Tujuh Pemain Bam Ditunjuk Jalan Keluar
BEREGU lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin antara tujuh pemain negara yang ditunjukkan jalan keluar hasil penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Selain gandingan yang menghuni ranking ke-19 dunia, lima lagi pemain yang turut digugurkan ialah tiga perseorangan lelaki – Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Tah serta beregu wanita, Lim Pei Yee-Lim Chiew Sien.
Bagaimanapun, BAM akan kembali membuka ‘pintu’ buat ketujuh-tujuh pemain berkenaan jika mereka mampu menampilkan peningkatan prestasi sebagaimana yang diharapkan badan induk badminton negara itu.
“Penilaian dibuat berdasarkan KPI yang ditetapkan selepas Projek 24 diperkenalkan pada September lalu. Semua faktor diambil kira sebelum keputusan ini dilakukan.
“Kami sudah memaklumkan kepada semua pemain yang terbabit mengenai perkara ini. Mereka yang tidak kekal dalam BAM diberikan notis sebulan dan kita akan memberi segala bentuk sokongan kepada mereka sehingga 31 Januari ini
“Namun, kami tidak menutup terus ‘pintu’ buat mereka. Jika mereka mahu meneruskan karier dan berjaya mempamerkan peningkatan, mereka akan dipertimbangkan untuk kembali bersama skuad negara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Kuala Lumpur hari ini.
Hasil keputusan tersebut, skuad badminton negara kini dibarisi 39 pemain iaitu melibatkan enam perseorangan lelaki, lima perseorangan wanita, 11 beregu lelaki, sembilan beregu wanita dan lapan beregu campuran.
Kebanyakan pemain yang dikekalkan itu berusia antara 20 hingga 24 tahun, sekali gus dianggap selaras dengan misi Projek 24 yang menetapkan sasaran meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dan mara ke final Piala Thomas pada tahun yang sama.
Sumber :-Sinar Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ligakampung.com/blog/tujuh-pemain-bam-ditunjuk-jalan-keluar/