Ia tidak bermaksud Tun Mahathir menolak untuk Anwar berada dalam kabinet atau memberi gambaran ada ura-ura mahu membawa Presiden PKR itu menjadi menteri.Perkara itu sudah pun dijelaskan oleh Anwar bahawa beliau tidak pernah berniat sama sekali untuk berada dalam kabinet yang ada sekarang.Kedudukan Anwar sebenarnya bukanlah untuk menjadi menteri, tetapi sebagai pengganti yang telah dipersetujui kepada Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.Untuk itu, kenyataan Tun Mahathir semalam lebih mengesahkan bahawa beliau tidak bersedia melantik Anwar dalam kabinetnya kerana beliau memang telah menyediakan ruang untuk Anwar menjadi penggantinya sebagai Perdana Menteri.Tempat Anwar sebagai bakal Perdana Menteri secara tidak langsung telah disahkan oleh Tun Mahathir dan bukannya untuk mengisi mana-mana jawatan menteri.Hanya waktu dan masa saja lagi yang akan menentukan bila penyerahan jawatan itu akan dilaksanakan.Bagi Anwar pula, tidak berniatnya beliau berada dalam kabinet Tun Mahathir adalah disebabkan sudah ada konsensus mengenai kedudukannya sebagai pengganti Perdana Menteri.Lagi pula, isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Timbalan Perdana Menteri ketika ini dan sedang bersama-sama dengan Tun Mahathir menguruskan kerajaan.Maka, sudah tentu tidak molek jika dalam keadaan isterinya sudah pun menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau yang sudah dipersetujui sebagai pengganti Tun Mahathir mahu turut sama juga berada dalam kabinet sebagai menteri.Pilihan Anwar untuk tidak berada dalam kabinet dan tidak mahu mengganggu pentadbiran Tun Mahathir – Dr Wan Azizah adalah keputusan yang tepat dan wajar.Ia adalah demi keharmonian PH itu sendiri dan agar Anwar dan Dr Wan Azizah tidak ditohmah dengan pelbagai dakwaan kerana suami isteri berada dalam kerajaan secara serentak.Apabila tiba waktunya Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir nanti, Dr. Wan Azizah secara automatik akan turut berundur sama.
Tidak akan berlaku keadaan di mana Anwar dan Dr Wan Azizah sebagai suami isteri akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada waktu yang sama.Pengunduran Dr Wan Azizah adalah bertujuan memberi laluan kepada Anwar menyusun kabinetnya sendiri dan melantik Timbalan Perdana Menteri baru yang dipersetujui secara konsensus oleh PH.Oleh itu, tiada apa-apa sebenarnya yang perlu digegak-gempitakan atau cuba diselewengkan fakta berhubung kedudukan Anwar dalam kabinet dan masa depannya sebagai pengganti Perdana Menteri daripada apa yang dinyatakan oleh Tun Mahathir semalam.Kedudukan beliau adalah janji yang telah dikonsensus dan dipersetujui dan cubaan mengingkarinya tidak lain adalah tindakan mahu menghancurkan PH sebagai kerajaan yang telah dipilih rakyat pada PRU14 lalu. (ShahbudinHusin 30/08/2019)|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |