Umno Bersatu Dan Pas Bergaduh Dap Mca Yang Untung
ismaweb.com
Siti Hafidah
13/7/2021
Tubuh jajaran politik baharu antara parti Melayu demi ummah
BANGI, 3 Zulhijjah 1442H, Selasa – Sudah tiba masa pembentukan jajaran politik baharu di antara parti-parti Melayu dan Islam ditubuhkan demi kepentingan ummah.
Namun, pembentukan jajaran baharu ini mesti membawa roh kerjasama keserasian dan keharmonian antara semua parti Melayu dan Islam – sama ada parti bersaiz besar mahupun kecil digamit bersama ke meja perundingan.
Mengesyorkan saranan itu, Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, tolak ansur dengan jiwa negarawan mesti dizahirkan dalam menyatukan semua parti Melayu dan Islam.
Tegasnya, perkongsian kuasa demi kepentingan bangsa dan agama mesti menjadi objektif pembentukan jajaran baharu bahkan keegoan dan kerakusan mana-mana parti mesti ditongsampahkan.
“Kerusi MP UMNO kekalkan, kerusi MP Bersatu juga PAS pun sama dikekalkan.
“Kemudian lain-lain parti yang bersama dikongsikan juga supaya menjadi rakan politik yang membawa jiwa watan demi kelangsungan ummah sebagai peneraju utama politik tanah air kita,” sarannya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, idea ini dapat dilaksanakan sekiranya sifat keegoan dan kerakusan parti Melayu mampu dibuang.
Jelasnya, selama ini dua sifat berkenaan yang merugikan bangsa Melayu dan Islam sehingga pepatah ada menyebut ‘antan dengan antan berlaga, maka ayam keliling lesung akan kenyang’.
“Untuk lebih jelas pepatah tersebut, biar saya zahir dengan contoh. UMNO, Bersatu dan PAS asyik bergaduh, maka DAP dan MCA yang untung.
“Apa tidaknya. Berapa kerusi MP DAP bertambah ketika PAS bekerjasama dengan DAP satu masa dahulu? MCA diangkat menjadi calon di kawasan majoriti Melayu sejak sekian lama, siapa yang kenyang?
“Kalau tidak sekarang buat jajaran baharu bernafas segar demi bangsa dan agama bila lagi?,” soalnya.
Dalam keadaan sekarang ini, Ustaz Zamani berpandangan tidak ada mana-mana parti politik Melayu yang dominan.
Serentak itu, beliau memberi amaran, sekiranya parti Melayu dan Islam masih menyuburkan landskap politik lama, lambat laun bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak akan menjadi bangsa kuli oleh bangsa lain.
“Nampaknya idea untuk bentuk jajaran baharu sudah ada tetapi masih berfikir dalam kerangka politik kepartian yang ego dan rakus.
“Saya berpandangan, idea jajaran baharu ini perlu nafas politik segar,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/07/umno-bersatu-dan-pas-bergaduh-dap-mca.html