Kepimpinan Syed Saddiq Tercalar Negara Berdepan Covid 19 Tapi Masih Utamakan Agenda Politik Peribadi
UMNO ONLINE
KUALA LUMPUR – Pertikaian pemimpin Armada di beberapa buah negeri yang mempersoalkan keputusan mesyuarat sayap itu di peringkat Pusat untuk kembali bersama Pakatan Harapan (PH) menggambarkan bahawa mereka sedang menghadapi krisis kepimpinan di tahap kritikal, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.
Bidas beliau, sepatutnya, dalam keadaan rakyat sedang berjuang melawan penularan wabak Covid-19 dan perlu menghadapi cabaran ekonomi tahun ini, YB Syed Saddiq seharusnya bersama-sama dengan PH untuk berperanan sebagai semak dan imbang supaya kerajaan dapat ditadbir dengan baik dan bukannya setiap hari bermain politik semata-mata untuk kembali berkuasa.
“Ini juga sekali gus menunjukkan secara jelas dan nyata bahawa YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah gagal menjadi ketua yang baik hinggakan pemimpin akar umbi telah mula hilang kepercayaan kepada kepimpinan beliau.
“Sudah terang lagi bersuluh juga bahawa YB Syed Saddiq lebih mementingkan agenda politik peribadi tersendiri apabila sanggup mengenepikan akar umbinya semata-mata untuk memastikan setiap matlamat politiknya dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, keangkuhan dan sikap tamakkan kuasa YB Syed Saddiq dapat dilihat apabila semalam beliau dan konco-konconya telah mengeluarkan kenyataan yang kononnya lebih rela bersama PH dan menolak untuk bersama UMNO.
“Dengan ini jelaslah bahawa beliau dan konco-konconya lebih meletakkan kepentingan untuk kembali berkuasa daripada memikirkan permasalahan rakyat dan langsung tidak membantu untuk kembali memulihkan partinya sendiri yang kini sedang dilanda pelbagai masalah kepimpinan.
“Walaupun telah lebih dua bulan tertubuhnya Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, YB Syed Saddiq dan konco-konconya masih lagi berminat bercakap soal perebutan kuasa. Walhal rakyat telah bosan dengan mainan politik pemimpin seperti mereka.
“Sudahlah mereka sendiri yang mencetuskan polemik politik hingga menyebabkan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sekali gus telah menumbangkan sendiri Kerajaan mereka setelah hanya 22 bulan mentadbir. Semuanya gara-gara sikap mereka yang tamakkan kuasa dan berebut jawatan Perdana Menteri sesama sendiri.”
Dalam hal ini, Mohd Zaidy mwenyokong kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa UMNO sememangnya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Armada yang didalangi oleh YB Syed Saddiq beria-ia mahu kembali bersama PH.
“Rakyat sudah pasti bijak menilai dan mereka sudah penat serta jemu dengan gelagat politik tamakkan kuasa seperti yang ditunjukkan oleh mereka yang bersama dengan PH.
“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyeru kepada rakyat supaya buatlah penilaian sebaiknya untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. Jangan dipilih mereka yang hanya tamakkan kuasa dan langsung tidak mahu berusaha untuk berbakti kepada rakyat secara keseluruhannya.”
Terangnya, UMNO dan kompenan di dalam Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional sebaliknya merupakan parti lama yang telah pun dikenali sebagai parti yang sentiasa bersedia berbakti kepada rakyat.
“Politik yang diamalkan oleh BN dan PAS sejak sekian lama adalah politik khidmat bakti. Jika menang pilihan raya, kami akan mentadbir dengan baik. Jika tewas, kami akan sedaya upaya menjadi pembangkang yang terbaik untuk rakyat.
“Parti kami iaitu UMNO, MCA, MIC dan PAS dibina atas nama perjuangan. Perjuangan untuk memerdekakan negara serta memperjuangkan agama dan bangsa di tanah air ini sejak berpuluh tahun lalu. Bukannya sebuah parti serpihan yang terbina kerana agenda politik sesetengah pemimpin politik tertentu.
“Sama-samalah kita jadikan iktibar. Jangan kita biarkan anak cucu kita merasai pengalaman perit yang pernah kita alami sepanjang 22 bulan mereka mentadbir Kerajaan. Demi Malaysia yang lebih baik. Pilihlah intan dan bukannya kaca,” katanya lagi.
Terdahulu, semalam media melaporkan keputusan Armada Pusat untuk kembali bekerjasama dengan PH tidak dipersetujui pemimpin Armada Sabah dan Terengganu dengan menolak sekeras-kerasnya pendirian sayap pusat itu. – UMNO Online
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/kepimpinan-syed-saddiq-tercalar-negara.html