tidak rasmi sebagai program usrah Madani @ McD, mereka berbincang sambil menikmati hidangan masing-masing selama kira-kira dua jam.
Mereka berkumpul di situ sejak jam 8.30 malam.
Peserta pula terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pakar kewangan Islam, kejuruteraan komunikasi, agama dan akauntan.
Omar berkata, tindakan mereka itu bukanlah sebagai langkah mahu mencabar atau memprovokasi mana-mana pihak sebaliknya cuba meyakinkan orang ramai bahawa aktiviti dijalankan syarikat seperti McDonald's dan KFC itu adalah OK saja.
Untuk rekod gerakan memboikot pelbagai jenama yang terkait dengan Israel digerakkan dengan ketara sejak beberapa bulan lalu selepas rejim Zionis menggempur Palestin.
Bagaimanapun kempen itu menunjukkan perkembangan berbeza apabila pihak tertentu yang menyokongnya menggunakan pendekatan di luar batasan.
Ekstrem bermula dari atas
Misalnya ada kumpulan yang mengugut serta mengganggu pelanggan restoran berkenaan, selain menggunakan kaedah janaan digital menggambarkan pihak yang menerima McDonald's atau KFC sebagai anjing.
Ditanya bagaimana mereka boleh terfikir untuk berkumpul begitu, Omar menjelaskan, ia muncul secara spontan dan santai.
"Ia membawa kami yang sering berkomunikasi di media sosial untuk berbual secara santai, dan kebetulan pula suasana Aidilfitri masih terasa.
"Di situ kami menggunakan ruang yang ada untuk mengeratkan persaudaraan.
"Tema utama ialah kerana Aidilfitri itu tapi kami bukan nak melawan kempen boikot," katanya.
Sementara itu salah seorang perserta Najmuddin Yusoff berkata kempen melampau oleh sesetengah pihak seperti baru-baru ini perlu dijawab dengan kaedah yang ramah serta rahmah.
Katanya tindakan semberono itu bukan saja menggugat keharmonian malah memberikan imej yang buruk kepada Islam.
"Tak ada apa-apa yang perlu kita takutkan. Tak mengapa jika kita mahu memboikot restoran ini, dan pada masa sama tidak ada apa-apa jika kita memilih untuk masuk dan makan di sini dengan aman," katanya.
Ditanya apakah perbincangan yang disentuh sepanjang tempoh dua jam itu, Najmuddin berkata: "Bermacam-macam. Isu semasa, perkampungan Sunnah di Perlis dan hal-hal berkaitan dengannya, serta politik semasa termasuk pendekatan ekstrem pihak tertentu."
Omar pula memberitahu mereka turut melihat bagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim terlibat dalam "misi gila" membawa isteri dan anak aktivis Gaza, Nadir al-Nuri Kamaruzaman, keluar dari wilayah bergolak itu untuk dibawa ke Malaysia.
"Sebenarnya aktiviti keagamaan di Selangor berlangsung sangat baik namun ada timbul isu ekstrem yang dimulakan oleh pemimpin tertentu lalu disambut oleh pengikut mereka secara semberono," katanya.
Sementara itu Najmuddin berkata, mereka bercadang untuk mengadakan lagi program seumpama itu selepas ini.
“Mungkin menjadi program bulanan, tetapi kami tidak akan mengkhususkan hanya di restoran McDonald’s,” katanya. - Mkini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/04/usrah-di-mcdonalds-sebagai-tanda-damai.html