Transformasi Aeon Mall Alpha Angle Bermula
Transformasi AEON Mall Alpha Angle Bermula! | Assalammualaikum semua! Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Hehehe. Bukan Ruby bermain di AEON Alpha Angle tau. Ruby shopping dan cuci mata aje!
Dulu, kami panggil JJ. Kenangan si AEON Alpha Angle terlalu banyak. Ruby ke sini ketika usia 12 tahun lagi, sekitar tahun 2000. Kami sekeluarga baru berpindah ke Taman Melati. Jadi, satu stesen dari Taman Melati ke Wangsa Maju sahaja dah sampai
Jalan kaki dari LRT ke AEON Alpha Angle agak mencabar ye dulu. Turun bukit tau. Hahaha. Mana ada tangga. Nak baik sikit, masuk dalam kawasan parking.
Baju raya, baju sekolah, barang dapur dan makan-makan lepas keputusan exam. Makan Sizzling Yee Mee paling best. Tako Yaki Ruby kenal dari AEON la. Masak panas-panas. Fuhhh nyummssss. Lepas tu minum teh ais kedai mamak di food court. Sedap oi. Hadiah pun cari kat sini. Nak kaset lagu baru. Beli dekat atas, di Music Valley. Mesti mak bawa ke AEON Alpha Angle.
Weiii Ruby dah tua ke ni? Hahahaha. Menggamit memori pula kan. Jadi, mesti kita teruja kan nak tengok transformasi AEON Alpha Angle. Semoga dipermudahkan urusan pasukan AEON!
Transformasi AEON Mall Alpha Angle Bermula!
Menjanjikan Elemen Inklusiviti, Digital dan Pengalaman di AEON. Setelah hampir 30 tahun beroperasi dengan sokongan penuh oleh para pelanggan setia, AEON Mall Alpha Angle di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kini menjalani transformasi menerusi projek pengubahsuaian dan penambahbaikan untuk keselesaan para pengunjung.
Sejak pembukaannya pada April 1992, AEON Mall Alpha Angle telah menjadi mercutanda ikonik di Wangsa Maju di mana ianya bukan sahaja merupakan pusat membeli belah malah ia juga menjadi lokasi aktiviti sosial dan riadah kepada para pengunjungnya.
Pelbagai kenangan manis lagi istimewa telah terlakar di situ. AEON ingin terus menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggannya dan menghubungkan generasi masa kini dengan sejarah istimewa AEON Mall Alpha Angle.
Projek pengubahsuaian dan penambahbaikan ini menggabungkan unsur-unsur sejarah silamnya dan kemodenan. Majlis perasmian dan doa selamat yang diadakan hari ini bertempat di pintu masuk utama AEON Mall Alpha Angle menandakan bermulanya projek pengubahsuaian dan penambahbaikan.
Ianya disempurnakan oleh Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON dan turut dihadiri oleh pihak pengurusan dan kakitangan AEON serta kontraktor dan konsultan projek
Menurut Shafie, “Kami berasa amat bersyukur kerana selama hampir 30 tahun, AEON Mall Alpha Angle teguh berdiri, memenuhi keperluan para pelanggan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk setempat serta mereka dari jauh dan dekat.
Ianya merupakan cawangan kami yang keempat di Malaysia. Justeru itu, AEON ingin terus progresif dan proaktif untuk memastikan kelestariannya. Selain berwajah baharu, beberapa penambahbaikan dari segi perkhidmatan juga akan dilaksanakan.”
“Kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan ini dijangka akan siap pada April 2022. Bagi permulaan projek ini, bahagian yang terlibat di dalam proses transformasi kebanyakannya di zon Atrium.
Beberapa bahagian lain juga akan diceriakan melalui rekabentuk dan perkhidmatan terkini yang akan memberi lebih keselesaan dan kemudahan kepada para pengunjung,” sambung Shafie lagi.
Untuk transformasi ini, AEON mengaplikasikan konsep Inklusif, Digital, Pengalaman @ AEON (Inclusivity, Digital, Experiential @ AEON) atau IDEA. Inisiatif IDEA menitikberatkan aspek inklusiviti untuk ekosistemnya, digitalisasi dan teknologi terkini serta pengalaman membeli belah yang lancar merangkumi keperluan semua generasi.
AEON Mall Alpha Angle juga dilihat sebagai sebuah ekosistem gelung terbuka yang mengalu-alukan penyertaan bukan sahaja pelanggan dari semua lapisan masyarakat, tetapi juga perniagaan-perniagaan tempatan ke dalam ekosistem AEON
Transformasi ini juga akan melibatkan pemasangan panel tenaga solar yang akan menjadikan AEON Mall Alpha Angle sebagai cawangan kedua AEON yang akan menggunakan tenaga solar selepas AEON Mall Taman Maluri, Kuala Lumpur
“Kami berasa amat bertuah kerana AEON Mall Alpha Angle juga berada di dalam linkungan Wangsa Maju yang telah dikenalpasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama inisiatif perbandaran karbon sifar.
Oleh yang demikian, inisiatif ini sudah semestinya dapat memperkasakan lagi aspirasi AEON untuk turut sama memastikan kelestarian alam sekitar,” akhiri Shafie.
Inisiatif AEON ini selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui teras Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (Matlamat 12) iaitu memastikan setiap penggunaan dan pengeluaran yang mampan dan juga Kehidupan di Darat (Matlamat 15) untuk memelihara, memulihara dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem di darat
Mengenai AEON Retail
AEON CO. (M) BHD. adalah syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia dengan 28 AEON Mall, 34 AEON Stor, 9 MaxValu Prime, 65 AEON Wellness dan 43 DAISO dan 2 Komai-so di seluruh negara.
Ia ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai maklum balas kepada jemputan oleh Kerajaan Malaysia dalam membantu memodenkan industri peruncitan negara. AEON BiG (M) SDN. BHD. mengendalikan 21 pasar raya besar dengan nama dagang "AEON BiG" di Malaysia.
Ia menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat. Pengambilalihan AEON BiG adalah sebahagian daripada rancangan AEON Group untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara dan mengembangkan lagi operasi di Asean.
AEON terus berusaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. Berpandukan kepada falsafah “Pelanggan Didahulukan”, pemahaman mendalam mengenai keperluan pasaran sasaran, dibantu oleh campuran produk yang optimum, AEON beriltizam untuk melangkaui jangkaan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka setiap kali mereka berbelanja di rangkaian AEON.
Dengan semangat AEON yang bermaksud ‘berkekalan’ dalam Bahasa Latin, matlamat AEON adalah untuk memastikan kerjasama lestari dengan para pelanggan, pembekal, rakan niaga, pemegang saham dan komuniti untuk mewujudkan masa hadapan yang tiada had
AEON RETAIL | FACEBOOK AEON RETAIL | INSTAGRAM AEON RETAIL | FACEBOOK AEONBiG | INSTAGRAM AEONBiG | TWITTER
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.ruby.my/2021/11/transformasi-aeon-mall-alpha-angle.html