Ulasan Undi Percaya Pm Bukan Untuk Beri Pengesahan Perkenan Agong
  Shamrahayu Abd Aziz  
ULASAN | Saya  menulis kali ini untuk menegaskan pandangan saya tentang undi percaya kepada  perdana menteri yang baharu dilantik, terutamanya pelantikan bukan hasil  daripada pilihan raya.
Sebelum saya menjawab isu utama bagi tujuan penulisan ini, saya mahu  menyatakan beberapa perkara tentang kedudukan undang-undang:
1. Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan  Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan perdana menteri.
2. Tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya. Ia adalah  amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu  undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.
3. Pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri  Paduka Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani  suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang  kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.
4. Sekiranya Tuanku titah untuk diadakan undi percaya, itu adalah bagi  tujuan mengukuhkan kedudukan seorang perdana menteri, atau sesebuah kerjaan,  bukan untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang  di-Pertuan Agong.
Apa yang saya perlu tegaskan tentang isu utama di sini ialah:
Kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah amat berwibawa dan ia tidak  perlu disahkan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen. Maksudnya tiada sesiapa  pun boleh mempertikaikannya.
Ia adalah kuasa budi bicara Baginda. Membenarkan ia wajib disahkan oleh  parlimen dalam apa cara sekalipun ia akan merendah-rendahkan kuasa  budibicara/perkenan baginda.
Parlimen adalah badan yang patut menurut dan taat kepada perkenan  baginda.
Justeru, kalaupun baginda titahkan untuk dibuat undi percaya, ia bukan  bertujuan mengesahkan atau memberikan keabsahan kepada lantikan yang telah  diberi perkenan oleh baginda.
Tindakan mendapatkan undi percaya itu adalah bagi mengukuhkan kerajaan. Dan  melaksanakan titah ini adalah baik untuk kerajaan itu sendiri walaupun ia  adalah hanya adat perlembagaan.
Saya mengambil berat tentang fungsi perkenan yang dibuat oleh Yang  di-Pertuan Agong kerana saya tidak mahu kemudian hari nanti orang ramai atau  para pemain demokrasi menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong tersebut boleh  disahkan oleh Parlimen.
Sekiranya hal ini (memberikan kuasa kepada parlimen untuk mengesahkan  perkenan Yang di-Pertuan Agong) berlaku ia amatlah tidak baik sama sekali  kepada kuasa budi bicara dan kemuliaan Yang di-Pertuan Agong.
Akhir sekali, sekiranya para pembaca meneliti semua kenyataan saya sebelum  ini, saya tegaskan lagi, kerajaan hendaklah mengambil langkah untuk mengukuhkan  kedudukan mereka, dan mengambil tauladan daripada apa yang berlaku kepada  kerajaan sebelum ini.
Seterusnya, penegasan saya ialah, undi percaya bukan untuk menjadikan  perkenan Yang di-Pertuan Agong atas lantikan Perdana Menteri itu sah. Ini  kerana Parlimen tidak diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk memberi  pengesahan kepada kuasa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. MALAYSIA KINI
(*) PROF MADYA SHAMRAHAYU ABD AZIZ merupakan pakar perlembagaan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/ulasan-undi-percaya-pm-bukan-untuk-beri.html