Tmj Imbas Sejarah Hitam 1992 Di Bawah Dr Mahathir
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengimbas semula sejarah hitam pada tahun 1992 semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi apa yang berlaku atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa.
“Saya tidak akan lupa krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992. Saya masih ingat bagaimana keluarga saya telah dilayan oleh pegawai-pegawai kerajaan persekutuan.
“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, ahli Exco Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR telah diberitahu untuk tidak membaikpulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di Istana-istana Johor.
“Malah bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab,” katanya dalam posting di Facebook.
Putera yang berusia 31 tahun itu berumur lapan tahun ketika sesi khas parlimen diadakan pada Disember 1992 yang menyaksikan usul bagi menyekat kuasa atau kekebalan Raja-raja Melayu.
Apa yang berlaku tercetus berikutan dua kejadian yang membabitkan keluarga diraja Johor.
Kejadian pertama tercetus apabila Tunku Abdul Majid, putera kedua Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar memukul penjaga gol pasukan hoki Perak selepas pasukan Johor ditewaskan dalam satu perlawanan.
Apabila Persekutuan Hoki Malaysia menghukum Tunku Abdul Majid dengan menggantungnya daripada bermaian selama lima tahun, Sultan Iskandar menjadi berang dan memberi tekanan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor supaya mengarahkan semua pasukan hoki sekolah di negeri itu supaya memulaukna kejohanan kebangsaan.
Ini menjadikan Douglas Gomez, seorang jurulatih hoki kecewa dan membidas Jabatan Pendidikan Johor serta menuntut peletakan jawatan semua ahli jawatankuasa dalam Persatuan Hoki Johor.
Benggang dengan perkembangan itu, Allahyarham Sultan Iskandar kemudian menitahkan Gomez ke istana dan didakwa mengasarinya. Jurulatih hoki itu kemudiannya membuat laporan polis.
Sementara itu, Tunku Ismail berkata episod 1992 itu adalah perkara lama tetapi menambah bahawa “Allah Maha Besar dan hukum karma adalah suatu perkara yang indah.”
“Pada hari ini, hubungan kerajaan dan Kerabat Diraja Johor berada di dalam keadaan baik. Saya menghargainya. Saya berharap ia bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami.
“Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain. Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam negara.
“Saya berharap agar sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana kita dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Baginda juga memberitahu seluruh rakyat di negeri itu bahawa Sultan dan kerabat diraja menyayangi mereka serta mengingatkan bahawa kekuatan kedaulatan Johor ialah perpaduan.
“Saya sayangkan anda. Saya dilahirkan untuk berkhidmat kepada anda hingga penghujung nafas saya dan itu adalah tanggungjawab saya.
“Keutamaan saya adalah hak anda sebagai rakyat Johor, dan kesejahteraan anda. Sentiasa ingat perkara ini. Sentiasa kekal bersatu sebagai rakyat Johor.
“Jangan beri peluang kepada sesiapa pun untuk membuli kita. Kita yang memutuskan apa yang baik untuk kita,” katanya lagi.
Mkini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/09/01/tmj-imbas-sejarah-hitam-1992-di-bawah-dr-mahathir-2/