Ulasan Tronsmart Spunky Pro Tws Berkualiti Mampu Milik
Boleh dikatakan kini terdapat lambakan TWS dari yang murah kepada mahal, dari berjenama kepada nama yang tidak beberapa dikenali.
Oleh itu, tidak dapat tidak, selaku pengguna yang pertamanya kita ada pelbagai pilihan yang kadangkala membuat kita ‘kelabu mata’. Dalam masa yang sama, kita ‘dimanjakan’ dengan pilihan-pilihan tersebut hingga terasa seakan ingin beli sahaja semuanya.
Tronsmart tidak mahu ketinggalan dalam mengikut perkembangan pasaran TWS. Terlahirlah Spunky Pro yang disasar kepada golongan yang inginkan kualiti bunyi bagus, tetapi juga berbajet tidak begitu tinggi.
Sebelum ini saya mengulas mengenai QCY T2C, TWS bajet yang memuaskan hati. Selaku penggemar muzik, saya tiada terlalu banyak perkara hendakkan ia ditambah baik. Cukup sekadar had bunyinya ditingkatkan, kerana adakala saya perlu naikkan kadar bunyi (volume) untuk benar-benar menikmati lagu.
Bila terima sahaja Tronsmart Spunky Pro ini, terasa seakan apa yang saya harapkan telah termakbul.
Apa pun mari kita buka kotak terlebih dahulu.
Apa yang ada dalam kotak?
1. Wayar pengecas USB-C.
2. Manual panduan pengguna.
3. Kad waranti.
4. Penutup telinga silikon gantian.
5. Udara. Heheheh.
Jadi, bagaimanakah kualitinya jika hendak dibandingkan dengan TWS bajet seperti QCY T2C?
Dari segi jangka hayat baterinya yang berkapasiti sebanyak 35mAh, tempoh masa main boleh mencecah hingga 3.5 jam, manakala jika disertakan dengan kuasa bateri dari bekas pengecas dikatakan ia dapat mencecah 18 jam. Kuasa dari bekas pengecas pula adalah sebanyak 400mAh.
Ini masih agak kurang berbanding QCY T2C yang mana kapasiti baterinya adalah 43mAh, dan bekas pengecas pula 800mAh.
Rujuk ulasan mengenai QCY T2C di sini: QCY T2C: TWS Bajet Untuk Penggemar Muzik.
Walaubagaimanapun, kekurangan itu ditampung oleh satu ciri utama yang lain iaitu kualiti bunyinya.
Spunky Pro masih menggunakan codec yang sama iaitu AAC. Pun begitu, kualiti bunyinya lebih memuaskan, setaralah dengan harganya yang lebih mahal dari QCY T2C itu.
Senarai lagu ujian saya masih sama (boleh rujuk ulasan QCY T2C untuk mengetahui senarainya).
Namun, kali ini telinga saya ‘kekenyangan’ dengan bunyi dihasilkan olehnya. Jika codec AAC yang diguna mampu menjana bunyi seperti ini, saya dapat bayangkan apabila Tronsmart mengimplimentasi codec aptX pada model akan datang iaitu Spunky Beat, pasti ia akan menghasilkan bunyi yang jauh lebih baik lagi.
Pada saya definisi bunyinya lebih menyeluruh dan jitu. Ini satu kemajuan yang baik kerana setelah menggunakan TWS untuk beberapa lama, terasa lebih mudah pula untuk membawanya ke mana-mana dalam poket.
Spunky Pro memberikan bunyi bass yang lebih kuat, dan dalam lagu Machine Gun Kelly – el Diablo, ia buat saya mendengar lagu bagaikan dari headphones yang lebih mahal lagi.
Jika terdapat satu kekurangan (kalau saya nak jadi lebih kritikal atas harganya) yang dapat saya fikirkan ialah butang sentuhan yang mana lokasinya pada saya agak menyukarkan, terutama kepada orang seperti saya yang suka mengalih-alih kedudukan earbuds tersebut. Akibat dari itu, bila ia disentuh sahaja, lagu akan terjeda/terhenti. Mujurlah kerana ciri itu jualah mudah pula untuk saya mainkan ia semula.
Konklusi
Pada pendapat saya Spunky Pro ini merupakan satu bentuk naik taraf yang baik jika anda ‘datang dari’ TWS seperti QCY T2C. Anda tidak akan hampa dengan kualiti binaan dan bunyinya.
Ini ditambah lagi dengan ciri kalis air dengan penarafan IPX5, bererti anda tidak perlu bimbang jika terkena hujan atau percikan air.
Tidak lupa juga port pengecasan USB-C yang lebih memudahkan, ia pakej lengkap kepada peminat produk TWS, manakala bekas pengecas pula tidak mudah terbuka walau jatuh kerana ia perlu dibuka melalui satu butang yang perlu ditekan terlebih dahulu.
Spunky Pro boleh dibeli di sini: Tronsmart Spunky Pro.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/ulasan-tronsmart-spunky-pro-tws-berkualiti-mampu-milik/