Ucapan Penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin Pada Sambutan Ulang Tahun Ke 5 Bersatu


Tan Sri Muhyiddin Yassin 
Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Perdana Menteri Malaysia, mengetuai Perikatan Nasional dan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera
1. Apa khabar semua? Saya doakan semoga saudara dan saudari sekalian sihat wal’afiat.
2. Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t dan mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. atas limpah rahmat kesihatan dan ke’afiatan yang diberikan kepada kita semua untuk bersama-sama meraikan Sambutan Ulangtahun Ke-5 Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
3. Kita masih berada dalam situasi pandemik COVID-19. Kita tentunya berasa sedih dan hiba kerana sepanjang pandemik ini mungkin ada dalam kalangan ahli keluarga kita dan rakan-rakan seperjuangan kita yang telah kembali ke rahmatullah kerana wabak ini. Pada kesempatan ini, saya dan seluruh kepimpinan BERSATU mengucapkan takziah kepada ahli keluarga semua mangsa COVID-19 yang telah meninggal dunia. Saya doakan semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada mereka. Al-Fatihah.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
4. Sejak lebih setahun yang lalu, negara kita diuji dengan wabak COVID-19 yang memberi kesan yang besar ke atas nyawa dan kehidupan rakyat. Sepanjang kita berhadapan dengan wabak ini, keutamaan dan tumpuan parti kita juga telah berubah. Aktiviti parti yang biasanya sibuk dengan urusan mesyuarat dan pertemuan-pertemuan politik telah bertukar kepada aktiviti-aktiviti yang lebih tertumpu kepada penyampaian bantuan kepada golongan rakyat yang memerlukan.
5. Selain pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh Kerajaan, parti kita juga melalui saudara dan saudari yang bergerak di peringkat bahagian dan cawangan di seluruh negara, menyalurkan bantuan bakul makanan kepada golongan rakyat yang memerlukan. Kita sediakan beras, minyak masak, telur, sardin, ikan, ayam, sayur dan lain-lain kepada golongan rakyat yang susah.
6. Ini kita lakukan kerana kita tahu di waktu pandemik ini ada rakyat yang tidak ada duit untuk membeli makanan. Ini sesuatu yang luar biasa. Dalam sejarah perjuangan politik saya dan mungkin ramai yang ada di sini, inilah kali pertama kita menyampaikan bantuan yang sebegitu rupa dalam skala yang besar.
7. Selain itu, ada dalam kalangan ahli parti kita yang menjadi sukarelawan di pusat-pusat pemberian vaksin atau PPV. Ada juga yang menawarkan khidmat vaksin bergerak kepada mereka yang sukar keluar mendapatkan suntikan vaksin di PPV. Ini juga merupakan suatu komitmen yang besar.
8. Saya berasa hiba mendapat khabar ada ahli parti kita yang terkena jangkitan COVID-19 ketika mereka keluar memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Ada juga yang telah meninggal dunia kerananya. Ini adalah suatu pengorbanan yang amat besar nilainya dalam perjuangan parti kita. Saya mendoakan mudah-mudahan mereka diberikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah s.w.t. dan ditempatkan di syurga firdausi.
9. Walaupun berhadapan dengan cabaran risiko pandemik ini, para pejuang parti kita tidak patah semangat. Saya tahu ada ahli parti yang dijangkiti COVID-19 ketika mereka keluar menyampaikan bantuan kepada rakyat. Selepas sembuh, mereka keluar lagi menyampaikan bantuan kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti. Allahuakbar. Ini adalah satu sikap yang amat terpuji.
10. Ini adalah kisah wira dan wirawati yang tidak didendangkan. They are our true unsung heroes. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas, tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua wira dan wirawati parti yang telah berkorban jiwa dan raga untuk bersama-sama membantu meringankan beban rakyat di waktu yang sukar ini dan bersama-sama menggembeleng tenaga memulihkan negara. Mudah-mudahan apa yang kita lakukan ini akan terpahat dalam sejarah sebagai sumbangan parti yang amat bermakna kepada bangsa dan negara kita yang tercinta.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
11. Tempoh lebih setahun yang lalu juga adalah suatu tempoh yang paling sukar dalam sejarah politik saya dan saya fikir dalam sejarah politik rakan-rakan yang lain juga. Kita tidak pernah berhadapan dengan suatu krisis kesihatan dan ekonomi yang amat genting dan berlarutan untuk suatu jangkamasa yang panjang.
12. Rakyat menghadapi kesukaran. Ramai yang hilang pendapatan. Kerajaan menyediakan pelbagai pakej bantuan dengan nilai keseluruhan 530 bilion ringgit. Ini adalah pakej bantuan rakyat yang paling besar dalam sejarah negara kita.
13. Hampir semua golongan rakyat dibantu. Peniaga kecil, penjaja, petani, nelayan, pekerja, usahawan kecil dan sederhana, ibu tunggal, orang bujang, OKU, belia, mahasiswa, pemandu teksi, pemandu bas, grab – baik masyarakat di bandar, di desa dan di pedalaman – semuanya menerima bantuan Kerajaan.
