Tronsmart Element T6 Plus Penyedap Halwa Telinga Peminat Muzik Dan Filem
Banyak produk berasaskan Bluetooth yang menjanjikan kepuasan ketika melayani irama muzik mahupun menonton filem. Cuma berapa banyak yang benar-benar memenuhi kriteria yang telah dijanjikan itu?
Tronsmart adalah satu-satunya jenama yang jarang menghampakan. Benar, harga bagi produk-produknya agak tinggi sedikit tetapi kualiti yang dihasilkan adalah bertaraf premium.
Tronsmart Element T6 Plus adalah pembesar suara Bluetooth yang mempunyai julat bunyi yang tinggi. Sekali dengar, seakan kita memasang pembesar suara kereta yang mahal, tetapi rupanya hanyalah datang dari sebuah pembesar suara bersaiz sederhana sahaja.
Sebelum meneruskan artikel lebih lanjut, mari kita buka kotak terlebih dahulu.
Anda boleh lihat dari luar kotak, rekaannya sahaja sudah cukup untuk menggamit mata.
Apa yang ada dalam kotak?
1 x Pembesar suara Bluetooth Element T6 Plus.
1 x Kabel audio 3.5mm.
1 x Kabel pengecas USB-C.
1 x Kad waranti.
1 x Manual pengguna.
Apa yang menariknya?
Model ini sebenarnya adalah model naik taraf bagi versi sebelumnya iaitu T6 Element. Rekaannya agak moden dengan menampilkan dua variant warna iaitu merah dan hitam.
Apa yang saya suka mengenainya?
Pembesar suara ini mempunyai 3 equalizer, ciri True Wireless Stereo (TWS) yang boleh menghubungkan dua pembesar suara bagi mendapatkan impak maksimum, serta ia juga adalah kalis air dengan penarafan IPX6!
Oh ya, tidak lupa juga ia ada ciri reverse charging, yang mampu menjadikan ia sebagai powerbank anda.
Element T6 Plus ada teknologi baharu yang diimplementasikan kepadanya iaitu SoundPulse
, di mana ia mampu mengeluarkan output sebanyak 40W menjadikan kualiti bunyi terutamanya bass dan vokal kedengaran lebih jelas dan ‘tajam’.
Sebelum saya menyambung ulasan, eloklah anda dengarkan dahulu kualiti bunyinya melalui video di bawah. Ianya dirakam hanya menggunakan telefon pintar saya (Redmi Note 7) dan lagu yang dimainkan adalah dari band tempatan iaitu Langsuir bertajuk Gentayangan Bajingan Malam. Diakui kualiti rakaman studio bagi lagu tersebut bukanlah yang terbaik, tetapi anda akan dapat nilaikan sendiri bagaimana bunyi yang terhasil dari pembesar suara ini.
Pastikan anda mendengar menggunakan fon kepala terbaik ya.
Bateri Element T6 Plus adalah berkapasiti sebanyak 6600mAh dan dapat dicaj dengan cepat dalam tempoh lebih kurang 3 hingga 5 jam. Jika anda menggunakan telefon yang mempunyai pengecaj dengan USB Type-C, maka anda dapatlah ‘pinjamkan’ pengecaj tersebut kepada Element T6 Plus.
Setakat ini saya masih belum berjaya menghabiskan kuasa baterinya. Ya, memang lama sungguh ketahanan bateri sedangkan saya sudah pun melayan drama di Netflix berjam-jam. Maaf, untuk ini anda kenalah cuba sendiri berapa jamkah ia akan habis. Menurut laman web Tronsmart, ia mampu bertahan sehingga 15 jam.
Dengan ciri True Wireless Stereo atau TWS, anda akan dapat menghubungkan dua pembesar suara kepada telefon atau tablet/laptop anda. Kalau satu pun sudah mampu menggegar rumah, jika anda gabungkan ia dengan sebuah lagi Element T6 Plus, anda mungkin boleh sewakan rumah sebagai pawagam mini di hujung minggu.
Ulasan ini belum habis lagi ya.
Terdapat kemudahan untuk anda berhubung dengan pembantu peribadi maya atau virtual assistant, dengan cara menekan butang volume di atasnya. Ia akan segera mengaktifkan Google Assistant untuk Android atau Siri untuk iOS.
Di dalamnya terdapat dua pemacu yang akan menghasilkan bunyi stereo. Rujuk pada gambar di bawah.
Equalizer yang saya sebutkan di atas ada 3 iaitu Vocal, 3D Deep Bass dan Extra Bass. Setakat ini pada halwa telinga saya, saya memilih Vocal kerana bunyi untuk low range yang dihasilkan tidak begitu tenggelam atau menenggelamkan bunyi mid range.
Namun high mid range kedengaran agak bingit, seperti yang anda dapat dengar dalam video di atas. Tetapi saya tidak beberapa hendak kisahkan sangat dek kerana saya lebih mendengar muzik metal berbanding genre lain. Sewaktu saya berada dalam sebuah band di Ipoh dahulu, saya adalah vokalisnya. Jadi tidak hairan jika saya lebih memilih ke arah vokal. Jika anda sukakan Hip-Hop, anda boleh beralih kepada 3D Deep Bass atau Extra Bass.
Ia menggunakan teknologi Bluetooth 5.0 dan jarak bagi pembesar suara ini dengan peranti anda yang lain adalah 20 meter. Ia juga menempatkan pembaca kad MicroSD, serta slot bagi pemacu USB.
Konklusi
Harga bagi Tronsmart Element T6 Plus ialah RM339 dan anda boleh membuat pembelian melalui Shopee atau Lazada.
Adakah harganya berbaloi? Begini. Saya tidak mahu ulasan saya menjadi justifikasi bagi pembelian anda. Wang anda yang telah susah payah dicari haruslah digunakan ke arah yang benar-benar memberikan kepuasan maksima. Oleh itu siapakah yang sesuai mendapatkan pembesar suara dari Tronsmart ini?
Bagi anda yang sangat menggemari muzik, juga suka menonton filem dengan keselesaan berada di rumah, ia adalah peneman terbaik yang boleh saya syorkan setakat ini. Saya berani jamin anda tidak akan hampa.
Kita sedia maklum produk dari Tronsmart hadir dengan waranti dan mudah untuk anda hubungi pihak mereka. Kualiti produknya usah dipersoalkan lagi, kerana contohnya powerbank Tronsmart Prestro yang saya gunakan sejak tahun 2017 masih lagi berfungsi dengan baik hingga ke hari ini.
Pendek kata, sekiranya anda sudah ada modalnya, dan tidak terasa ralat hendak membelanjakan sebanyak RM300+ bagi memperolehi alat pemberi hiburan ekstra, silakanlah lakukan pembelian yang anda tangguh itu kerana menanti ulasan ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/tronsmart-element-t6-plus-penyedap-halwa-telinga-peminat-muzik-dan-filem/