Tol Plus Akan Menerima Pembayaran Menggunakan Kad Kredit Debit Dan Dompet Digital Pada Penghujung 2019
Cabaran hidup di ibu kota ialah keperluan menggunakan jalan raya bertol jika ingin mengelakkan diri dari menempuh kesesakan jalan raya. Pulang ke kampung juga lebuhraya bertol digunakan kerana ia biasanya jalan terbaik. Tetapi dengan pengenalan tol nirtunai sejak setahun lalu, wujud pula masalah kad Touch n’ Go yang kehabisan kredit. Masalah ini akan dapat diselesaikan dengan sokongan pembayaran menerusi kad kredit, debit, dan pelbagai dompet digital pada penghujung tahun ini.
Menurut laporan Berita Harian yang memetik Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, proses menaik taraf kesemua plaza tol PLUS akan selesai menjelang hujung tahun 2019 bagi menyokong pembayaran menggunakan sistem PLUS RFID. Sistem RFID Plus membolehkan akaun kad kredit, debit dan pelbagai jenis dompet digital dipaut terus untuk proses pembayaran tol.
Ini sekaligus tidak memerlukan anda membuat tambah-nilai seperti pada Touch ‘n Go Ewallet, dan bergantung terus ke akaun bank anda. Sokongan ke atas kad fizikal dan dompet digital Touch n’ Go masih akan dikekalkan.
Ujian PLUS RFID menggunakan kad kredit, debit dan dompet digital telah dilakukan sejak November 2018. Ia memberikan kebebasan kepada pengguna untuk memilih mod pembayaran yang paling digemari. Sistem yang sama ingin dihalang oleh CIMB pada Disember tahun lalu kerana mendakwa melanggar kontrak yang dimeterai oleh PLUS dengan Touch n’Go.
Pada waktu yang sama PLUS sedang menaiktaraf 1400 kamera litar tertutup ke kamera berdefinisi tinggi. Pihak PLUS akan menggunakan visual dari kamera untuk menunjukkan keadaan trafik terkini kepada pengguna dengan lebih jelas. Ia juga boleh diakses pengguna menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mereka melakukan perancangan sebelum melakukan perjalanan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/08/tol-plus-akan-menerima-pembayaran.html