14. Tetapi saya juga tahu, bantuan kerajaan semata-mata tidak boleh menjamin kelangsungan hidup rakyat. Mereka tidak boleh terkurung di rumah selama-lamanya. Mereka mesti dibenarkan keluar bekerja, berniaga dan mencari pendapatan untuk menyara keluarga.
15. Ini bermakna, fokus kerajaan mestilah kepada usaha untuk memulihkan negara daripada wabak COVID-19. Kerana itu, saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu memberi keutamaan kepada program vaksinasi. Kita menempah vaksin lebih awal daripada negara-negara lain. Kita pastikan bekalan vaksin mencukupi untuk semua penduduk di negara ini. Dalam tempoh 17 bulan, Kerajaan telah menempah 87 juta dos vaksin, iaitu mencukupi untuk lebih 140 peratus penduduk negara ini, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit.
16. Selain melaksanakan kawalan pergerakan, strategi kita yang paling utama ialah meningkatkan dan mempercepatkan program vaksinasi. Hari ini kita telah melihat hasilnya. Lembah Kelang yang dahulunya menjadi pusat penularan wabak COVID-19 telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila 97.8 peratus penduduk dewasa di Lembah Kelang telah menerima suntikan dos lengkap vaksin. Wad-wad ICU yang dahulunya sesak dengan pesakit COVID-19, kini telah mencatatkan penurunan jumlah pesakit.
17. Sektor-sektor ekonomi, sosial, sukan dan agama juga telah mula dibuka secara beransur dengan pematuhan SOP yang masih berkuatkuasa. Rakyat mula menarik nafas lega kerana mereka sudah boleh mula bekerja, berniaga dan mencari sumber pendapatan.
18. Tetapi masih ada pihak yang kata kita gagal. Kita sebenarnya tidak gagal. Mereka yang nak lihat kita gagal. Kerana itu, semasa kita sibuk mengurus Covid, mengurus kebajikan rakyat, mereka sibuk berkomplot untuk menjatuhkan Kerajaan.
19. Saya tahu ramai rakyat yang tidak suka dengan perbuatan mereka. Apatah lagi ahli-ahli BERSATU yang mahu saya terus kekal memimpin Kerajaan Perikatan Nasional. Tetapi saya mesti patuh kepada Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, saya mesti meletak jawatan dan itulah yang saya lakukan.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
20. Saya boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas saya meletak jawatan. Lagipun, saya telah berusaha sedaya upaya saya untuk mempertahankan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional.
21. Tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional. Apa jadi kalau saya dan semua Ahli Parlimen BERSATU tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri yang baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu?
22. Pertama, keadaan politik negara akan terumbang-ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat sokongan majoriti.
23. Kedua, Pakatan Harapan dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi Kerajaan dan BERSATU menjadi pembangkang.
24. Saya berfikiran rasional. Kerana itu saya telah berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen BERSATU dan pimpinan parti-parti dalam Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonkan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.
25. Dengan itu, BERSATU dan parti-parti komponen Perikatan Nasional akan terus berada dalam Kerajaan untuk meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihanraya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih Kerajaan yang baharu.
26. Pada masa itu, Perikatan Nasional dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya. InsyaAllah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback!
27. Sehingga saat itu, saudara dan saudari sebagai ahli parti, mestilah melakukan segala persiapan. Tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi. Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan BERSATU sebagai parti pilihan rakyat.
28. Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen Perikatan Nasional di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen Perikatan Nasional dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.
29. Kita juga mesti teruskan kerja-kerja amal. Rakyat nak merasakan jasa kita kepada mereka. Apa bantuan yang kita boleh sampaikan. Ziarah mereka. Tanya khabar mereka. Cukup makan atau tidak. Sakit demam mereka bagaimana. Dan kita bantulah mereka. Itulah yang terbaik untuk kita lakukan.
30. Buktikan budaya politik BERSATU ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa.
31. Buktikan nilai kepimpinan kita yang berteraskan prinsip integriti dan amanah. Kita tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik.
32. Kita juga mesti sentiasa sabar dan tenang dalam menghadapi dugaan dan cabaran. Sentiasa menekankan prinsip penyatuan dan perpaduan dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Kepimpinan BERSATU di setiap peringkat mestilah menjadi “role model” kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan parti dan negara.
