6 Jam Tangan Omega Rm142 410 Dibeli Tunai Kata Saksi Kes Pecah Amanah Bekas Kp Meio
Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia Hasanah Ab Hamid didakwa melakukan pecah amanah berjumlah USD12.1 juta.KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes pecah amanah USD12.1 juta (RM50.4 juta) bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Ab Hamid, diberitahu enam utas jam tangan jenama Omega pelbagai model dibeli oleh seorang individu di sebuah kedai menjual jam tangan mewah di Pavilion, tiga tahun lepas.
Perunding jualan di premis berkenaan Chua Sook Shin @ Miss Juraiporn Chua, 29, berkata enam jam tangan itu berharga RM20,000 hingga RM40,000 seutas dan dibayar secara tunai oleh seorang individu, yang berjumlah RM142,410.
“Pada 3 Mei 2018, saya bertugas dari 10 pagi hingga 10 malam di premis tersebut. Selain saya, turut bertugas pada hari itu adalah rakan sekerja saya bernama Jowy Kong Kim Kee. Pada lebih kurang 12 tengah hari, empat pelanggan lelaki masuk ke kedai dan bertanyakan tentang beberapa jenis jam tangan jenama Omega.
“Saya telah membantu Jowy melayan empat lelaki tersebut dan selepas diterangkan oleh Jowy, mereka telah memilih enam utas jam tangan itu dan seorang daripada mereka telah membuat pembayaran keseluruhan secara tunai berjumlah RM142,410,” kata saksi pendakwaan kelima itu semasa membacakan penyataan saksinya hari ini di hadapan hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Pada 6 Okt tahun lepas, dalam ucapan pembukaan kes pada hari pertama perbicaraan itu pihak pendakwaan berkata akan membuktikan Hasanah melakukan pecah amanah wang berjumlah USD12.1 juta (RM50.4 juta) dengan sebahagiannya digunakan bagi pembelian enam utas jam tangan mewah sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan Malaysia.
Menurut Chua, beliau menguruskan dan menerima pembayaran bagi pembelian enam jam tangan tersebut serta merekodkan butiran berkenaan dengan model jam tangan yang dibeli berserta harga dalam sistem, Point of sales (POS).
“Saya kemudiannya telah mengeluarkan enam invois untuk enam jam tangan tersebut. Saya juga mengeluarkan satu borang, Customer Relationship Management Form kepada pembeli dan tujuan borang ini diberikan adalah untuk menyimpan data pelanggan yang membeli jam dari kedai kami,” katanya.
Bagaimanapun, wanita itu berkata beliau tidak dapat mengecam empat individu yang datang membeli jam tangan itu kerana ia sudah lama berlaku.
Menurut Chua, model jam tangan yang dibeli ialah Omega Seamaster Aqua Terra, Omega Seamaster Diver 300, Omega Speedmaster Moonwatch dan Omega Constellation Ladies.
Saksi pendakwaan itu berkata pada November 2018, seorang pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke kedai jam tangan dan bertanyakan butiran pembelian enam jam tangan tersebut.
“Saya telah membuat semakan dalam sistem POS dan mengesahkan pembelian enam jam tangan tersebut dari kedai kami. Saya juga telah mencetak salinan invois yang telah dikeluarkan untuk pembelian jam tersebut untuk diserahkan kepada pihak SPRM,” kata Chua.
Sementara itu, pegawai Etihad Airway, Emi Azura Samsudin, 41, memberitahu mahkamah bahawa wanita bernama “Hasanah” telah membuat penerbangan ke Abu Dhabi bersama dua individu pada 8 April 2018 dan ketiga-tiganya pulang ke tanah air pada 10 April 2018.
Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu ketua pengarah penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah USD12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat ketua pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/04/6-jam-tangan-omega-rm142410-dibeli.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+Must+