Tolong Iktiraf Jasa Kami Harian Metro 13 09 2022
Kuala Lumpur: Beri kami pengiktirafan. Itu permintaan pasukan elit rahsia Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan F, kepada kerajaan.
Bekas Pegawai Turus Pasukan F, Datuk Abdullah Abdul Hamid berkata, kira-kira 165 bekas anggota pasukan F menyertai pasukan itu sejak tahun 1971 sehingga dibubarkan secara rasmi pada 1995.
"Namun kini, hanya terdapat 116 pegawai dan anggota yang masih ada dan selebihnya sudah meninggal dunia atas pelbagai faktor antaranya kesihatan dan usia.
"Pasukan F ini bermula dengan 16 individu namun pada era komunis ia bertambah kepada 165 anggota pada tahun 1995, "katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Abdullah berkata, terdapat kira-kira 30 anggota pasukan itu yang tidak berpencen kini hidup dalam keadaan daif dan kemiskinan kerana tidak mempunyai kad pesara polis dan tidak diiktiraf.
"Sebenarnya terdapat tiga kategori pegawai dan anggota yang menyertai pasukan F, yang pertama adalah mereka yang berpencen iaitu berkhidmat sehingga usia 60 tahun, kedua ialah mereka yang keluar atau menamatkan perkhidmatan awal dan tanpa pencen serta ketiga ialah anggota yang bekerja secara kontrak.
"Anggota kontrak ini adalah bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang diserap ke pasukan F untuk mengumpul maklumat ketika itu, mereka ini kita jadikan sumber dan letak bersama masyarakat, "katanya.
Menurutnya, kebanyakan anggota kontrak ini tidak mahu terdedah kerana khuatir akan keselamatan mereka dan keluarga.
"Mereka ini sangat setia kepada pasukan, banyak membantu menyalurkan maklumat dan sangat efektif ketika berada di hutan serta menyertai banyak operasi pasukan.
"Saya pernah berjumpa dengan mereka, ada yang sakit dan tidak mampu untuk ke hospital kerana kos yang sangat tinggi sedangkan mereka membantu negara, "katanya.
Justeru itu, beliau memohon kerajaan memberi pengiktirafan , kemudahan kesihatan dan imbuhan kepada individu yang menyertai pasukan ini.
"Bayangkan jika saya ketika itu adalah pegawai dan berpangkat Asisten Komisioner (ACP) hanya menerima gratuiti sebanyak RM2,000 sahaja.
"Mereka ini hanya menerima gratuiti perkhidmatan dua bulan setengah gaji saja, "katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memohon kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menilai semula penghargaan terhadap pasukan ini.
"Ia tidak semestinya imbuhan, banyak cara lain lagi boleh dinilai seperti contoh lesen perniagaan, tanah atau sebagainya.
"Kita perlu menghargai mereka ini kerana berjasa pada negara, jika kita tidak menghargai akan memberikan kesan buruk pada masa akan datang, "katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
"TOLONG IKTIRAF JASA KAMI…"
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/09/881569/tolong-iktiraf-jasa-kami
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ppim4u.blogspot.com/2022/09/tolong-iktiraf-jasa-kami-harian-metro.html