Ulasan Samsung Space Monitor Paparan Skrin Besar Yang Tidak Memakan Ruang
https://ift.tt/35DfzEq Apabila anda siap membina sebuah komputer desktop baru yang berkuasa, ataupun membeli sebuah komputer riba gaming yang boleh menggerakkan permainan-permainan komputer terbaru, anda pastinya ingin mencari sebuah paparan skrin yang lebih besar untuk memaksimakan visualisasi, tidak kira jika anda bermain permainan komputer ataupun menonton siri televisyen dan filem melalui komputer anda.
Akan tetapi, satu isu yang pastinya akan membelenggu pengguna apabila mempertimbangkan model-model paparan skrin yang ingin dibeli ialah saiz paparan dan juga ruang yang akan diambil oleh paparan tersebut.
Samsung, syarikat teknologi terkemuka yang cukup dikenali dengan pelbagai peranti dan peralatan elektronik mereka telah memperlihatkan sebuah paparan skrin yang hadir dengan rekaan unik yang membantu pengguna menjimatkan ruang meja mereka walaupun dengan saiz paparan yang besar yang dinamakan Samsung Space Monitor.
Rekaan Dan SpesifikasiPaparan skrin Samsung Space Monitor hadir dengan dua pilihan saiz paparan, iaitu 27 inci dengan resolusi QHD, ataupun 32 inci dengan resolusi sebesar 4K. Untuk ulasan ini, Samsung telah menghantar model 32 inci kepada kami.
Dari segi ciri-ciri, Samsung Space Monitor ini tidak mempunyai sokongan tambahan seperti HDR ataupun sokongan kadar segar semula boleh-ubah seperti AMD FreeSync mahupun NVIDIA G-SYNC.
Dari segi rekaan, paparan ini hadir dengan rekaan bingkai yang sangat nipis dari keempat-empat sisi yang memaksimakan saiz paparan. Bagi saya, rekaan bingkai nipis paparan skrin 32 inci tersebut membuatkan pengalaman menonton video dan bermain permainan komputer suatu pengalaman yang lebih mengujakan.
Sayangnya, dari segi pilihan palam video keluar, pengguna hanya diberi dua jenis pilihan palam pada Space Monitor ini, iaitu satu palam DisplayPort 1.2 dan juga satu palam HDMI. Selain dari itu, paparan ini juga tidak mempunyai pembesar suara terbina didalam, mahupun palam audio 3.5mm yang boleh digunakan untuk menyambung terus ke pembesar suara.
Satu perbezaan ketara apabila membandingkan paparan Samsung Space Monitor ini dengan paparan-paparan yang lain ialah tapaknya yang menggenggam kawasan sisi meja, dan tidak menggunakan permukaan meja itu sendiri.
Bagi anda ini mungkin suatu rekaan yang agak aneh, tetapi sewaktu saya menggunakan paparan ini, ia benar-benar menjimatkan ruang yang banyak sekali apabila tapaknya berdiri tegak. Secara ringkas, apabila ia siap dipasang dan berdiri tegak, anda masih mempunyai ruang yang cukup banyak untuk barang-barang lain.
PemasanganMenurut manual pemasangan Samsung, mereka menyarankan anda memasang paparan skrin ini dengan seorang teman. Ini adalah kerana jika anda mengikut langkah-langkah yang disarankan, ia akan menyuruh anda untuk memasang bahagian paparan skrin kepada kaki paparan sebelum memasangnya kepada meja.
Jika anda, seperti saya tidak mempunyai bantuan tambahan untuk membantu anda memasang paparan ini, cara yang saya gunakan ialah dengan memasang tapak kaki paparan kepada meja terlebih dahulu, dan kemudiannya memasang dan skru bahagian paparan skrin kepada tapak tersebut.
Proses pemasangan Samsung Space Monitor ini bergantung kepada beberapa faktor. Pertama ialah saiz meja. Bahagian pemegang meja paparan ini hanya boleh dibesarkan sehingga 3.5 inci sahaja, jadi ia tidak boleh digunakan untuk meja-meja yang mempunyai ketebalan yang lebih besar dari itu.
Jika meja anda boleh dialihkan untuk memuatkan paparan ini, proses pemasangan anda akan berjalan dengan mudah. Jika tidak, terdapat kebarangkalian bahawa anda akan menghadapi kesukaran untuk memasang tapak paparan ini, dan anda akan memerlukan bantuan untuk memasang paparan ini.
Dalam pada itu, anda juga akan ingin memastikan bahawa anda mempunyai ruang yang mencukupi di bahagian hadapan paparan itu, kerana tapak skrin Samsung Space Monitor ini boleh dilenturkan kehadapan untuk mendekatkan skrin kepada anda.
Pengalaman PenggunaPengalaman saya menggunakan Samsung Space Monitor ini boleh dikatakan cukup baik. Model 32 inci yang dipinjamkan kepada kami oleh Samsung Malaysia cukup besar untuk saya gunakan secara menegak tanpa perlu melenturkan paparan kehadapan.
