Tujuh Insan Terpilih
Biasanya kita menyenaraikan nikmat yang diperoleh hidup ini seperti sihat tubuh badan, kekayaan harta benda, masa lapang serta nikmat memiliki keluarga yang baik dan pelbagai lagi.
Namun, kita juga perlu memanjatkan rasa kesyukuran kerana memperoleh nikmat teduh. Allah SWT mengurniakan teduhan dengan menjadikan pokok, awan, bukit-bukau, gunung dan sebagainya untuk kita berlindung.
Perkara itu dinyatakan menerusi firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, ayat 81
yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian daripada yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian daripada gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu daripada panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu berserah diri kepada-Nya dan mematuhi perintah-Nya.”
Bayangkan, bagaimana rasa seandainya kita terdedah kepada cahaya matahari, sudah tentu tubuh badan kita berasa tidak selesa, letih dan lemah sehingga boleh memudaratkan diri.
Berbicara mengenai bayang yang dijadikan tempat berteduh, terdapat hadis di mana Nabi SAW menyatakan, di akhirat kelak terdapat tujuh golongan manusia yang akan mendapat teduhan dan naungan-Nya.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Pemimpin yang adil (2) Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadat kepada Allah, (3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita kaya dan cantik tetapi dia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah pada kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Muttafaq ‘Alaih)
Kita semua mendambakan teduhan dan naungan itu bukan saja ketika di dunia, malah lebih utama di akhirat supaya ia kekal sebagai nikmat yang dapat memelihara manusia.
Tiada siapa yang akan mendapat tempat teduh melainkan Allah SWT berikan kepada tujuh golongan berdasarkan hadis di atas.
Jika kita tidak termasuk dalam golongan yang mendapat nikmat teduhan itu, ketahuilah keadaan ketika itu sangat genting dan tersangat panas kerana posisi matahari terpacak sejengkal di atas kepala.
Maka, beruntunglah kepada mereka yang mengakhiri perjalanan hidupnya di dunia ini dengan amal soleh.
Seandainya hidup ini digunakan untuk Allah SWT, maka ‘bayarannya’ adalah kekal selama-lamanya di dalam syurga.
Kehidupan kita di atas muka bumi ini boleh diibaratkan seumpama kita mengambil pasir menggunakan jari.
Pasir yang melekat di jari itulah tempoh kehidupan kita di dunia manakala semua pasir yang berada di dalam lautan di seluruh alam ini, malah lebih daripada itu adalah kehidupan akhirat.
Tidak berbaloi sama sekali kita melakukan maksiat kepada Allah SWT semata-mata untuk dibakar dan diseksa di dalam neraka di mana keadaan ahlinya tidak mati dan juga tidak hidup.
Sehubungan itu, antara doa dan rayuan yang perlu kita sentiasa diamalkan ialah: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada hujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan jadikanlah sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu pada hari kiamat.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/11/27/tujuh-insan-terpilih/