Turun Had Umur Mengundi Beri Peluang Anak Muda Terlibat Memilih Kerajaan
NILAI, 12 Julai (Bernama) — Penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun memberi peluang kepada anak muda terlibat secara langsung dalam memilih kerajaan sekali gus menentukan masa depan negara.
Rata-rata pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini memberi sokongan terhadap cadangan kerajaan berkenaan penurunan had umur mengundi yang dilihat suatu pembaharuan kepada pengundi muda terlibat dalam proses demokrasi untuk memilih wakil dan kerajaan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan USIM, Muhammad Adam Muhammad Azmi, 21, berkata penurunan had umur ini membolehkan anak muda terlibat dalam proses memilih pemimpin dan kerajaan yang mereka inginkan.
“Mengenai soal kematangan remaja berusia 18 tahun, tidak dapat dinafikan masih ada yang belum mengetahui secara mendalam berkaitan landskap politik negara, namun perkara ini tidak boleh hanya dipandang dari sudut negatif sahaja.
“Soal kematangan usia ini adalah satu perkara subjektif dan sebenarnya mereka boleh dibentuk melalui pendedahan berkaitan sistem demokrasi yang lebih mendalam di peringkat sekolah. Jika sebelum ini mereka tidak mengetahui berkaitan politik negara sedikit sebanyak selepas ini mereka akan lebih cakna berkaitan politik negara,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Tambahnya, golongan yang berusia 18 tahun ini dibolehkan menjadi ahli dalam parti politik, dibenar terbabit dalam kegiatan politik serta menganggotai pertubuhan politik berdaftar.
“Jika pada usia 18 tahun, remaja-remaja ini boleh melibatkan diri dalam politik negara, menyertai parti-parti politik dan sebagainya tetapi mengapa mereka ini tidak dibenarkan dan layak untuk mengundi?
“Banyak dasar-dasar dan perundangan di negara ini telah melibatkan remaja pada usia 18 tahun tetapi bukan untuk mengundi. Justeru, perkara ini sangat relevan untuk dikaji semula akan kewajarannya,” katanya.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam USIM, Syed Firdaus Iqmal Syed Zahir, 20, corak politik di negara ini akan menjadi lebih segar dan komprehensif kerana terdapat penglibatan golongan belia dalam pemilihan kerajaan.
“Penglibatan anak muda berusia 18 tahun ke atas ini akan menambahkan lagi pandangan dan suara mereka dalam proses memilih pemimpin dan kerajaan selain ia juga selaras dengan hasrat kerajaan kini yang ingin mengetengahkan ‘Youth Empowerment’ bagi mengiktiraf kuasa anak muda dalam bidang politik dan pentadbiran,” katanya.
Sementara itu, pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, Muhammad Mujahid Yusuf, 25, berkata berkata golongan muda berhak diberi peluang untuk mengundi dan mengubah kerajaan.
“Anak muda berusia 18 tahun sepatutnya diberikan peluang untuk mengundi kerana kebanyakan negara-negara maju lain sudah menetapkan 18 tahun sebagai umur kelayakan rakyat diberi hak mengundi dalam pilihan raya.
“Hal ini secara tidak langsung memperkasakan golongan muda di negara ini kerana ia melibatkan penglibatan remaja dalam menentukan kerajaan sekali gus menarik minat anak muda lebih mengambil tahu proses demokrasi di negara ini,“ katanya
Bagaimanapun, seorang pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Mohd Arif Ismail, 24, tidak bersetuju berkenaan cadangan untuk menurunkan had umur mengundi kerana ia melibatkan masa depan negara .
‘’Proses pengundian ini melibatkan masa depan negara dan kita memerlukan pengundi yang mempunyai pemikiran matang, bersedia serta tidak bersikap sambil lewa dalam memilih calon yang bakal memerintah negara nanti.
“Ada yang berumur 18 tahun tetapi masih tidak tahu mengenai soal mengundi dan mereka sekadar mengundi sahaja serta tidak tahu kepentingan mengundi untuk dirinya, masyarakat dan negara. Diharapkan kerajaan mempertimbangkan semula cadangan tersebut dan masih mengekalkan umur 21 tahun sebagai had umur untuk mengundi,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama yang merangkap Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM Dr Hayati Ismail berkata langkah kerajaan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun adalah selaras dengan langkah yang diambil oleh kebanyakan negara-negara maju serta negara-negara serantau seperti Vietnam dan Indonesia.
“Dalam keadaan sekarang ini, kita mahu memberikan ‘empowerment’ ataupun pengupayaan kepada golongan muda ini yang sepatutnya dilihat lebih matang serta menyedari peranan mereka sebagai rakyat Malaysia dalam mengundi.
“Namun, dengan penurunan had umur mengundi ini menjadikan ia sebagai tanggungjawab yang lebih besar kerana anak-anak muda ini perlu dididik. Oleh itu, didikan awal sejak sekolah lagi amat penting supaya mereka faham dengan lebih jelas berkenaan maksud sebenar demokrasi dan impak daripada pilihan mereka terhadap masa depan negara,” katanya.
Selain itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri berkata penurunan had umur mengundi ini mempunyai pros dan cons tersendiri.
“Dari segi pros, kita dapat melihat dari segi peluang untuk menentukan hala tuju tampuk kepimpinan negara itu lebih meluas dengan penyertaan oleh rakyat Malaysia manakala dari segi cons, adakah pengundi-pengundi muda yang merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ini benar-benar cakna atau matang untuk memikirkan masalah negara? Ia juga merupakan satu persoalan.
“Bagaimanapun, pandangan ini berdasarkan pemerhatian umum dan bukannya berdasarkan kajian. Ia juga terpulang kepada kebijaksanaan kerajaan yang memerintah sekarang ini sama ada untuk meluluskan cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun itu,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/07/12/turun-had-umur-mengundi-beri-peluang-anak-muda-terlibat-memilih-kerajaan/