Bersatu Umno Dan Pas Carilah Persamaan
Bersatu, UMNO dan Pas, carilah persamaan. MUAFAKAT parti-parti politik dan orang Melayu adalah satu persoalan besar yang perlu difikirkan bersama oleh semua orang Melayu di negara ini. Ia sangat penting pada keutuhan kuasa politik Melayu yang sekarang berada dalam kecelaruan dan membimbangkan.
Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO yang dibentuk pada 2019 patut dipuji tetapi tidak memadai dengan dua parti Melayu. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti ada bersama dan tidak sepatutnya berada di luar muafakat.
Sedar atau tidak, masalah sosioekonomi yang merudum dan percaturan politik tidak berkesudahan sekarang adalah kerana muafakat parti politik dan orang Melayu yang berada dalam keadaan lemah. Orang Melayu agak kehilangan arah – ke mana mahu dituju? Parti mana nak dipilih?
Parti-parti politik utama orang Melayu telah berpecah dan dipecah-belahkan. Pas berpecah kepada Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah). UMNO juga berpecah kepada UMNO dan Bersatu. Akui atau tidak, perpecahan Melayu memberi kesan kepada kestabilan politik negara. Walaupun ada parti politik berjaya membentuk kerajaan sama ada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini atau Perikatan Nasional (PN) sekarang, namun kestabilan dan kekuatannya agak rapuh. Politik Melayu dan pemimpinnya tidak mampu bersuara lantang, hak Melayu tidak diserlah dan dijunjung tinggi. Kenapa ini berlaku? Jawapan mudahnya, muafakat Melayu yang rapuh, sokongan rakyat kepada parti-parti Melayu berbelah bahagi dengan keyakinan yang relatifnya rendah.
Perpecahan mesti dihentikan secepat mungkin. Kesedaran dan keyakinan orang Melayu di semua peringkat dan wilayah geografi negeri dan daerah mesti dibangunkan. Semakin lama kita bertangguh, semakin jauh kita hanyut, semakin banyak hak kita khususnya untuk generasi muda ditinggal begitu sahaja, tanpa diberi kepada yang hak.
Bagaimana harus bermula? Kesedaran mesti ada dalam dada bahawa kita sekarang berada dalam ancaman sosiopolitik. Bersatu, UMNO dan Pas mesti membina ikatan yang kuat dan pada masa sama tidak menolak parti-parti politik bukan Melayu yang turut sama menjunjung inspirasi nasional berteraskan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Apa yang digariskan dalam Perlembagaan seperti kedudukan agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan Perkara 153 tentang hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak mesti dijadikan asas perjuangan. Apa yang disiratkan dalam Rukun Negara harus patuh, akur, faham dan diamalkan.
Sebagai contoh, parti-parti politik Melayu boleh menggunakan Perkara 153 sebagai asas utama bagi membentuk perpaduan Melayu dan Malaysia seluruhnya. Jika disedari dan difahami dengan mendalam, Perkara 153 ada falsafah besar yang tersirat dalam membina kekuatan dan kestabilan bangsa berteraskan prinsip one state, one nation. Hanya mereka yang tidak benar-benar faham sahaja akan menolak dan mempertikaikan peri pentingnya Perkara 153 itu yang kedudukannya sangat istimewa dalam Perlembagaan negara.
Kenapa saya katakan istimewa? Pertama, peruntukan ini tidak boleh diubah melalui melalui sokongan besar dua pertiga ahli Parlimen (hatta andainya keseluruhan ahli Dewan Rakyat bersetuju meminda peruntukan ini). Perkara ini mesti dirujuk kepada Majlis Raja-Raja. Perkara 38(5) jelas memperuntukkan Majlis Raja-Raja hendaklah dirunding sebelum dibuat apa-apa perubahan dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.
Kedua, peruntukan ini terbukti semasa pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang meletakkan Perkara 153 sebagai asas rujukan dalam dasar-dasar utama negara bersama-sama prinsip asas utama Perlembagaan Persekutuan). Terbukti Abdul Razak berjaya membina kekuatan dan kestabilan sosiopolitik orang Melayu tanpa dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Perkara 153 tidak menafikan kepentingan kaum-kaum lain.
BIASISWA
Peruntukan tentang hak biasiswa dan danasiswa, peluang keusahawanan dan ekonomi serta kuota perjawatan awam bagi orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak mempunyai maksud yang besar maknanya bagi membina kestabilan dan sokongan orang Melayu kepada politik yang mendukung amanah ini. Ini juga isu penting bagi menarik sokongan generasi muda Melayu kepada parti-parti politik utama Melayu. Perkara 161A (4) yang memperuntukkan Perlembagaan-perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubahsuaian yang perlu) dengan Perkara 153.
Kita ambil contoh mudah tentang peruntukan biasiswa, danasiswa dan kemudahan pelajaran kepada orang Melayu. Ini telah dilaksana oleh Abdul Razak dan pimpinan selepasnya sebelum agak pudar mulai akhir 1990-an atau awal 2000-an. Sehingga dekad pertama dan awal dekad kedua pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, asas ini masih diamalkan. Ramai tenaga mahir, profesor dan teknokrat lahir daripada dasar ini yang berteraskan Perkara 153.
Adakah pengurangan kadar biasiswa/danasiswa kepada orang Melayu, pengurangan perjawatan awam kepada graduan Melayu, peluang terbuka dan lebih bersifat sama rata di bawah dasar 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, penggantian biasiswa kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan amalan-amalan seumpamanya selaras dengan Perkara 153? Adakah generasi muda Melayu tidak berasa apa-apa terhadap parti politik Melayu kerana hak dan keistimewaannya telah digadai? Ini adalah isu besar yang perlu difikirkan oleh pimpinan politik Melayu sekarang bagi menarik sokongan generasi muda.
Dasar yang tepat dan perpaduan antara parti-parti politik Melayu khususnya Bersatu, UMNO dan Pas mampu membina semula kekuatan politik dan sosiekonomi orang Melayu dan Malaysia. Antara ketiga-tiga parti politik Melayu ini, jangan cari perbezaan sebaliknya cari persamaan yang boleh membina kekuatan. Pemilihan parti politik untuk memegang kuasa bukan sesuatu yang boleh dibuat ujian.
Bagi para pemimpin, sudah cukuplah berfikir untuk kepentingan jangka pendek dan kepentingan diri. Tancapkanlah fikiran dan haluan ikhlas bagi membina negara dan bangsa, paksikan sikap jujur dan ikhlas tanpa rasuah.
Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah
Bersatu, UMNO dan Pas, carilah persamaan
Baca Artikel Menarik :
Malaysia perlu contohi negara Asia Timur tangani krisis Covid-19
Ekonomi Malaysia tidak bergerak sekiranya kelas bawahan masih ramai
Jika Muhyiddin enggan letak jawatan, NGO akan turun berdemo
Gelagat Lucu Jin Masuk Islam Ini Tarik Perhatian Netizen Bila ‘Ruqyah’ Wanita Dirasuk [VIDEO]
NORA DANISH KELIRU NETIZEN BANDINGKANNYA DENGAN IFA RAZIAH [VIDEO]
Resepi Mee Sizzling
Layari Laman Facebook MYKMU
Mahathir jangka Azmin, Mukhriz bakal PM
The post Bersatu, UMNO dan Pas, carilah persamaan appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/07/15/bersatu-umno-dan-pas-carilah-persamaan/