Tiada Hartal Doktor Kontrak Di Hrpz Ll
Oleh AIN MANAF 

             KOTA BHARU: Tiada Hartal  Doktor Kontrak berlaku di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ ll) di  sini seperti yang dinyatakan sebelum ini untuk mengadakan mogok secara  aman.
Bagaimanapun Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr  Zaini Hussin berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama  pegawai-pegawai perubatan bagi membincangkan berkenaan perkara itu.
Ini  kerana katanya, menjadi ketutamaan buat mereka untuk memberi  tanggungjawab yang terbaik kepada pesakit-pesakit memandangkan kini  sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
    “Saya yakin mereka tidak akan berbuat demikian kerana mereka sendiri  telah faham dan ada prinsip. Saya juga yakin mereka akan beri kerjasama  terbaik untuk Hospital di Kelantan dan kita semua juga inginkan yang  terbaik.
   “Mereka juga faham tidak boleh membelakangkan tugas atau berkelakuan  dengan apa-apa cara yang mungkin boleh mengabaikan tugasan terhadap  pesakit sehingga menjejaskan kebergunaannya sebagai penjawat awam,”  katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   Jumaat lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan  kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai  perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke  atas.
   Menurutnya ia termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut  pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak  masing-masing.
   Bagaimanapun, kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan  Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutan mereka iaitu  jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta  kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.
   Gerakan Hartal Doktor Kontrak merancang untuk keluar beramai-ramai  daripada fasiliti kesihatan masing-masing, tempat mereka bekerja jam 11  pagi tadi sebagai tanda bantahan.
   Dr Zaini berkata, pihaknya menyerah sepenuhnya sebarang keputusan  kepada pihak Kementerian untuk mengambil tindakan yang sesuai. – HARAKAHDAILY 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/tiada-hartal-doktor-kontrak-di-hrpz-ll.html