Kualiti paparan yang digunakan, iaitu panel VA (Vertical Alignment) cukup bagus untuk saya. Kelengkapan yang saya gunakan untuk menguji dan menilai prestasi Samsung Space Monitor ini adalah sebuah komputer riba gaming dengan prestasi berkuasa, sebuah papan kekunci mekanikal dan juga tetikus gaming.
Pertama, ini adalah untuk mensimulasikan betapa banyaknya ruang yang boleh dijimatkan apabila menggunakan paparan dengan tapak yang dilekapkan di penghujung meja berbanding dengan paparan yang diletakkan diatas permukaan meja.
Dengan Samsung Space Monitor, meja saya nampak lebih kemas, dan lebih banyak ruang yang terbuka yang membolehkan saya meletakkan barang-barang keperluan tanpa membuatkannya kelihatan begitu semak.
Dari segi prestasi paparan pula, panel VA yang digunakan pada Samsung Space Monitor ini cukup cerah dan bertenaga dari segi warna-warna yang dipaparkan, membuatkannya sangat sesuai digunakan bukan sahaja untuk menyiapkan tugasan-tugasan di pejabat, tetapi juga untuk riadah, seperti menonton video-video di YouTube, Netflix dan sebagainya.
Sebagai sebuah paparan skrin yang besar pada saiz-saiz 27 dan 32 inci, Samsung Space Monitor ini juga hadir dengan beberapa ciri yang memanfaatkan saiznya yang besar.
Ini termasuklah ciri-ciri Picture-in-Picture dan Picture-by-Picture yang membolehkan anda untuk melihat paparan dari dua sumber sekaligus. Ciri Picture-in-Picture membolehkan anda mengecilkan paparan sumber kedua sekecil 25 peratus dari saiz asal, manakala ciri Pixel-By-Pixel membolehkan anda memisahkan paparan menjadi dua bahagian, dan menunjukkan kedua-dua sumber pada resolusi asal.
Untuk tujuan gaming, olahan warna dan grafik untuk permainan-permainan seperti Destiny 2, Borderlands 3 dan Devil May Cry V kelihatan sangat cantik sekali, dan tidak kira jika anda padankan paparan Samsung Space Monitor ini dengan komputer mahupun konsol permainan.
Bercakap mengenai konsol permainan, satu kelemahan ketara pada paparan ini bagi saya ialah kekurangan palam video keluar seperti HDMI ataupun DisplayPort. Jumlah komputer ataupun konsol maksima yang boleh disambungkan kepada paparan ini adalah dua sahaja, dan satu lagi isu ialah kekurangan pembesar suara ataupun sokongan untuk palam audio 3.5mm yang membolehkan paparan ini disambungkan kepada sistem pembesar suara.
Untuk saya, jika Samsung Space Monitor ini mempunyai sekurang-kurangnya satu lagi palam HDMI dan juga 3.5mm audio untuk melanjutkan audio melalui paparan, berani saya katakan bahawa ini adalah diantara paparan skrin terbaik yang pernah saya gunakan setakat ini.
Satu lagi kekurangan pada paparan Samsung Space Monitor ini ialah walaupun ia boleh dinaikkan dan diturunkan, oleh kerana cara tapak ini direka, paparannya tidak boleh dipusing ke kiri ataupun ke kanan
PenutupJika ada satu peribahasa yang boleh saya gunakan untuk menggambarkan pengalaman saya menggunakan Samsung Space Monitor ini, ia mungkin adalah “alah membeli, menang memakai”.
Pada harga RM2199, paparan Samsung Space Monitor 32 inci ini tidak murah, tetapi jika anda seorang yang mementingkan penjimatan ruang, tetapi tidak mahu berkompromi dari segi saiz dan kualiti paparan, tidak ada banyak jenis paparan diluar sana yang boleh memberikan anda ciri-ciri yang sama, dan anda perlu membeli pendakap VESA yang berasingan.
Walaupun begitu, Samsung Space Monitor ini masih belum berada di tahap sempurna lagi. Isu-isu seperti kekurangan jumlah palam, tidak boleh diubahsuai ke kiri dan kanan, dan juga kesukaran untuk memasang paparan ini.
Akan tetapi, jika ini bukan satu masalah untuk anda, saya benar-benar mengesyorkan anda mendapatkan Samsung Space Monitor ini.
PRO dan KelebihanSaiz dan resolusi yang besarPenjimatan ruang maksimaKualiti paparan yang cantikCiri-ciri yang menggunakan paparan besarKONTRA dan KekuranganHarga mahalJumlah palam video yang kurangTiada sokongan NVIDIA G-SYNC ataupun AMD FreeSyncHanya boleh dipasang pada meja-meja tertentu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kongsibro.blogspot.com/2019/12/ulasan-samsung-space-monitor-paparan.html