Tip Masak Cepat Dalam 30 Minit
Memasak sendiri di rumah adalah bagus kerana ianya menyihatkan terutamanya kepada individu yang sedang mengawal berat badan. Selain itu, memasak juga dapat menjimatkan perbelanjaan seharian kita. Namun, bagi wanita yang bekerjaya perlu ketahui tip masak cepat dalam masa kurang dari 30 minit bagi pengurusan masa yang baik.
Masak cepat dalam 30 minit - Gambar kredit: looseitblog.com
Lain orang pasti lain cara dan tip ketika di dapur. Pada kali ini saya kongsikan tip masak cepat 30 minit cara saya seperti berikut:
1. Sediakan jadual menu masakan untuk dua mingguRancang menu yang akan dimasak pada setiap hari sepanjang dua minggu dan catatkan dalam kertas yang ditampal pada peti sejuk atau dinding. Selalunya saya akan sediakan jadual menu pada hari barang basah akan dibeli. Ini dapat menjimatkan masa anda kerana tidak perlu berfikir lama untuk mula memasak. Beli stok bahan mentah untuk dua minggu.
2. Sediakan bahan masakan lebih awalSelepas membeli bahan mentah, semua bahan akan dibersihkan dan dipotong. Lauk seperti ikan, udang, sotong dan ayam akan dibersihkan, masukkan ke dalam plastik lutsinar dengan kuantiti untuk sekali masak dan simpan di bahagian sejuk beku peti sejuk. Sayur dibersihkan, dikeringkan, dipotong, masukkan ke dalam bekas bertutup yang dilapik tisu. Pes cili pula saya akan kisar cili kering bersama bawang merah dan bawang putih serta sedikit minyak masak, kemudian tumis sehingga pecah minyak, masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. Bawang besar, merah dan putih untuk menumis dikupas kulit, letak dalam bekas bertutup dilapik tisu dan simpan dalam peti sejuk. Jika rajin boleh sediakan juga stok sambal belacan dengan cara kisar cili padi, cili besar, belacan, perahan air limau kasturi, sedikit gula dan sedikit garam, kemudian masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk.
3. Ketika memasak boleh buat dua perkara dalam satu masaMasak nasi terlebih dahulu. Sementara itu, anda boleh masak lauk dan menumis sayur serentak. Sambil itu juga anda boleh membasuh pinggan mangkuk dan bersihkan dapur. Dalam masa 30 minit lauk pauk siap dimasak dan dapur kembali kemas.
Oleh itu, diharapkan agar perkongsian tip masak cepat dalam 30 minit ini bermanfaat untuk anda. Pengurusan masa adalah perkara penting di dalam kehidupan seharian kita. Jika aktiviti memasak berjalan lancar, pasti anda dapat menumpukan perhatian untuk melakukan tugasan seharian yang lain.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://tips--petua.blogspot.com/2020/11/tip-masak-cepat-dalam-30-minit.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/FgCeJB+(Tips+dan+Petua)