Umno Tunda Perhimpunan Agung Ke 4 7 Disember
MALAYSIAKINI
    Perhimpunan Agung Umno bagi tahun 2019 yang sebelum ini ditetapkan  pada 13 hingga 16 November telah ditunda kepada 4 hingga 7 Disember akan  datang.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata tarikh baru  yang disepakati oleh Majlis Tertinggi Umno hari ini itu adalah untuk  memberi ruang kepada pimpinannya memberi perhatian kepada kempen Pilihan  Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang dijadualkan pada 16 November.
“Perhimpunan Agung Umno tahun 2019 akan diubah pada 4 Disember hingga 7 Disember.
  “Kami akan menentukan bahawa seluruh jentera Umno dan BN ditumpukan di  PRK Tanjung Piai,” katanya pada idang media selepas mempengerusikan  Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn,  Kuala Lumpur, hari ini.
Turut  hadir Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Annuar Musa,  Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan Khaled Nordin, Ketua Pemuda Asyraf  Wajdi Dusuki serta pemimpinan tertinggi Umno lain.
Umno sebelum  ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tarikh pilihan raya kecil  (PRK) parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) pada Selasa lalu kerana bertembung dengan perhimpunan agung parti  itu.
Annuar menuduh SPR seperti mempunyai "niat yang tidak berapa baik".
Walau  bagaimanapun, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan  bahawa suruhanjaya itu sengaja memilih tarikh yang sama dengan  perhimpunan agung Umno dan MCA.
Beliau memberi lima senario mengenai kemungkinan tarikh pilihan raya kecil itu diadakan dan mengapa SPR menolaknya.  Ini termasuk mengelakkan tarikh PRK daripada bertembung dengan cuti  Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar pada 5 Oktober dan sambutan Deepavali  pada 27 Oktober.
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian  penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21  September lalu akibat komplikasi jantung.
Tanjung Piai merupakan  kerusi tradisi MCA dan ketua parti bahagian berkenaan Wee Jeck Seng  telah menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum tewas pada  PRU14 kepada Dr Farid daripada Bersatu.
Bagaimanapun Umno bersama PAS melalui kerjasama Muafakat Nasional telah melobi untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.
Untuk rekod, tarikh yang ditetapkan oleh SPR pada PRK Sandakan 11 Mei lalu turut bertembung dengan Kongres Khas DAP pada 5 Mei. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/umno-tunda-perhimpunan-agung-ke-4-7.html