Ulasan Sonic Gear Airphone Anc 3000 Fon Kepala Pembatalan Bunyi Hingar Mampu Milik
Fon kepala dan fon telinga dengan sokongan untuk teknologi pembatalan hingar (ANC) bukanlah sesuatu yang baru. Ramai orang yang membeli peranti-peranti ini untuk mendengar lagu ataupun menumpukan perhatian tanpa bunyi hingar di latar belakang.
Salah satu isu mengenai peranti audio dengan teknologi pembatalan bunyi hingar ialah secara kebiasaannya ia hadir dengan tanda harga yang sangat mahal.
Misal contohnya, fon-fon kepala seperti Bose QC35 dan Sony WH-1000XM3 yang mempunyai teknologi pembatalan bunyi hingar ini hadir dengan harga melangkaui RM1000 dan hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan jika mereka tidak membelinya sewaktu jualan besar di kedai-kedai atas talian.
Sonic Gear, jenama aksesori komputer terkenal baru-baru ini memperkenalkan siri fon kepala dengan teknologi tersebut pada harga yang sangat mampu milik.
Ini adalah ulasan saya mengenai fon kepala Sonic Gear Airphone ANC 3000.
RekaanBermula dengan rekaan, keseluruhan rangka fon kepala Airphone 3000 ANC ini diperbuat daripada bahan polikarbonat. Bahagian telinga kiri dan kanan, bersama-sama dengan tempat rehat kepala dimuatkan dengan sepan dan ditutup dengan bahan kulit untuk kedapan yang selesa.
Butang kawalan suara, butang menjawab suara dan palam pengecasan fon kepala terletak di bahagian kanan fon kepala ini, manakala palam audio 3.5mm dan suis pembatalan bunyi hingar terletak di bahagian kiri.
Sama seperti fon-fon kepala lain, bahagian tempat rehat kepala boleh diubahsuai untuk memuatkan pelbagai jenis saiz kepala, dan ini boleh dilakukan dengan mudah.
Dari segi kualiti binaan, Airphone ANC 3000 ini rangka yang boleh saya katakan agak berkualiti. Ia mungkin tidak mempunyai rangka dalaman yang diperbuat daripada logam dan sebagainya, tetapi ia tetap selesa digunakan dan melekap di kepala walaupun digunakan untuk jangkamasa yang lama.
SpesifikasiAirphone ANC 3000 ini dilengkapi dengan pemacu audio 40mm bersama-sama dengan sistem pembatalan bunyi hingar yang mampu mengurangkan bunyi bising di latar belakang sebanyak sekitar 22db.
Bukan itu sahaja, fon kepala ini juga merupakan fon kepala nirwayar yang mempunyai sambungan Bluetooth 5.0 yang membolehkan pengguna mendengar lagu tanpa perlu risau mengenai selirat kabel.
Dari segi ketahanan bateri, Sonic Gear mengatakan bahawa dengan satu pengecasan penuh, fon kepala ini mampu bertahan selama 24 jam dengan penggunaan biasa, dan selama 15 jam jika anda menggunakan ciri pembatalan hingar. Jika anda mengecas fon kepala tersebut daripada kosong, ia akan mengambil sekitar tiga jam untuk mengecasnya secara penuh menggunakan kabel Micro USB.
Pengalaman PenggunaBermula dengan keselesaan penggunaan fon kepala ini, pada pendapat saya, fon kepala ini agak selesa digunakan untuk jangka-masa yang lama. Gabungan pad sepan besar dan kain yang diperbuat daripada kulit menjanjikan keseluruhan kawasan telinga ditutup dengan kedap, dan bunyi bising daripada luar dikurangkan ke tahap minimum walaupun ciri ANC masih belum dipasang.
Apabila ciri tersebut dipasang, anda akan perasan bahawa bunyi bising dikurangkan lagi. dan apabila bunyi audio dimainkan melalui fon kepala, anda akan perasan bahawa anda tidak boleh mendengari lagi bunyi persekitaran anda, melainkan seseorang menjerit berdekatan anda.
Di bahagian kanan fon kepala ini terdapat tiga butang yang hadir dengan fungsi-fungsi asas dan tambahan. Misalnya, butang kuasa fon kepala ini boleh digunakan sebagai butang menjawab panggilan, manakala butang pengubahsuaian kelantangan bunyi boleh digunakan untuk melangkau lagu-lagu yang didengari. Ciri ini sangat berguna jika anda, seperti saya menggunakan apliklasi Spotify di komputer ataupun peranti pintar untuk mendengar lagu.
Beralih kepada kualiti audio pula, pada pendapat saya, kualiti audionya pada tahap yang memuaskan untuk sebuah fon kepala yang dijual pada harga ini.
Bagi mereka yang mengharapkan kekuatan bass yang menggegar jantung ataupun butiran bunyi yang mendalam mungkin perlu menurunkan jangkaan mereka.
