Ubah Budaya Makan Dulu Kira Nanti
AGENDA DAILY
Budaya 'kira dulu, pesan kemudian atau bayar dulu, kemudian makan' dilihat perlu diamalkan untuk mengelakkan salah faham antara pemilik restoran dan pelanggan. -Gambar hiasan
Sekeping resit bil yang memaparkan harga hidangan ikan siakap mencecah ribuan ringgit didakwa di sebuah restoran di Langkawi tular dipercayai selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook ke platform media sosial tersebut.
Dia dipercayai pelanggan yang datang makan di sebuah restoran terapung di Langkawi pada 3 Oktober lalu dan telah memuat naik ke platform media sosial bil yang memaparkan harga hidangan seekor ikan siakap didakwa terlalu mahal dikenakan oleh peniaga.
Berdasarkan bil tersebut ikan siakap seberat 7.48 kilogram (kg) yang dipesan pelanggan itu untuk tujuh individu berjumlah RM1,196.80 bagi hidangan makan tengah hari dan jumlah keseluruhan bil adalah RM1,852.50 termasuk hidangan ikan siakap, ayam kicap, telur dadar, kailan, ketam, udang dan minuman.
Bermula daripada kisah tersebut, pelbagai cerita tentang siakap ‘kayangan’ tular. Hakikatnya, ada yang berpendapat budaya makan dulu, kira kemudian sangatlah bahaya.
Lebih-lebih lagi jika makan di restoran makanan laut yang biasanya harganya lebih mahal daripada biasa.
Penting buat ‘pengiraan’ terlebih dahulu, tanya harga sebenarnya sebelum makan. Ia bagi mendapat harga yang dipersetujui bersama serta mengelakkan diri daripada rasa ‘tertipu’, akibat dikenakan caj melampau.
Seorang jejaka, Tai Zee Kin membuat perkongsian dalam Facebooknya tip mengelak membayar harga mahal untuk makanan laut.
“Akuarium tepi restoran makanan laut, bukan galeri atau ‘underwater world’. Dia tidak kenakan caj tiket masuk. Itu tempat kalian pilih makanan laut segar. Kalau anak-anak kecil ikut makan sekali, boleh bawa jalan-jalan tepi akuarium sambil ajar anak-anak nama ikan dan jenis ketam.
“Sudut kanan (atau kiri) akuarium ada tertera tanda dengan jelas nama makanan laut (di situlah bapa saya mengajar nama dan jenis ikan) dan harga setiap 100g, 1kg, atau sukatan yang bersesuaian.
“Tepi akuarium ada penimbang. Kalian boleh minta ‘tauke’ untuk timbang sebelum makan, atau minta dia membuat anggaran berat,” katanya.
Tambah Zee Kin, kalau tiada akuarium pun, terus pesan makanan laut ikut berat (kalau bukan harga tetap). Contoh, kalau order siakap, terus beritahu mahu ikan seberat 1.5kg. Pihak restoran akan cuba dapatkan ikan seberat demikian atau anggaran julat berat itu.
“Peminat makanan laut sudah ada harga makanan tersebut darab dengan berat dalam kunci kira-kira minda,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi tentang budaya masyarakat Cina yang tidak suka cara makan dulu kira nanti.
“Apabila budaya makanan di restoran mula berbuat demikian, ramai dalam kalangan orang Cina kurang selesa. Zaman 2000-an, kedai mamak biasa minta pelanggan makan dulu, baru dia datang kira.
“Budaya orang Cina selalu kena buat ‘budgeting’ sebelum ‘spending’. Makan di kedai juga sama. Kalau makan besar, siap hitung dulu, buat kiraan bajet, periksa harga betul-betul, baru layan. Tabiat ini memang sudah terpahat dalam DNA kami,” jelasnya.
Tambahnya, budaya ‘makan dulu, kira kemudian’ sangat bahaya, kerana ketidakselesaan ‘caj terlampau’ adalah tanpa kesalahan mana-mana pihak, ia cuma akibat ketidaksepadanan kehendak.
“Isu siakap terlampau caj ini, bagi orang Cina, jarang berlaku. Kami tertanya-tanya, kenapa tidak membuat kepastian berat ikan sebelum membuat pesanan? “
“Apabila saya membuat tempahan ketam dulu, siap tawar menawar dari segi berat ketam dengan ‘tauke’ sebelum turunkan pesanan. Tiada masalah.
“Ingat tatacara ini kalian, ‘Kira dulu, pesan kemudian’. Tak payah segan-segan. Segan dahulu, kesal kemudian.
“Dalam hal ini, pelanggan tiada salah, restoran pun tiada salah. Restoran sudah beritahu harga setiap 100g awal-awal. Caj juga ikut harga setiap 100g. Pelanggan bagi kebebasan kepada restoran untuk anggaran berat ikan,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/ubah-budaya-makan-dulu-kira-nanti.html