Tun M Sanggup Gadai Prinsip Demi Kuasa Elok Berundur Sebelum Senja
ainulillia
Apakah Tun lupa pemimpin DAP terbabit dengan pengganas LTTE? BANGI – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya parti tamak haloba DAP sudah banyak berubah jelas menunjukkan bekas Perdana Menteri itu terdesak sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan demi kuasa dan agenda peribadi.
Bahkan tindak-tanduk negarawan berusia 95 tahun seperti ‘lupa’ perjuangan parti rasis dan cauvinis yang tidak mengangkat kedudukan Islam dan Melayu di negara ini.
Ketua Perhubungan Negeri (KPN) ISMA Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim melihat Dr Mahathir makin terlalu naif apabila mengatakan DAP telah berubah.
Walhal, agenda dan naratif Malaysian Malaysia DAP tetap sama untuk mengubah identiti negara ini – hanya ada Malaysia tiada lagi Melayu.
“Sedangkan ini adalah Tanah Melayu yang berdaulat sejarahnya. DAP adalah kelahiran PAP, tidak cukupkah kita melihat kehilangan Singapura kerana strategi PAP, perpecahan dan pengkianatan orang Melayu?,” soalnya.
Manakala di Malaysia pula, kata Ustaz Khoushaini, DAP mengamalkan strategi pecah dan perintah untuk berkuasa di negara yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu dan Islam ini.
“Apabila orang Melayu bertelagah, mudahlah mereka menang besar. Tun harus ingat, DAP menang bukan kerana sokongan orang Melayu tetapi pakatan politik di atas perpecahan orang Melayu telah memenangkan mereka.
“Jangan kita lupa bagaimana Lee Kuan Yew sanggup memakai Baju Melayu dan songkok demi meraih sokongan Melayu di Singapura. Jangan kita tertipu dan terpedaya sehingga hilang identiti dan tanahair sekali lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Bimbang kejadian sama berulang, Ustaz Khoushaini kembali mempersoalkan sama ada Dr Mahathir sudah lupa akan segala perbuatan provokasi DAP selama ini yang memperlekeh kedaulatan negara.
“Apakah Tun sudah lupa pimpinan DAP yang menghadiri perhimpunan bekas komunis sehingga mengangkat komunis sebagai pejuang kemerdekaan?
“Apakah Tun sudah lupa pimpinan DAP terlibat dengan pengganas Tamil Eelam? Apakah Tun sudah lupa pimpinan DAP mengatakan Melayu itu pendatang? Apakah Tun sudah lupa pimpinan DAP memperlekehkan ATM hanya makan dan tidur?
“Apakah Tun sudah lupa pimpinan DAP mencadangkan penubuhan kedutaan Malaysia di Israel? Apakah Tun sudah lupa DAP bahkan juga MCA menyokong pengiktirafan UEC? Apakah Tun sudah lupa kenyataan pimpinan DAP terhadap tulisan jawi?
“Apakah Tun sudah lupa penolakan DAP terhadap undang-undang Syariah? Apakah Tun sudah lupa kenyataan Tun bahawa DAP adalah parti cauvinis dan rasis? Kenapa sekarang Tun lupa semua ini?,” soalnya.
Beliau menegaskan, rakyat tidak akan mudah lupa dengan segala perbuatan DAP yang telah banyak mengguris hati dan menimbulkan amarah rakyat.
“Namun, jika Tun sudah banyak lupa saya cadangkan eloklah Tun berundur dengan hormat sebelum senja tiba. Jangan sampai rakyat tidak lansung mengenang jasa Tun kelak.
“Kerana rakyat menilai pendirian kita, kini Tun tidak lagi mewakili majoriti rakyat yang sayangkan identiti negara ini, Tun tidak lagi mampu menjaga tiga teras negara iaitu Melayu, Islam dan Raja, saya pasti Tun akan ditolak oleh rakyat pada PRU15,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/tun-m-sanggup-gadai-prinsip-demi-kuasa.html