Tun Mahathir Perdana Menteri Kepada 4 Negeri Pas
Sebagaimana dilaporkan media, empat negeri bawah pentadbiran PN telah bersetuju mewujudkan kerjasama dikenali sebagai “State-Government 4” atau SG4 bersama bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar dipetik sebagai berkata, empat Menteri Besar dari negeri PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan membincangkan pelan tindakan selanjutnya bagi kumpulan SG4 itu.
Katanya, Tun Mahathir akan memainkan peranan secara tidak rasmi buat masa ini, terutama dalam menghubungkan SG4 bersama pelabur luar seperti daripada Jepun dan Korea Selatan.
Ditanya sama ada Tun Mahathir akan dilantik sebagai penasihat secara rasmi, Samsuri berkata ketika ini pihaknya hanya mendapatkan nasihat secara tidak rasmi dan akan melihat keperluan ke arah itu selepas ini.
Menurut Naib Presiden Pas itu lagi, SG4 akan memfokuskan isu seperti pertanian, industri, pelancongan dan lain-lain kerjasama, sambil menambah keempat-empat negeri akan saling membantu antara satu sama lain.
Dengan perkembangan terbaru ini, adalah jelas PN, khususnya Pas, semakin ingin menjauhkan diri daripada kerajaan pusat yang dipimpin Anwar Ibrahim.
Bermula dengan peranan awal Tun Mahathir hanya sebagai penasihat tidak rasmi untuk menarik pelabur daripada Jepun dan Korea Selatan, tetapi lama kelamaan adalah diyakini peranan bekas Perdana Menteri itu akan semakin melebar lagi.
Dengan itu, kemungkinan beliau akhirnya akan dilantik secara rasmi sebagai penasihat khas kepada empat negeri berkenaan adalah besar sekali.
Tambahan lagi kerana Presiden Pas, Hadi Awang ternampak begitu meminati Tun Mahathir sejak kebelakangan ini dan sudah mengenepikan minatnya terhadap Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin sendiri.
Peranan sebagai penasihat khas itu nanti tentunya untuk menasihati keempat-keempat negeri berkenaan dalam hampir semua perkara kerana mengenali kebiasaan Tun Mahathir, apabila beliau berada di dalam sesuatu kedudukan itu, beliau pasti mahu menjadi seperti seorang ketua yang akan mengawal segala-galanya.
Dalam erti kata lain, Tun Mahathir dengan jawatan penasihat khas secara rasmi itu nanti tidak ubah seperti “Perdana Menteri Tidak Rasmi” bagi Kelantan, Terengganu, Kedah dan juga Perlis.
Iyalah…nak jadi Perdana Menteri yang rasmi tentulah tak boleh sebab Tun Mahathir bukan berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, malah tidak mempunyai parti dan bertanding pun hilang deposit pada PRU15 lalu.
Dengan bertanding hilang deposit, maka sesuailah jadi “Perdana Menteri Tidak Rasmi” itu.
Namun demikian, perkembangan ini seharusnya juga memberi petunjuk kepada Anwar selaku Perdana Menteri dan kerajaan pusat agar berpada-pada dalam melayan permintaan negeri-negeri terbabit selepas ini.
Empat negeri berkenaan sepertinya lebih ingin berdikari sekarang ini, bahkan dengan memberi peranan kepada Tun Mahathir itu seolah-olah Pas mahu terus bermusuhan dengan kerajaan pusat dari segi politik.
Ini kerana Tun Mahathir bukanlah orang yang mahu berbaik dan membawa orang lain berbaik dengan Anwar.
Sementara diharapkan Tun Mahathir mampu memberi idea dan menarik pelabur sehingga keempat-empat negeri berkenaan maju setanding Selangor, Pulau Pinang atau Johor dalam tempoh tidak terlalu lama selepas ini, Anwar dalam hal ini perlu memikirkan suatu kaedah khusus untuk menyalurkan bantuan kewangan daripada kerajaan pusat kepada negeri-negeri itu.
Hakikatnya, dengan adanya Tun Mahathir sebagai “Perdana Menteri Tidak Rasmi” bagi negeri-negeri berkenaan, semakin tidak berfaedah dan tidak memberi untung kepada kerajaan pusat jika peruntukan kewangan disalurkan terus kepada mereka.
Bahkan, dengan peruntukan kewangan itu nanti, lebih galak lagi mereka mengatur program itu dan ini untuk menjatuhkan kerajaan di peringkat pusat.
Baiklah dibiarkan saja Tun Mahathir membantu empat negeri itu. – ShahbudinHusin 15/09/2023.
https://shahbudindotcom.net/#google_vignette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/09/tun-mahathir-perdana-menteri-kepada-4.html