Tular Di Threads Kisah Insan Terpilih Solat Lama Azan Merdu Buat Jemaah Sebak

KUALA LUMPUR – Kadang-kadang Allah tak tegur kita dengan kata-kata, tapi dengan peristiwa yang buat hati terus tersentak. Kisah ini bukan sekadar perkongsian, tapi satu peringatan halus buat sesiapa yang membacanya.
“Jadi kita yang insan biasa-biasa ni, takkan tak mampu solat empat rakaat?”
Kisah menyentuh hati ini tular di platform Threads selepas dikongsikan oleh seorang pengguna, @muhammadfaiz91, yang mendakwa menyaksikan sendiri satu peristiwa luar biasa ketika berada di sebuah masjid.
Menurut perkongsian tersebut, kejadian berlaku ketika beliau sedang mengambil wuduk sebelum solat Asar. Pada waktu itu, beliau terdengar alunan bacaan Surah al-Fatihah yang begitu merdu, seolah-olah dibaca oleh seorang imam.
Menyangka solat berjemaah telah bermula, beliau segera melangkah masuk ke dalam masjid. Namun sebaik berada di dalam, beliau mendapati imam masih belum memulakan solat dan masih menunggu jemaah lain untuk mencukupkan saf.
“Rupanya hari ni Allah SWT jemput satu insan terpilih untuk beribadah,” tulisnya.
Apa yang lebih mengagumkan, ketika solat Asar berjemaah dimulakan, insan tersebut memperlahankan bacaan solatnya, seolah-olah menjaga adab agar tidak mengganggu jemaah lain, sehinggalah imam selesai solat dan doa dibacakan.
Suasana masjid kemudian bertukar ceria apabila selepas doa selesai, insan berkenaan melaungkan azan dengan suara yang sangat merdu, sekali gus membuatkan para jemaah tersenyum dan saling berpandangan antara satu sama lain.
“Aku nak rakam, tapi aku rasa tak perlu. Cukup sekadar aku simpan dalam hati,” katanya.
Lebih membuatkan beliau terdiam, insan berkenaan dilihat terus bersolat dalam tempoh yang lama. Sebelum jemaah lain memulakan solat, dia sudah pun bersolat terlebih dahulu, dan ketika jemaah lain selesai, dia masih lagi dalam solat.
“Aku sendiri tak tau dia solat berapa rakaat. Yang pastinya lebih dari empat,” tulisnya lagi.
Perkongsian tersebut diakhiri dengan satu persoalan yang menyentuh hati ramai:
“Dugaan dia dekat dunia dah cukup besar, tapi Allah SWT tetap jemput dia ke rumah Allah. Jadi kita yang insan biasa-biasa ni, takkan tak mampu nak solat empat rakaat?”
Netizen Sebak, Cetus Perbincangan
Di ruangan komen, perkongsian itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen, khususnya berkaitan kefahaman ibadah yang dilakukan insan berkenaan. Ada yang berpendapat kemungkinan individu tersebut melakukan solat jamak, dengan menunaikan solat Zohor dan Asar dalam satu tempoh masa yang sama.
Dalam masa sama, beberapa netizen lain mengingatkan bahawa dari sudut hukum, solat tidak boleh dilakukan secara “sekali jalan” tanpa mematuhi tertib tertentu. Namun, ramai mengakui Allah SWT Maha Mengetahui keadaan dan ujian setiap hamba-Nya.
Apa yang lebih menyentuh hati, ramai mengakui mereka berasa sebak selepas membaca kisah tersebut, malah ada yang menganggap ia sebagai peringatan lembut daripada Allah SWT buat insan biasa agar tidak memandang ringan kewajipan solat.
Rata-rata bersetuju bahawa walau apa pun tafsiran, kisah ini membawa mesej mendalam tentang keikhlasan, adab dalam beribadah serta bagaimana Allah SWT tetap memberi peluang kepada hamba-Nya untuk mendekatkan diri kepada-Nya, tanpa mengira keadaan. – The Malaysian Update
The post Tular Di Threads: Kisah Insan Terpilih Solat Lama, Azan Merdu Buat Jemaah Sebak appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/31/tular-di-threads-kisah-insan-terpilih-solat-lama-azan-merdu-buat-jemaah-sebak/