33. Nilai-nilai kepimpinan yang baik ini mesti kita terapkan secara sistematik dalam parti kita. Sehubungan ini, sukacita saya ingin mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan BERSATU yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan BERSATU sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti. Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi BERSATU.
34. Pentadbiran parti di setiap peringkat termasuk di Ibu Pejabat, Badan Pimpinan Negeri, Bahagian dan Cawangan mesti diperkukuhkan. Begitu juga dengan sayap Srikandi dan Armada. Pentadbiran parti kita mesti disusun dengan baik bagi memastikan semua perancangan parti dapat dilaksanakan dengan sempurna.
35. Sebagai sebuah parti pribumi, BERSATU akan terus membela nasib orang Melayu dan Bumiputera. Ini termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera. Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi utama yang berdaya maju. Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk menangani jurang pendapatan antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan kita.
36. Walaupun usia BERSATU ini masih baharu, saya yakin jika kita dapat mengurus parti kita dengan cemerlang, istiqamah dengan roh perjuangan parti yang murni dan mengamalkan nilai-nilai kepimpinan yang mulia – berintegiriti, beramanah dan bermaruah – insyaAllah rakyat akan melihat kelainan dalam parti kita. We will make a difference and we will bring about the real change to the country’s political values, culture and practices.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
37. Kita telah banyak berkorban kerana nilai dan prinsip yang kita pegang selama ini. Kita bersusah-payah mendirikan parti kita ini kerana kita ingin membebaskan negara daripada cengkaman kleptokrasi. Alhamdulillah, kita telah berjaya dalam Pilihanaraya Umum ke-14.
38. Kini sekali lagi kita berkorban kerana kita tidak sanggup menggadai prinsip dan nilai yang menjadi asas perjuangan parti kita. Kita melakukan perkara yang betul dengan tidak tunduk kepada desakan untuk menggadaikan prinsip walaupun terpaksa hilang kedudukan dan jawatan. Melakukan perkara yang betul ini bukan tuntutan politik, tetapi tuntutan agama.
39. Jadi, jangan kita gentar, jangan kita kecewa. Tidak mengapalah kita berkorban sedikit kerana Allah s.w.t menjanjikan kejayaan yang besar bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada-Nya dengan melakukan segala suruhan-Nya. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Yunus ayat 62 hingga 64:
أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (٦٢) ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَڪَانُواْ يَتَّقُونَ (٦٣) لَهُمُ ٱلۡبُشۡرَىٰ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ لَا تَبۡدِيلَ لِڪَلِمَـٰتِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (٦٤)
Yang bermaksud:
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
40. Ingatlah, keberadaan kita dalam wadah BERSATU ini adalah kerana suatu perjuangan. Dalam perjuangan ini ada tanggungjawab, ada amanah, ada tugas yang mesti kita laksanakan. Amanah yang kita pikul ini berat. Kita akan dipersoal oleh Allah s.w.t. jika kita gagal melaksanakan amanah dengan betul.
41. Jadi, betulkanlah niat kita, tetapkanlah hati kita, luruskanlah perjalanan kita, pertautkanlah hati-hati kita, rapatkanlah saf perjuangan kita, bulatkanlah tekad kita untuk melaksanakan amanah yang berat ini. Jika kita bersatu, berganding bahu, bergerak seiring dan sederap, insyaAllah amanah yang berat akan menjadi ringan, kerja yang susah akan menjadi mudah.
42. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Menteri dan Timbalan Menteri dari parti BERSATU yang baru dilantik. Nasihat saya, jalankanlah amanah dan tanggungjawab anda dengan cemerlang dan penuh integriti. Rakyat sedang memerhati dan menilai parti kita berdasarkan prestasi anda semua. Saya doakan agar anda semua akan dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara serta mengharumkan nama parti kita.
43. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan dan ahli parti-parti komponen Perikatan Nasional, iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN yang setia bersama kita dalam saf perjuangan ini. Ucapan terima kasih dan penghargaan juga kepada pimpinan parti-parti rakan iaitu GPS, MCA, MIC, PBRS dan PBS.
44. Saya juga ingin menyeru ahli-ahli BERSATU supaya terus memberi sokongan kepada YAB Perdana Menteri dalam usaha beliau dan barisan Jemaah Menterinya untuk menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.
45. Sempena sambutan Ulang Tahun Ke-5 BERSATU pada tahun ini, saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun kepada semua ahli BERSATU di seluruh pelosok negara. InsyaAllah, kita akan terus istiqamah dalam wadah parti kita dan mara dengan gagah perkasa menjulang obor perjuangan parti.
46. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah s.w.t. semoga diperkukuhkan perpaduan kita, dipermudahkan segala urusan kita, diperkuatkan semangat kita dan dirahmati perjuangan kita demi agama, bangsa dan negara yang tercinta. Amin ya rabbal alamin.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden Bersatu



