Tmj Selesai Bertemu Guru Guru Tolak Vaksin
Ainul Illia 
 		 			396 tolak kerana ragu-ragu, selebihnya kerana kesihatan tak izinkan		  			 			JOHOR BAHRU –  Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima  menghadap sebilangan guru yang didakwa menolak vaksin di Bangunan Sultan  Ibrahim, Bukit Timbalan, hari ini.
Baginda  bertitah, seramai 396 daripada 779 orang guru yang asalnya menolak  vaksin, tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadapnya.
“Saya telah mendengar ulasan daripada para guru mengenai isu-isu yang mereka hadapi.  
“Daripada  779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang  tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin. 
“Yang  bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini,  kerana mempunyai alahan, mengandung ataupun keadaan kesihatan yang tidak  mengizinkan,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Manakala, sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin, titah Tunku Ismail.
Dalam  perjumpaan itu juga, baginda telah berkongsi info mengenai program  vaksinasi di Johor dan situasi terkini pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Saya  berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa  mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik  dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula  demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” titahnya.
Turut hadir  dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani  dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu; Timbalan  Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd Noh Ibrahim; Mufti  Johor (secara maya), Sohibus Samahah Datuk Yahya Ahmad dan Timbalan  Mufti Johor, Sohibus Samahah Datuk Ahmad Faisal Mohamed. 
Terdahulu,  pada 22 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan,  Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang mendedahkan kira-kira 779 guru  di negeri ini dilaporkan menolak untuk menerima vaksin COVID-19.
Susulan itu, Tunku Ismail telah menitahkan untuk bertemu guru-guru tersebut, hari ini.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/tmj-selesai-bertemu-guru-guru-tolak.html