Tubuh Badan Adalah Amanah Yang Perlu Di Jaga
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
sebelum ni aku pernah berkongsi, sejak setahun lebih ni, aku aktif mendengar ceramah Mufti Menk setiap kali memandu kereta ke mana sahaja. Memang itulah yang menjadi halwa telinga untuk peringatan kepada diri sendiri.
Saban hari perlu diulang, sebab aku akan lupa dan ada perkara yang tidak terus masuk ke dalam minda ketika kali pertama mendengarnya. Begitulah hakikat kehidupan seorang manusia yang serba kekurangan.
Ada banyak sesi tamparan kepada diri sendiri bila mendengar ceramah-ceramah begini, terutama jika kita membenarkan diri kita untuk di”tampar”. Jika kita dengar sekadar untuk mengisi masa lapang tanpa cuba memahami atau memberikan tumpuan, ianya akan jadi seperti angin yang membelai pipi kemudian berlalu pergi.
Tanggungjawab dan amanah di dunia
Selama umur hidup aku di dunia ni, aku seringkali merasakan bahawa banyak perkara kat dunia ni adalah milik aku. Ya aku yang punya. Ini adalah disebabkan kejahilan dan betapa rendahnya ilmu aku mengenai perkara di dunia ini.
Apabila kita faham semua yang wujud di muka bumi ini adalah milik Allah, kita akan mula tundukkan ego yang dah lama bersemi dalam diri. Waima tubuh badan kita ini juga milik Allah, kita hanyalah diberikan tugasan dan tanggungjawab untuk menjaga tubuh ini.
Agar tiba masanya, tubuh ini akan hancur di mamah bumi, sebelum dibangkitkan semula di akhirat kelak.
Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan apa yang kita beri tubuh kita makan, apa yang kita buat dengan tubuh kita, sama ada tidur, rehat, bekerja, makan, minum, bersenam atau apa sahaja, adalah untuk kebaikan tubuh badan kita dan bukan sebaliknya.
Semoga selepas ini, aku akan lebih berhati-hati dan sedar diri, bahawa aku tak punya apa-apa kat dunia ini, hanya tanggungjawab untuk menjadi hamba Tuhan yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalani kehidupan mengikut jalan yang telah ditetapkan agama.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/tubuh-badan-adalah-amanah-yang-perlu-di-jaga/