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/ucapan-penuh-tan-sri-muhyiddin-yassin.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Ulang Tahun Ke 40 Ariel Noah Terharu Sang Ibu Masih Ingat Dan Mengucapkan Selamat Padanya

Ulang Tahun Ke 40 Ariel Noah Terharu Sang Ibu Masih Ingat Dan Mengucapkan Selamat Padanya

papar berkaitan - pada 18/9/2021 - jumlah : 256 hits
Di momen seperti ini Ariel pun mengingatkan publik untuk menghubungi atau bahkan memeluk sosok yang telah melahirkan kita ke dunia
Sambut Ulang Tahun Ke 13 Debut Iu Derma Rm3 Juta Buat Golongan Memerlukan

Sambut Ulang Tahun Ke 13 Debut Iu Derma Rm3 Juta Buat Golongan Memerlukan

papar berkaitan - pada 17/9/2021 - jumlah : 479 hits
IU ataupun Lee Ji eun sememangnya terkenal dengan kebaikannya Meskipun sudah popular dia langsung tidak lokek untuk memberi kepada golongan yang memerlukan Terbaru wanita genit itu telah telah menderma sebanyak 850 milion won barangan kepad...
Hiburan Pilih Tarikh Lahir Anak Azmi Saat Anggap Kelahiran Sebagai Hadiah Ulang Tahun

