Tronsmart Apollo Q10 Fon Kepala Dengan Anc Hibrid
Tronsmart bukan nama baru dalam industri. Kami sudah banyak kali mengulas produk mereka, yang kebanyakannya terdiri dari gajet audio, dan juga adapter pengecasan pantas. Pelbagai produk Tronsmart ini jarang sekali menghampakan, walaupun adakalanya harga ditetapkan sedikit mahal berbanding jenama lain.
Kali ini, Tronsmart mengeluarkan produk baharu iaitu Apollo Q10, sebuah fon kepala yang disertakan dengan fungsi Active Noice Cancellation (ANC) Hibrid.
Apa Itu ANC Hibrid?
ANC atau Active Noise Cancellation (Pembatalan Kebisingan Aktif) Hibrid ialah bagaimana Apollo Q10 mengendalikan pembatalan bunyi secara berbeza dengan sokongan kecanggihan cip yang tidak diketahui pembuatnya setakat ini. Cip tersebut menyokong pembatalan kebisingan aktif dan pemprosesan isyarat Bluetooth sama seperti Qualcomm QCC5124, menjadikan kedua-dua ciri tersebut mencapai prestasi terbaik tanpa gangguan serentak. Sementara model ANC lain di pasaran harus menggunakan dua cip untuk isyarat Bluetooth dan pembatalan bunyi aktif.
Apollo Q10 dapat membatalkan kebisingan semua frekuensi untuk memberi anda pendengaran mendalam – 360°. Bersama dengan 5 mikrofon, ia juga memberikan anda panggilan yang sangat jelas. Ia berfungsi dengan menggunakan rangkaian mikrofon bersepadu untuk menyekat kebisingan latar belakang dengan berkesan.
‘Hibrid’ yang dimaksudkan ialah Apollo Q10 mempunyai dua jarak frekuensi ANC yang ‘dijaga’, iaitu Feedforward dan Feedback. Feedforward membatal kebisingan dari frekuensi dari jarak sempit iaitu di sekitar 1kHz, manakala Feedback pula membatal kebisingan dari jarak lebar, iaitu pada 1-2kHz. Teknologi ini menjadikan jarak frekuensi yang dibatal oleh TWS/fon kepala Bluetooth lebih baik dan komprehensif.
Ada baiknya sebelum kita teruskan, kita lihat dahulu apa yang ada dalam kotaknya.
Seperti disenaraikan, apa yang tersimpan dalam kotak ialah:
1 unit Tronsmart Apollo Q10.
1 unit bag penyimpanan (Kulit PU).
1 kad waranti.
1 kabel pengecas.
1 manual panduan pengguna.
Kalau video tadi kurang jelas, anda boleh lihat pula pada gambar berikut.
Reka Bentuk
Tronsmart Apollo Q10 menggunakan reka bentuk boleh lipat, yang memudahkan anda untuk membawanya ke mana-mana bila ia dapat disimpan dalam bag tanpa mengambil ruang yang banyak. Ia juga seberat 225g, amat ringan jika anda hendak ‘sangkutkan’ di leher dan bawa berjalan.
Sayangnya, fon kepala ini hanya mempunyai warna hitam. Saya bayangkan jika ia ada warna merah, merah jambu, oren, dan sebagainya lagi, pasti ia dapat memberi lebih pilihan kepada pelbagai minat individu lain. Fon kepala diperbuat dari plastik, menjadikan keseluruhan reka bentuk tampak sedikit ‘murah’, tetapi masih lagi terasa mantap sewaktu dipakai.
Kesemua butang-butang penting seperti butang kuasa, MFB, dan port pengecasan USB-C diletakkan di sebelah kanan. Anda boleh lihat pada gambar-gambar di bawah.
Spesifikasi
Model
Tronsmart Apollo Q10
Warna
Hitam sahaja yang ada
Versi Bluetooth
5.0
Jarak Transmisi
Sehingga 15 meter/50 kaki
Kapasiti Bateri
1200mAh
Waktu Main
Sehingga 100 jam
Tempoh Pengecasan
Dalam lingkungan 3 jam
Julat Frekuensi
20 – 20K Hz
Unit Pemacu
40mm, dinamik
Galangan
32 ohms
Berat
225g
Kandungan Pakej
1 x Tronsmart Apollo Q10, 1 x Manual Panduan Pengguna, 1 x Kabel Pengecasan, 1 x Kad Waranti, 1 x Bag Penyimpanan PU
Kualiti Bunyi
Saya dapat rasakan sewaktu mendengar lagu, ANC Hibrid itu berfungsi dengan cemerlang, cuma tidaklah sehingga 100% anda tidak dapat mendengar bunyi luar. Saya boleh katakan ia berkesan sehingga 80-90%, yang dapat dikategorikan sebagai cukup baik. Bunyi tiba-tiba atau tidak dijangka diredam dengan baik tetapi tidak disekat sepenuhnya kerana ini bukanlah sesuatu yang sebenarnya disekat oleh ANC.
