Udang Kara Indonesia Antara Tercantik Di Dunia
JAKARTA — Sejenis udang kara air tawar atau crayfish lobster dari perairan wilayah Indonesia diisytiharkan sebagai spesies baharu dan diiktiraf salah satu yang tercantik di dunia, lapor media tempatan pada Rabu.
Udang itu sebenarnya sudah menjadi komoditi perdagangan sejak 10 tahun lalu namun, penyelidik marin baharu sahaja mengetahui bahawa ia merupakan jenis terkini ketika melakukan kajian taksonomi beberapa minggu lalu.
Saintis Christian Lukhaup dari Hinterweidenthal, Jerman, pertama kali menyedari keunikan udang karang berasal dari Indonesia itu secara kebetulan ketika dia melihat hasil kerja seni beberapa foto lobster dari rakan baiknya
Pada mulanya Lukhaup belum lagi mengetahui asal-usul udang tersebut kerana apabila bertanya kepada para peniaga haiwan peliharaan, rata-rata mereka sendiri pun tidak tahu atau mungkin sengaja menyembunyikan fakta.
“Melakukan penelitian ini seperti melaksanakan penyiasatan kes jenayah,” katanya seperti dilaporkan jurnal penyelidikan mingguan berpengaruh Britain, New Scientist dalam keluaran edisi terbaharu pada Selasa.
Lukhaup kemudian menjalankan analisis awal terhadap lobster itu sebelum mengetahui bahawa makhluk cantik itu merupakan anggota keluarga udang dari baka Cherax berasal dari wilayah paling timur Indonesia, Papua
Dia seterusnya pergi ke Hoa, Teminabuan di Kepala Burung Papua untuk bertanya lebih terperinci kepada penduduk tempatan perihal lobster yang banyak diperdagangkan itu dan turut menjelajahi perairan setempat.
Di wilayah tersebut, Lukhaup membandingkan sejumlah spesies Cherax lainnya termasuk jenis lobster Boesemani, yang secara morfologi sangat mirip dengan ukuran, pola warna dan karakter udang karang jenis terbaharu ini.
Berdasarkan artikel terbitan di jurnal Zootaxa pada 4 Mei 2015, lobster air tawar itu berbeza daripada Cherax boesemani kerana ukuran lebih kecil sekitar 12 sentimeter dan warna tubuh serta sepit dominan warna biru
Lukhaup akhirnya menamakan lobster itu sebagai Cherax pulcher. “Pulcher” adalah daripada perkataan bahasa Latin yang bererti cantik. “Saya fikir ini salah satu lobster paling cantik di dunia,” ulas Lukhaup jujur.
Malangnya, kajian saintis mendapati makhluk tercantik itu terus diancam aktiviti perdagangan sebagai haiwan hiasan selain masalah kebanjiran penduduk dan pencemaran yang semakin serius di wilayah Papua tersebut.
Seorang lagi penyelidik marin, Zachary Loughman dari Liberty University di West Virginia, Amerika Syarikat menjelaskan, setakat ini kajian menunjukkan jenis udang karang itu hanya berjaya ditemui di satu tempat.
“Mungkin jenis lobster itu mendiami kawasan habitat yang luas atau barang kali hanya terdapat di satu aliran perairan. Jika ada apa-apa berlaku dengan perairan itu, makhluk ini dibimbangi pasti akan musnah,” ujar beliau.
Udang kara tambah Loughman, merupakan salah satu spesies paling terancam di dunia tetapi kebanyakan orang lebih prihatin dengan ancaman harimau, orangutan dan badak, namun tidak pula untuk lobster. – Agensi/H.A.AMREE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://danau-berita-blog.blogspot.com/2020/01/udang-kara-indonesia-antara-tercantik.html