Umur Baru 16 Tahun Masih Bersekolah Anak Jamal Abdillah Dah Jadi Tauke Kedai Makan Bantu Ibu Cari Duit
January 31, 2022 MAHU membantu ibu menjana pendapatan keluarga, penyanyi Zaki Yamani menceburi bidang perniagaan dengan membuka gerai makanan dan minuman di medan selera yang terletak di Kajang, Selangor.
Menurut Zaki, 16, gerai diberi nama Ngopi Dulu Yop yang beroperasi sejak dua bulan lalu itu menyediakan pelbagai menu makanan segera inspirasi dari Korea serta minuman berasaskan kopi.
“Idea nak berniaga ini datang dari saya dan ibu saya. Memandangkan ibu pun dah tak kerja lagi dan saya pun tak boleh mengharapkan duit show semata-mata, jadi kenalah cari pendapatan sampingan untuk kami berdua.
“Sewa rumah nak kena bayar, saya pun masih bersekolah jadi semuanya memerlukan pembelanjaan. Kami rasa membuka gerai menjual makanan dan minuman ini merupakan salah satu cara untuk jana pendapatan. Alhamdulillah sambutan baik daripada pelanggan.
“Boleh dikatakan setiap hari saya turun ke kedai selepas sesi persekolahan, hujung minggu memang kawasan ni penuh, mujurlah kami ada tiga pekerja yang membantu menguruskan kedai ini,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, anak kepada penyanyi pop Datuk Jamal Abdillah ini mengakui berasa bangga kerana impiannya untuk memiliki perniagaan makanan dan minuman akhirnya tercapai.
Malah, dia merancang untuk menambah cawangan dan kios di beberapa kawasan lain, selain meneroka perniagaan baharu.
“Selain di Kajang, kita juga ada kios di Setapak, Kuala Lumpur… di sana pun kami jual pelbagai jenis minuman berkopi dan perisa buah-buahan. Perancangan selepas ini nak buka satu lagi cawangan di Shah Alam.
“Alhamdulillah saya berbangga sangat di usia 16 tahun saya sudah memiliki perniagaan sendiri dan dapat bantu ibu jana pendapatan untuk keluarga.
“InsyaAllah selepas ini saya akan keluarkan produk kosmetik dan pencuci wajah jenama saya sendiri,” ujarnya.
Pembukaan kedai makanan dan minuman ini bukan sahaja memberi peluang kepadanya untuk mempelajari selok belok perniagaan semata-mata, penyanyi lagu Slow Mo ini juga berkata dia dapat memperbaiki cara berkomunikasi dengan orang ramai.
“Kalau dalam pelajaran saya minat bidang kejuruteraan, tapi perniagaan pun salah satu benda yang saya suka.
“Saya seronok bila dapat layan pelanggan. Kalau di gerai ini saya juga jadi barista yang buat air, memang dapat jumpa macam-macam perangai pelanggan.
“Secara tak langsung saya dapat belajar cara macam mana nak perbaiki percakapan apabila berhadapan dengan orang ramai,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/02/umur-baru-16-tahun-masih-bersekolah.html