Kadar laras bunyi pada telingan saya sendiri adalah tidak mencukupi. Saya bukan hendak mendengar sehingga pekak, tetapi apabila dinaikkan hingga maksimum sekalipun, bunyinya belum cukup memuaskan halwa telinga saya.
Tetapi anda tidak boleh bandingkan telinga saya ini dengan telinga anda, kerana saya sudah banyak kali masuk ke studio rakaman (waktu zaman muda dulu) untuk menjalani proses rakaman lagu band saya pada ketika itu. Barangkali akibat terlalu banyak mendengar julat bunyi yang kuat menyebabkan saya sudah lali dengan bunyi ‘manja’ dan mahukan lebih lagi.
Apabila mula mendengar beberapa buah lagu, saya simpulkan fon kepala ini dalam kategori ‘seimbang’, di mana nada pertengahan dan tinggi agak sempurna dan tidak melangkau jauh antara satu dengan yang lain. Replikasi dan keseimbangan keduanya membuatkan bunyi terhasil tidak melelahkan telinga.
Vokal kedengaran begitu jelas dan ‘terang’, akan tetapi bahagian bass membuatkan saya inginkan hentakan yang lebih. Contohnya lagu Michael Jackson – Billie Jean, tidak begitu terasa hentakan drum dan bassnya. Oh ya, Apollo Q10 boleh dipadankan dengan aplikasi ‘Tronsmart’ yang anda dapat muat turun di Google Play Store atau App Store, yang memberi anda kemudahan untuk menukar EQ, menukar mode, dan mengubahsuai kawalan butang.
Pun begitu, walau saya tukar EQ kepada Deep Bass sekalipun, perubahannya tidak signifkan seperti diharapkan.
Fungsi ANC benar-benar membantu untuk menaikkan ‘kualiti’ panggung suara (soundstage) dalam usaha mendapatkan kadar bunyi optimumnya.
Jangkat Hayat Bateri
Dengan kapasiti 1200mAh dan teknologi penjimatan kuasa yang telah dipatenkan, Apollo Q10 mampu memainkan semula lagu sehingga 100 jam. Dalam percubaan saya sendiri, saya tidak dapat menghabiskan kuasa baterinya dalam masa sehari. Bahkan setelah beberapa hari menggunakannya semenjak ia sampai di rumah, baterinya belum perlu dicas semula setakat ini.
Dalam hal ini, Tronsmart berjaya memenangi hati saya. Dalam mode ANC sekalipun, kuasa bateri begitu hemat sekali digunakan, dan saya tidak pernah gunakan fon kepala ini dengan kadar suara di bawah 100%. Saya sentiasa menggunakan ia dengan kelantangan 100% untuk semua jenis genre lagu, tidak kiralah Hip-Hop, R&B, mahupun metal.
Paling penting, seperti yang selalu saya katakan, Apollo Q10 menggunakan antara muka USB-C, dan ini amatlah menyenangkan aktiviti seharian. Tidak perlu tercari-cari kabel USB mikro untuk tujuan pengecasan. Tronsmart mengatakan hanya dengan 10 minit pengecasan, anda dapat gunakan Apollo Q10 sehingga 3 jam lamanya. Waktu untuk pengecasan penuh pula dijangka dalam 3 jam sahaja.
Konklusi
Dengan tanda harga RM299, untuk sesetengah orang, Apollo Q10 mungkin tidak berbaloi, dan untuk sesetengah golongan lain, ia menepati bajet dan citarasa untuk genre lagu yang selalu dilayani ketika waktu lapang.
Lingkungan harga sebegini, memang sukar untuk dapatkan fon kepala Bluetooth yang sempurna dari segala segi. Untuk Apollo Q10, isolasi instrumen muzik agak baik, walaupun saya rasa ia boleh dipertingkat dan diperbaiki lagi.
Elemen atau unsur lain, sekadar menjadi penyeri kepada fon kepala, seperti kawalan sesentuh dan butang MFB yang jarang sekali saya gunakan. Kawalan sesentuh pada mulanya terasa agak leceh, tetapi bila dah terbiasa, ia mudah untuk diingati dan dilancarkan.
Saya tidak rasa fon kepala ini dicipta untuk golongan audiophile, sebaliknya lebih kepada mereka yang gemarkan fon kepala berbanding TWS biasa, dan ingin fon kepala yang tidak terlalu mengoyakkan poket.
Ia juga agak bergaya ketika dipakai, atau disangkut di leher. Saya bercadang hendak sangkut ketika sedang membeli-belah di pasar raya. Barulah terasa sedikit muda, kerana jiwa di dalam tubuh saya masih lagi segar berbanding umur. Young-at-heart bak kata orang putih.
Anda boleh beli melalui:
Shopee
Lazada
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/tronsmart-apollo-q10-fon-kepala-dengan-anc-hibrid/