Umur Baru 2 Tahun Noah Ariz Sudah Hafal Sifir 1 Hingga 10
Umur baru 2 tahun, Noah Ariz sudah hafal sifir 1 hingga 10. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan mengejutkan ramai apabila berjaya menghafal sifir dari satu hingga 10 secara spontan dan lancar, tanpa sebarang pendedahan awal kepada bahan pembelajaran formal.
Umur Baru 2 Tahun, Noah Ariz Sudah Hafal Sifir 1 Hingga 10
Ibunya, Najwa Abd Ghafar, 34 tahun, yang merupakan pensyarah Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor, berkata bakat luar biasa anaknya, Noah Ariz Amirul Mukminin, mula dikesan seawal usia satu tahun lima bulan apabila anak kecil itu menunjukkan minat yang mendalam terhadap nombor serta pola kiraan.
“Ketika itu, dia sering menyebut nombor dan dapat mengingati urutan dengan sangat baik. Apa yang mengejutkan, beberapa minggu sebelum Aidilfitri, saya terdengar dia membaca sifir dua secara lancar dalam kereta,” kata Najwa.
Menurutnya lagi, pada ketika itu Noah sedang duduk bersamanya dalam kereta dan tiba-tiba menyebut sifir dua hingga habis, satu tindakan yang langsung tidak dijangka.
Kini, Noah mampu menghafal semua sifir dari satu hingga 10 dengan lancar, dan pencapaian ini datang tanpa paksaan atau latihan rasmi daripada ibu bapanya.
Najwa yang tinggal di Seri Kembangan, Selangor, berkata bahawa kebolehan anaknya itu timbul secara semula jadi. Malah, pada peringkat awal, mereka tidak mendedahkan Noah kepada animasi pembelajaran. Namun setelah menyedari potensi yang dimilikinya, Najwa mula memperkenalkan pelbagai bahan bantu belajar seperti kad imbas, buku, permainan berkaitan pengiraan dan kartun pendidikan seperti ‘Number Blocks’.
“Saya tak pernah paksa dia belajar. Kalau saya sebut nombor dan dia ikut serta, itu tandanya dia berminat. Tapi kalau dia tidak respon, saya biarkan saja. Pembelajaran berlaku melalui permainan dan aktiviti harian,” katanya.
Ketika ditanya mengenai amalan ketika hamil, Najwa menjelaskan bahawa tiada sebarang rutin istimewa diamalkan. Namun, pada masa itu beliau sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD dalam bidang Sains Komputer yang banyak melibatkan pembacaan dan penulisan akademik. Beliau berpendapat aktiviti tersebut mungkin secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan awal anaknya.
Dari segi pemakanan pula, Noah kurang menggemari makanan manis dan lebih cenderung kepada buah-buahan. Najwa juga berusaha mengelakkan pemberian makanan tidak sihat kepada anaknya.
Walaupun Noah menunjukkan keistimewaan dalam bidang matematik, Najwa dan suaminya belum membuat sebarang perancangan konkrit mengenai masa depan anak mereka. Buat masa ini, mereka lebih selesa memantau minat dan kebolehan Noah secara semula jadi.
“Setiap anak ada kelebihan tersendiri. Bagi kami, apa yang penting adalah menyokong minat Noah supaya dia dapat belajar dalam suasana yang menyeronokkan dan tanpa tekanan,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Pelajar Daftar UM Usia 12 Tahun, Rupanya Anak Autisme, Genius Matematik!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
The post Umur Baru 2 Tahun, Noah Ariz Sudah Hafal Sifir 1 Hingga 10 appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/umur-baru-2-tahun-noah-ariz-sudah-hafal-sifir-1-hingga-10/