Tips Untuk Mereka Yang Kena Buang Kerja
Apabila kena buang kerja atau berhenti kerja (pencen atau mengambil keputusan berhenti), ada perkara yang perlu anda fikirkan atau lakukan.
Apabila kena buang kerja, perkara pertama yang berlaku ialah anda berasa lekeh dan rendah diri. Pastikan anda terus berbangga dengan diri sendiri. Habiskan masa dengan buat kerja-kerja komuniti seperti menjadi sukarelawan NGO atau masjid di mana peranan dan sumbangan anda dihargai.
Sekiranya anda belum pernah buat bisnes, usah habiskan wang simpanan untuk modal bisnes. Kemungkinan untuk bisnes gagal dan habis wang simpanan terlalu besar. Elakkan sama sekali buat pinjaman peribadi atau guna kad kredit sebagai modal bisnes.
Sekiranya nak berbisnes juga, mulakan dengan menjual produk orang lain. Usah keluarkan produk sendiri. Ramai usahawan keluarkan produk dan mereka tak ada orang nak menjual. Ambil komisen. Dengan cara ini, anda tak keluarkan modal besar.
Satu lagi bisnes yang boleh dibuat dan tidak melibatkan modal besar ialah perundingan atau consulting. Atau, sediakan personalised service. Cuba senaraikan skil yang anda ada dan tawarkan skil itu kepada individu, bisnes atau organisasi yang memerlukan skil itu.
Sekiranya anda ada simpanan dan tidak memerlukan wang segera, tawar untuk uruskan bisnes orang lain tanpa gaji. Anda dibayar setelah bisnes berkembang. Bayaran boleh dibuat dalam bentuk tunggakan gaji, bonus atau agihan saham syarikat.
Mula downsizing (kecilkan) gaya hidup anda. Kurangkan makan di luar. Sekiranya perlu, tukar kereta kecil. Batalkan rancangan bercuti sehingga anda ada kerja lain.
Usah ungkit-ungkit keburukan tempat kerja lama. Usah perli. Usah sindir. Sebut pun tak payah. Sekiranya anda rasa stress kena buang kerja, orang yang buang anda lagi stress. Bukan mudah untuk dia nak terima hakikat bahawa bisnes dia jatuh merudum dan terpaksa buang pekerja.
Sentiasa jalin hubungan baik dengan kakitangan dan pengurusan tempat kerja lama. Usah buatkan mereka terentak hati. Dunia ini bulat. Mungkin suatu masa nanti mereka akan jadi majikan anda, anda jadi majikan mereka, atau mereka jadi pelanggan atau vendor bisnes anda. Usah bergaduh sekadar nak sedapkan hati.
Kalau tempat kerja anda kena tutup dan itu punca anda diberhentikan, kenanglah bahawa anda adalah sebahagiaan yang terakhir berkhidmat di situ. Berjuang sehingga yang terakhir.
Elak sebut-sebut kebaikan anda kepada staf yang masih bekerja dengan harapan mereka akan tolong anda. Apabila anda melangkah keluar pejabat untuk kali terakhir, usah pandang ke belakang lagi. Mereka tak kisah pun jasa anda. Kalau mereka peduli sekali pun, mereka tak dapat nak buat apa-apa. Pandang ke depan.
Cuba lihat pemberhentian kerja ini secara positif. Ia berikan anda peluang menerokai bidang baru. Ia juga menjadikan anda semakin berani menghadapi cabaran. Siapa tahu, masa depan anda lebih cerah di luar!
Buktikan anda hebat dan tidak sekali-kali putus asas dengan pemberhentian kerja. Melangkahlah dengan lebih laju dan menuju kejayaan lebih cemerlang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2018/12/gtp.html