Tok Mat Tunjuk Teladan Baik Tolak Tawaran Terajui Glc Kata Syed Saddiq
FMT Reporters
Syed Saddiq menghormati Mohamad Hasan dan tidak pernah menafikan sumbangan pemimpin Umno dalam politik negara. PETALING JAYA: Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuji Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan Mohamad menunjukkan teladan terbaik berhubung soal prinsip dan integriti dengan menolak tawaran menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memfokuskan parti.
Mohamad dikatakan akan dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu senarai pelantikan pemimpin Umno mengetuai GLC yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Syed Saddiq berkata, ketika rakyat berdepan kesukaran akibat impak krisis Covid-19, ramai ahli politik menutup mata dan berlapang dada dengan tawaran jawatan dalam kerajaan.
Beliau mendapati ramai ahli politik yang menyokong penubuhan Perikatan Nasional ditawarkan jawatan dalam GLC, agensi kerajaan pusat dan negeri.
“Kebanyakan daripada mereka menerima tawaran tersebut, tetapi berbeza dengan Datuk Seri. Saya percaya ini adalah permulaan yang sukar untuk politik khidmat di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Jarang sekali ahli politik menolak bentuk tawaran sebegini. Lebih-lebih lagi tawaran dari syarikat-syarikat besar dan utama di negara kita datang dengan begitu banyak kelebihan.
“Selain daripada bayaran asas, tawaran tersebut juga datang dengan elaun mesyuarat, elaun kereta, elaun eletrik, dan lain lain lagi. Kalau prinsip ahli politik dikaburi dengan ringgit, pasti tidak akan menolak tawaran yang boleh mencecah lebih RM300,000.”
Syed Saddiq yang tidak hairan dengan keputusan Mohamad menolak tawaran itu, berkata ahli politik sepatutnya menjaga kebajikan serta membela rakyat, golongan kurang bernasib baik dan mentadbir negara dengan penuh bertanggungjawab.
Beliau berkata, itu sebabnya walaupun Mohamad ialah pemimpin Umno, beliau menghormatinya dan tidak pernah menafikan sumbangannya dalam politik negara.
“Prinsip ini tidak boleh dibuat urus niaga atau ditukar ganti dengan faktor material, jawatan dan wang ringgit. Bukan mudah untuk menjaga prinsip dan integriti, tetapi itulah ujian kepada para pemimpin.
“Saya percaya ahli politik harus buang jauh-jauh rasa takut untuk kalah dalam pilihan raya jika berlaku adil dan jujur.
“Menang kalah pilihan raya itu adalah rezeki dan amanah dari Tuhan. Semuanya kita ikhtiar untuk bantu rakyat. Tetapi, ahli politik harus zahirkan rasa jelik dengan kemenangan oleh elit politik yang menabur wang dan janji rakyat untuk pangkat dan kuasa.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/tok-mat-tunjuk-teladan-baik-tolak.html