Hiburan Pilih Tarikh Lahir Anak Azmi Saat Anggap Kelahiran Sebagai Hadiah Ulang Tahun

papar berkaitan - pada 17/9/2021 - jumlah : 243 hits
Penyanyi kumpulan Caliph Buskers Azmi Saat khabarnya memilih tarikh lahirnya sebagai hari kelahiran anak sulung yang dinantikan dia dan isteri sejak 10 tahun yang lalu ARTIKEL BERKAITAN AdvertisementDifahamkan Azmi memilih 27 September ini ...
Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke 66 Tahun

Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke 66 Tahun

papar berkaitan - pada 8/9/2021 - jumlah : 271 hits
Design Poster Baclground Zoom Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke 66 Tahun Pengenalan Pemilihan tarikh kemerdekaan yang dibuat oleh Shaykh Abdullah Fahim tentu ada sebab yang berpatutan yang mendorong tarikh 5 Safar 1377H bersempena 31...
Hiburan Tahun Yang Luar Biasa Tiada Lagi Sambutan Hari Lahir Bersama Shuib Sepahtu

Hiburan Tahun Yang Luar Biasa Tiada Lagi Sambutan Hari Lahir Bersama Shuib Sepahtu

papar berkaitan - pada 13/9/2021 - jumlah : 271 hits
Sebelum ini bulan September merupakan bulan yang dinanti nantikan oleh pelawak Shuib Sepahtu dan isterinya Allahyarham Siti Sarah Raisuddin bagi meraikan ulang tahun kelahiran bersama ARTIKEL BERKAITAN AdvertisementShuib yang dilahirkan pad...
Sri Mulyani Reformasi Perpajakan Jadi Hidangan Utama Presidensi G20 Tahun 2022

Sri Mulyani Reformasi Perpajakan Jadi Hidangan Utama Presidensi G20 Tahun 2022

papar berkaitan - pada 14/9/2021 - jumlah : 198 hits
Menteri Keuangan Sri Mulyani Indrawati menyampaikan terkait agenda perpajakan internasional yaitu Indonesia akan menitikberatkan pada pembahasan mengenai reformasi sistem perpajakan
Lantik Muhyiddin Bersatu Boleh Ikat Umno Ismail Jadi Pm Terkawal Politiking Berterusan

Lantik Muhyiddin Bersatu Boleh Ikat Umno Ismail Jadi Pm Terkawal Politiking Berterusan

papar berkaitan - pada 6/9/2021 - jumlah : 310 hits
PETALING JAYA Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara boleh mengekang kebebasan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menguruskan negara selain memperkuatkan semula Bersatu sekali gus memberikan parti itu ruan...
Comelnya Sambut Ulang Tahun Ke 31 Kek Unik Fattah Amin Jadi Perhatian

Comelnya Sambut Ulang Tahun Ke 31 Kek Unik Fattah Amin Jadi Perhatian

papar berkaitan - pada 16/9/2021 - jumlah : 289 hits
Aktor dan penyanyi Fattah Amin menitipkan ucapan terima kasih di atas ingatan dan doa daripada orang ramai sempena sambutan ulang tahun kelahirannya hari ini
Ioi City Mall Gears Up For A Meletop 2025 With A Star Studded New Year S Eve Celebration

Icqs Bukit Kayu Hitam Sesak Luar Biasa Rakyat Malaysia Melancong Ke Thailand Diminta Jaga Adab

The West Isn T Dying But It S Working On It

Lepas Misi Selawat Ruhainies Sertai Majlis Agama Uai

Have A Relaxing Day With Friends Over Lunch Or Dinner

The Skill Hexagon The Power Of Multifaceted Abilities

Tanah Melayu Sg Baru Diambil W Azizah Jual B Putih

Lirik Lagu Curang Abg Pau


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


Kesan Dunning Kruger Macam Pakar Tapi Sebenarnya Tak

Lirik Lagu Doremon Atmosfera

Harry Parintang Di Hatimu Ternyata Dia Chord

Tiket Escape Penang Harga Tiket Cara Pembelian Tahun 2025

Japan S First Plug In Hybrid Minivan In Two Versions Toyota Alphard And Vellfire

This Vivid Royal Enfield Bobber Is A Tasty Technicolor Treat