Misalnya, sewaktu saya menggunakan fon kepala ini untuk mendengar lagu-lagu pada Spotify, walaupun butiran nota-nota rendah (low) mungkin tidak begitu mudah didengar, nota pertengahan (mid) dan tinggi (high) agak lancang tanpa menyakiti telinga. Nota bass malangnya berbunyi agak mendatar dan bosan.
Mereka yang membeli fon kepala ini kebarangkalian besar akan mahu menggunakannya untuk mengasingkan diri mereka dari bunyi bising persekitaran mereka supaya mereka boleh memfokuskan diri mereka dengan tugas-tugas yang perlu disiapkan.
Bercakap mengenai itu, ciri ANC yang hadir pada fon kepala Airphone ANC 3000 ini sangat mudah diaktifkan. Seperti yang dikatakan tadi, butang pengaktifannya terletak di bahagian kiri fon kepala ini, dan hanya perlu menekannya sekali untuk mengaktifkannya.
Perlu saya katakan bahawa kebolehan ANC fon kepala ini ada kelebihan dan kekurangannya. Pertama, apabila fon kepala ini diaktifkan ciri ANC, bunyi persekitaran akan dikurangkan sedikit, tetapi tidak cukup untuk benar-benar membatalkan bunyi hingar.
Hanya apabila anda mendengar lagu apabila ciri ANC ini akan benar-benar berfungsi. Boleh saya katakan bahawa bunyi hingar disekeliling anda akan hilang hampir secara keseluruhan.
Yang baiknya, jika orang-orang di sekeliling anda berborak pada nada yang biasa, anda tidak akan dapat mendengar perbualan mereka. Ia tidak akan begitu membantu anda jika mereka bersuara secara lantang. Walaupun begitu, bunyi suara mereka akan dikedap, jadi ia tidaklah begitu menjengkelkan.
Satu kelemahan yang ketara yang perlu saya ketengahkan mengenai fon kepala ini ialah sokongan nirwayar Bluetoothnya. Jika anda menggunakan ciri nirwayar ini, dan peranti anda berdekatan sekitar 2-3 meter, boleh saya katakan kualiti audio yang akan disampaikan adalah agak bagus.
Jika anda bangun dari kedudukan anda, dan katakan anda pergi ke ruang pantri untuk mendapatkan segelas air, jika lokasi tersebut berada di sekitar 8-10 meter, anda akan mula mendengar interferens daripada peranti yang disambungkan kepada fon kepala ini.
Ini bukanlah bermakna bahawa fon kepala ini akan terputus hubungan kepada peranti anda, tetapi terdapat kemungkinan kualiti audio fon kepala ini akan terjejas pada jarak tersebut.
Beralih kepada jangka-hayat fon kepala ini, Sonic Gear mengatakan bahawa ia boleh bertahan selama 24 jam dengan satu pengecasan penuh tanpa menggunakan ANC, dan 15 jam apabila menggunakannya apabila ANC diaktifkan.
Melalui penggunaan kami, fon kepala ini memang mempunyai jangka-hayat yang lama. Selepas satu pengecasan penuh (kami membiarkannya untuk mengecas selama satu malam), sehingga ulasan ini ditulis, kami tidak pernah perlu mengecas fon kepala Airphone ANC 3000 ini.
Akan tetapi, kami tidak dapat mengagak berapa banyakkah hayat bateri yang masih tinggal, kerana tiada cara untuk mengenalpasti perkara tersebut. Walaupun begitu, kami juga perlu katakan bahawa kami menggunakan fon kepala ini selama 2-3 jam sehari untuk sekitar 5 hari, dan tidak pernah perlu mengecasnya.
PenutupAdakah fon kepala Sonic Gear Airphone ANC 3000 ini berbaloi dibeli? Jika anda sedang mencari fon kepala dengan sokongan pembatalan hingar yang murah, dan tidak terlalu kisah tentang kualiti audio, fon kepala ini boleh saya katakan sesuai untuk anda.
Ia mudah digunakan, mempunyai kualiti binaan yang agak baik, dan hadir dengan ciri-ciri tambahan seperti butang-butang yang mudah diakses, bateri yang tahan lama dan juga sokongan untuk penggunaan nirwayar melalui Bluetooth.
Pada harga RM199, fon kepala ini boleh dibeli melalui kedai atas talian Shopee dan juga kedai-kedai pengedar perkakasan Sonic Gear.
PRO dan Kelebihan
Harga mampu milikKualiti binaan bagusBateri tahan lamaSelesaKONTRA dan Kekurangan
Kualiti audio biasaJarak Bluetooth yang agak pendekCiri ANC hanya berfungsi baik apabila lagu dimainkanTahap bateri tidak dapat diketahuiTiada sokongan LDAC
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/10/ulasan-sonic-gear-airphone-anc-3000-fon.html