Titi Gantung Runtuh Ketika Kenduri Lebih 50 Tetamu Terjatuh Ke Sungai

KUALA KRAI – Suasana meriah sebuah kenduri perkahwinan bertukar menjadi detik cemas apabila sebuah titi gantung yang menjadi laluan utama tetamu runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan lebih 50 individu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek, semalam.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku ketika rombongan tetamu pengantin lelaki dari Pasir Puteh sedang dalam perjalanan pulang, manakala kumpulan tetamu pengantin perempuan pula baru tiba ke lokasi kenduri. Pertembungan dua rombongan besar di atas titi gantung berkenaan dipercayai menyebabkan struktur itu gagal menampung beban sebelum runtuh.
Laluan Utama Penduduk Setempat
Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari berkata, insiden itu mengakibatkan seorang lelaki mengalami patah kaki selepas terjatuh di atas batu sungai, manakala seorang kanak-kanak cedera di kepala dan terpaksa menerima beberapa jahitan. Selain itu, tiga lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan serta sesak nafas.
Menurut beliau, titi gantung tersebut merupakan kemudahan penting kepada penduduk setempat, khususnya bagi lima buah rumah di kawasan berkenaan dan telah beberapa kali dibaiki sebelum ini.
“Laluan ini sering digunakan penduduk untuk urusan harian dan hanya boleh dilalui pejalan kaki serta motosikal. Walaupun terdapat laluan alternatif, jaraknya agak jauh dan menyukarkan pergerakan, terutama ketika kecemasan atau cuaca buruk,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau memaklumkan bahawa sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, telah hadir meninjau lokasi pada petang yang sama dan memberi jaminan kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan dengan segera.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tali pengikat titi gantung yang tertanam dalam simen sudah uzur dan perlu diganti. Perkara ini akan dibawa kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan peruntukan segera demi keselamatan penduduk, selain mengelakkan kejadian sama berulang,” jelasnya.
Terdahulu, kejadian tersebut turut menjadi bahan perbualan netizen di media sosial apabila ada yang mengaitkan insiden berkenaan secara berseloroh dengan kisah ‘cinta sekampung’ serta situasi dua rombongan pengantin yang berselisih serentak di atas titi gantung tersebut. Rata-rata warganet memberikan reaksi santai terhadap kejadian luar jangka itu, di samping turut menitipkan nasihat berkaitan keselamatan serta ucapan selamat pengantin baru kepada pasangan terbabit. – The Malaysian Update
The post Titi Gantung Runtuh Ketika Kenduri, Lebih 50 Tetamu Terjatuh Ke Sungai appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2026/01/02/titi-gantung-runtuh-ketika-kenduri-lebih-50-tetamu-terjatuh-ke-sungai/