Tindakan Dbkl Tak Mundur Jaga Maslahah Lebih Besar
Athirah Huda Zalhe Malang jika ada yang kata larangan jual arak beri kesan negatif pada ekonomi

		  			 			BANGI – Kebenaran untuk orang bukan Islam minum arak bukan sebagai hak, tetapi hanyalah keistimewaan.
Justeru,  tidak sepatutnya timbul hak orang bukan Islam meminum arak dinafikan  apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan peraturan  baharu penjualan alkohol di kedai runcit dan serbaneka.
Presiden  Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu  Bakar berkata, setiap keistimewaan boleh dikawal, ditarik balik ataupun  dihazarkan.
“Jika kita  bercakap mengenai hak minum arak, pasti tidak akan mendapati mana-mana  undang-undang secara spesifik memberikan hak kepada sesiapa pun meminum  arak.
“Malah, hak  tidak diberikan secara semborono, ia sudah pasti akan menghakis hak  orang lain pula yang akhirnya akan memberi impak negatif kepada  masyarakat dan negara,” katanya.
Menulis di  Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal berkata, tindakan DBKL bukan suatu  larangan kerana minuman alkohol masih dibenarkan dijual di restoran  bukan Islam, bar serta hotel.
Peraturan  baharu DBKL itu hanya untuk mengurangkan akses pembelian arak kepada  orang awam, termasuk pihak tidak sepatutnya seperti orang Islam dan  kanak-kanak, katanya.
“Amatlah malang apabila ada yang menyatakan kawalan itu akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan mengurangkan cukai.
“Ia memberi gambaran seolah-olah negara sangat bergantung kepada hasil penjualan arak bagi membangunkan negara,” katanya.
Terdahulu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa minggu lalu.
Antara lain,  garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai  serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1  Oktober tahun depan.
Serentak  itu, Zainul Rijal menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain supaya  meneladani tindakan DBKL yang jelas mahu mensejahterakan rakyat.
“Tindakan DBKL bukanlah langkah yang mundur tetapi menjaga maslahah yang lebih besar.
“Ia juga sejajar dengan pendirian kerajaan menaikkan hukuman kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian,” katanya.
Biarpun  ramai pihak menyambut baik keputusan DBKL, pemimpin parti cauvinis  dilaporkan cuba menentang apabila Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan  Kok Wai mendakwa, peraturan baharu itu melanggar hak orang bukan Islam  untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Dakwanya,  peraturan itu juga dilihat ‘antiperniagaan’ dan yang menjadi korban  adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai.
Menurut Kok  Wai, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur  untuk memohon supaya garis panduan baharu itu ditarik balik.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/tindakan-dbkl-tak-mundur-jaga-maslahah.html