Untuk Pengkhianat Umno
PRN PELUANG TERBAIK UNTUK PEMIMPIN UMNO DIPECAT/DIGANTUNG
BUKTIKAN TINDAKAN TERHADAP MEREKA ADALAH SALAH
Kecuali Tajuddin Abdul Rahman, semua pemimpin UMNO lain yang
dipecat atau digantung nampaknya tidak berhasrat untuk mengemukakan rayuan.
Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan dan
Maulizan Bujang adalah antara yang bertegas tidak akan membuat rayuan, manakala
yang lain-lain pula terlihat senyap begitu saja – dipercayai turut tidak
membuat rayuan atau sedang memikir-memikir untuk menyertai parti lain menjelang
PRN akan datang tidak lama lagi.
Alasan mereka enggan membuat rayuan, antaranya kerana tidak tahu
apa kesalahan telah dilakukan dan tidak pernah dipanggil membela diri oleh
Lembaga Disiplin sebelum hukuman dijatuhkan.
Dalam erti kata lain, walaupun mungkin ada pertuduhan, ia hanya
dikemukakan kepada MT UMNO dan kemudian terus dijatuhkan hukuman pemecatan atau
penggantungan itu.
Dengan demikian prosesnya, mereka terbabit melihat tiada
keperluan untuk mengemukakan sebarang rayuan terhadap hukuman yang telah
dijatuhkan.
Sesungguhnya keputusan enggan membuat rayuan itu adalah tindakan
paling tepat dan wajar sekali dilakukan sekali dilakukan oleh pemimpin-pemimpin
berkenaan.
Pertama, politik ini adalah perjuangan dan perjuangan perlu
kepada tindakan melawan, bukan sikit-sikit membuat rayuan atau memperlihat
lemahnya jiwa untuk melawan.
Jika yakin tidak bersalah, malah tidak diberitahu apa kesalahan
sehingga dipecat atau digantung, maka tiada sebab sama sekali untuk membuat
rayuan.
Membuat rayuan kepada kesalahan yang tidak diketahui dan tidak
diberitahu lebih bererti melutut kepada kebatilan.
Kalau yang digantung mahu tunggu dengan UMNO, mereka hanya perlu
tunggu tempoh penggantungan itu selesai.
Begitu juga yang dipecat, tunggu saja kepimpinan UMNO berubah,
barulah ketika itu jika mahu mohon semula sebagai ahli.
Kedua, dipecat atau digantung daripada UMNO bukan pengakhiran
sebuah perjuangan dalam kehidupan.
Zaman sudah berubah dan UMNO pun semakin nipis kepercayaannya di
kalangan rakyat, bukan macam dulu lagi di mana parti itu sajalah paling relevan
untuk berjuang dan mengejar cita-cita.
Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin dan Anwar Ibrahim telah
membuktikan kejayaan menjadi Perdana Menteri boleh dicapai bukan melalui wadah
UMNO.
Malah, kerana beralih parti juga, ramai yang berpeluang jadi
menteri, exco kerajaan negeri dan lain-lainnya.
Pokoknya, jangan takut untuk berhijrah dan mencari wadah baru.
Kepada Hishammuddin dan KJ khususnya, jangan toleh ke belakang
lagi!!
Ketiga, semua orang tahu tindakan pemecatan dan penggantungan
itu adalah agenda Zahid Hamidi untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai
Presiden UMNO semata-mata.
Bimbang dikalahkan dalam pemilihan UMNO, khususnya kerana
prestasi buruk BN dalam PRU15 walaupun sudah diberikan jawatan Timbalan Perdana
Menteri oleh Anwar Ibrahim, jalan paling mudah untuk mengelakkan dilawan ialah
dengan menggantung dan memecat semua pengancam yang dilihat berbahaya
kepadanya.
Oleh yang demikian, menjelang PRN enam negeri yang akan datang
ini, keutamaan semua pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung itu ialah
membuktikan tindakan memecat serta menggantung mereka itu adalah salah dan
tidak diterima rakyat.
Rasanya tidak perlu diajar atau diberitahu apa yang perlu mereka
lakukan, yang penting ialah memastikan UMNO terus ditimpa kekalahan buruk dalam
PRN ini sebagaimana ketika PRU15 lalu.
Hanya dengan kalahnya semua atau sebahagian besar calon-calon
UMNO dalam PRN enam negeri nanti saja dapat membuktikan segala keputusan
penggantungan dan pemecatan pemimpin yang diambil Zahid Hamidi sebelum ini
adalah tindakan yang salah.
Yang penting, jangan berdiam diri dan duduk berpeluk tubuh
begitu saja. – ShahbudinHusin 14/06/2023.
https://shahbudindotcom.net/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/06/untuk-pengkhianat-umno.html